Inilah kumpulan kpop ‘rookie’ yang paling laris jualan albumnya mengikut tahun masing-masing (2010-2020)

Image may contain: 23 people

Gaon mengeluarkan data terkini mengenai jualan album ‘debut’ terlaris pernah dikeluarkan oleh mana-mana kumpulan kpop baru. Bermula dengan B1A4 sehinggalah terkini ENHYPEN, mari kita membedah satu-persatu daripadanya mengikut tahun masing-masing (2010-2020).

2011: Let’s Fly – B1A4

B1A4 memulakan rentak di persada dunia kpop dengan kejayaan ‘debut’ yang agak memberangsangkan. Let’s Fly oleh B1A4 telah berjaya memperolehi jualan sebanyak 22,895 unit mengatasi pencapaian dibuat Boyfriend, APink, Block B, dan Dal Shabet yang debut pada tahun sama.  Album EP kedua berjudul ‘It B1A4′ yang menyusul dalam tahun yang sama turut mencatatkan jualan sebanyak 36,342 unit.

Sewaktu ‘debut’ pertama kali, B1A4 dianggotai oleh CNU (Shin Dong Woo), Sandeul, Gongchan, Jinyoung dan Baro. Kedua-dua bekas ahli kumpulan itu, Jinyoung dan Baro kini aktif sebagai pelakon sepenuh masa yang masing-masing dikenali dengan drama seperti KBS Moonlight Drawn By Clouds dan SBS God Gifts 14 Days.

2012: Mama – EXO

SM Entertainment mempunyai prospeknya tersendiri apabila memperkenalkan sub unit terlebih dahulu sebelum kumpulan kpop itu ‘debut’ secara rasminya. Begitulah apa yang dilakukan terhadap dua sub unit EXO yang digabungkan iaitu Exo-K (Suho, Baekhyun, Chanyeol, Do Kyung-soi dan Kai) dan Exo-M (Xiumin, Lay Zhang, Chen, Kris, Tao, Luhan) untuk album ‘debut’ mereka berjudul ‘Mama’. Kumpulan kpop yang baru tumbuh ketika itu iaitu BTOB, EXID, Cross Gene, AOA, NUEST dan VIXX tidak mampu menyaingi kehebatan ditunjukkan oleh EXO.

‘Mama’ ketika itu telah berjaya meraih jualan sebanyak 145,925 unit, satu lonjakan yang sangat besar buat kumpulan kpop yang baru menapak. Menyusul ‘Mama’ ialah album debut rasmi EXO berjudul XOXO pada tahun berikutnya, sekaligus menobatkan EXO menjadi kumpulan kpop pertama berjaya meraih jualan satu album melebihi 1 juta unit sejak G.O.D berbuat demikian pada tahun 2001. Namun, gabungan EXO menjadi rapuh kemudiannya sehingga membawa kepada pengunduran tiga orang ahli mereka berbangsa Cina, iaitu Kris, Tao, dan Luhan daripada kumpulan itu serta-merta pada tahun 2014.

2013: 2 COOL 4 SKOOL – BTS

BTS bukan datangnya dari agensi terkemuka seperti SM Ent., JYP Ent. atau YG Ent., namun strategi CEO-nya Bang Shi Hyuk serta perancangan yang ditatangnya untuk anak buahnya sejak sekian lama seakan-akan menjadi apabila tindakannya cuba memperkenalkan BTS buat pertama kali telah berjaya membuahkan hasil lebih-lebih lagi industri kpop ketika tu dibayangi oleh kegergasian EXO dengan beberapa buah album keluaran mereka mendominasi carta-carta muzik.

2 COOL 4 SKOOL oleh BTS memperolehi 24,441 unit sudah cukup meletakkannya di hadapan untuk jualan album ‘debut’ terlaris pada tahun tersebut mengatasi beberapa kumpulan kpop yang sudah tidak aktif lagi. Tidak seperti EXO, Big Bang, Super Junior dan lain-lain, BTS bermula perlahan-lahan meraih sokongan peminat mereka, ARMY sehingga kini telah pun bergelar kumpulan kpop terlaris sepanjang zaman di Korea dan juga di seluruh dunia.

2014: 2014 S/S – WINNER

Disebut-sebut bakal menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Big Bang, WINNER daripada agensi sama, YG Ent. telah menunjukkan pencapaian agak memuaskan menerusi album ‘debut’ mereka, 2014 S/S dengan jualan diraih sebanyak 80,262 unit menumpaskan kumpulan kpop ‘rookie’ terkemuka seperti GOT7 dan Red Velvet.  Album ini menyaksikan Nam Taehyun, Song Mino dan Kang Seung Yoon menyumbang kreativiti mereka di dalam pembikinan lagu buat pertama kali. Namun hubungan kelima-lima ahli WINNER ini tidak kekal lama apabila Nam Tae Hyun pula bertindak keluar untuk menjadi artis solo pada tahun 2016.

2015: WELCOME BACK (Half) – iKON

YG Ent. tidak terhenti di situ saja apabila kumpulan iKON pula menyusul kemudiannya. Album ‘debut’ kumpulan itu yang berjudul Welcome Back (Half) berjaya mengutip jualan sebanyak 65,171 unit, dan kemudiannya diikuti oleh album Welcome Back (Full) dengan jualan sebanyak 52,312 unit dalam tahun yang sama juga. iKON berjaya menidakkan penguasaan kumpulan kpop ‘rookie’ ketika itu iaitu TWICE, GFriend, Oh My Girl, Seventeen, Monsta X, N Flying, dan Day 6 untuk diangkat album ‘debut’ terlaris pada tahun 2015.

Bagaimanapun, seorang ahli iKON, Hanbin (B.I.) merangkap ketua kumpulan dan penggubah lagu tersohor daripada kumpulan itu, terpaksa keluar daripada kumpulan itu pada tahun 2019 setelah terpalit di dalam isu penyalahgunaan dadah.

2016: NCT #127 – NCT

Strategi sama yang dipakai terhadap EXO juga digunapakai kepada NCT. SM Ent. mula memperkenalkan sub unit NCT 127 terlebih dahulu untuk tatapan umum menerusi album ‘debut’ mereka, NCT #127. Album NCT #127 yang pada masa itu dianggotai oleh Taeil, Taeyong, Yuta, Jaehyun, Winwin, Mark dan Haechan berjaya memperolehi jualan sebanyak 83,272 unit mengatasi pencapaian kumpulan baru, Blackpink, Astro, SF9, I.O.I, Momoland, WJSN, Pentagon dan Victon. Keanggotaan NCT 127 tidak terhenti di situ saja apabila Johnny dan Doyoung menyertai NCT 127 dalam album berikutnya, Limitless pada tahun 2017, dan disusuli oleh Jungwoo kemudian.

Disebabkan NCT 127 hanyalah sekadar subunit, SM Ent. juga memperkenalkan NCT U, NCT Dream dan WayV membentuk kumpulan besar NCT yang terkini dianggotai oleh 23 orang. Ahli-ahli akan bersilang ganti mengambil tempat di dalam kumpulan subunit masing-masing bagi memenuhi selera dan kehendak tema muzik yang dibawa.

2017: 1X1 = 1 (TO BE ONE) -Wanna One

Wanna One, kumpulan yang terhasil daripada program realiti tv terkemuka terbitan Mnet, Produce 101 adalah hasil gabungan ahli-ahli kumpulan kpop sedia ada serta pelatih yang baru bertatih di dalam dunia kpop. Wanna One dianggotai oleh 11 orang ahli iaitu Yoon Ji-sung, Ha Sung-woon, Hwang Min-hyun, Ong Seong-wu, Kim Jae-hwan, Kang Daniel, Park Ji-hoon, Park Woo-jin, Bae Jin-young, Lee Dae-hwi dan Lai Kuan-lin.

Album sulung mereka, “1X1 = 1 (TO BE ONE)” berjaya membawa pulang kutipan sebanyak 741,546 unit, yakni pencapaian tertinggi diraih oleh mana-mana kumpulan kpop yang baru ‘debut’ sepanjang dua dekad. Ia jauh menepis pencapaian dibuat oleh kumpulan kpop rookie seperti A.C.E, Dreamcatcher, Pristin, ONF, The Boyz, Golden Child, My Teen dan Weki Meki dalam tahun yang sama.

Kini, Wanna One telah pun terbubar secara rasmi dan pencapaian mereka kini hanyalah tinggal sebagai kenangan saja manakala Kang Daniel pula menjadi artis solo paling digilai ramai peminat sehingga sekarang.

2018: COLOR*IZ – IZONE

Bukan mudah untuk kumpulan kpop perempuan merajai pencapaian ‘debut’ terbaik apabila disaingi oleh (G)-idle, ATEEZ, Loona dan Stray Kids pada tahun yang sama, tapi itulah hakikatnya apabila IZ*One menjadi satu-satunya kumpulan kpop ‘rookie’ perempuan yang berjaya berbuat demikian. Album sulung ‘COLOR*IZ’ berjaya meraih jualan sebanyak 192,738 unit, yakni rekod tertinggi dipegang oleh mana-mana kumpulan kpop perempuan yang baru ‘debut’ sepanjang dua dekad.

Sejak tahun 2021, kumpulan perempuan mendominasi industri kpop telah dipelopori oleh Blackpink, TWICE dan juga IZONE. Namun, jangka hayat kumpulan yang dianggotai 12 orang ini (Kwon Eun-bi, Sakura Miyawaki , Kang Hye-won , Choi Ye-na, Lee Chae-yeon, Kim Chae-won,Kim Min-ju, Nako Yabuki, Hitomi Honda, Jo Yu-ri, An Yu-jin, dan Jang Won-young) mungkin tidak bertahan lama apabila ura-ura mengatakan ianya akan terbubar menjelang April 2021.

2019: QUANTUM LEAP – X1

Bergelar kumpulan kpop yang menongkah populariti paling singkat sekali, X1 hanya sempat bernafas dengan satu-satunya album keluaran mereka berjudul ‘QUANTUM LEAP’. Album debut keluaran X1 ini berjaya terjual sebanyak 580,573 unit, kedua tertinggi selepas Wanna One lakukan pada dua tahun sebelumnya.  X1 berjaya memintas populariti yang cuba dikecapi oleh TXT, ITZY, OneUS, Verivery, Everglow, OnlyOneOff, AB6IX, CIX, Cherry Bullet, dan 1the9 di dalam tahun yang sama.

Kini, walaupun X1 telah pun terbubar secara rasmi, ahli-ahlinya masih aktif bergerak di dalam kumpulan kpop yang dianggotai masing-masing. Salah seorang daripadanya, Kim Yo Han sedang sibuk berlakon di dalam beberapa buah drama seperti Netflix A Love So Beautiful.

2020: BORDER : DAY ONE – ENHYPEN

Menutupi tirai 2020 ialah kumpulan kpop junior keluaran Big Hit Ent. iaitu ENHYPEN dengan album debutnya berjudul ‘Border: Day One’. Dengan jualan tercatat sebanyak 379,992 unit berakhir tahun 2020, ENHYPEN berjaya menidakkan pencapaian yang dibuat oleh kumpulan ‘rookie’ yang sebaya dengan mereka iaitu CRAVITY, MCND, Weeekly, Aespa, TREASURE, Drippin, Wei, TOO, Bae173, StayC, Secret Number, Ghost9 dan P1Harmony.

Ia sekaligus meletakkan mereka antara kumpulan kpop paling diamati di masa akan datang.

Manakah satu kumpulan kpop ‘rookie’ pilihan anda?

 

loading...