Penyanyi kpop yang ditahan polis bagi membantu siasatan baru-baru ini telah disahkan bernama Hwang Kyung Suk, menurut satu pendedahan daripada Balai Polis Gwangjin Seoul.
Hwang Kyung Suk sedang disiasat setelah disyaki merakam video bogel mangsa termasuklah yang melibatkan hubungan kelamin dengan mangsa tanpa kerelaan mereka. Polis menjalankan siasatan pada sekitar bulan April lalu sebaik saja menerima aduan berhubung penyanyi itu, malah akaun Naver Cloud miliknya juga telah digodam bagi mendapatkan bukti menunjukkan penyanyi itu pernah memuatnaik video lucah tersebut. Hwang Kyung Suk mengaku pernah melakukannya sewaktu disoal-siasat pihak polis kemudian.
Walaubagaimanapun, Hwang Kyung Suk cuba mencapai rundingan dengan mangsa-mangsa, namun mereka dikhabarkan tidak berminat untuk menggugurkan aduan ke atasnya. Peguam Bae Geunjo yang mewakili pihak mangsa berkata, “Setelah rundingan tidak lagi wujud antara mereka, hukuman akan diberikan bergantung kepada ketetapan pihak pendakwaraya. Setakat yang kami sedia maklum, tiga orang mangsa telah dikenalpasti.”
Perbuatan merakam video lucah tanpa pengetahuan mangsa dan menyebarkannya tanpa kerelaan mereka bukanlah perkara baharu berlaku dalam kalangan selebriti Korea. Terdahulu, penyanyi Jung Joon Young pernah melakukan perkara terkutuk sedemikian sehingga menyebabkannya dihukum penjara yang mana hukuman tersebut disabitkan sekali dengan kesalahan merogol mangsa beramai-ramai.
Hwang Kyung Suk memulakan kerjaya nyanyian setelah memenangi tempat ketiga di dalam Yoo Jae-ha Song Festival yang ke-13 pada tahun 2001. Beliau pernah mengeluarkan album solo berjudul, “Can You Hear Me” pada tahun 2004. Sebagai komposer dan penulis lagu, Hwang Kyung Suk pernah membantu menyiapkan album penyanyi Tei, Danny Ahn G.O.D dan Kim Yeon Woo. Beliau kini bernaung di bawah agensi Seattle Music Blog. Sejak namanya menjadi suspek kes, Hwang Kyung Suk terus memadamkan kesemua akaun yang dihubungkait pernah digunakan untuk tujuan terkutuk tersebut.
Sumber: donga