Gandingan Oh Yeon Seo dan Ahn Jae Hyun berdepan dengan perspektif berbeza dalam MBC “People With Flaws”

Drama lakonan Ahn Jae Hyun dan Oh Yeon Seo sah mengisi slot drama Rabu-Khamis November depan. MBC “People With Flaws” sebelum ini sedang menunggu giliran untuk penayangan selepas MBC menjadualkan semula jadual tayangan kesemua siarannya. Keduanya sebelum ini telah memberi pengesahan masing-masing untuk membintangi drama tersebut sebagai teraju utama.

“People With Flaws” adalah sebuah drama komedi romantis yang mengisahkan tentang individu yang berusaha untuk tidak berprasangka terhadap mereka yang tidak memiliki kesempurnaan. Drama ini akan mempamerkan seorang wanita yang tidak menyukai lelaki kacak dan seorang lelaki yang begitu obses dengan penampilannya.

Oh Yeon Seo, memegang watak Joo Seo Yeon, seorang jurulatih trek sekolah tinggi dan mempunyai peribadi yang sangat merendah diri. Beliau percaya bahawa seorang lelaki yang tidak kacak adalah ‘boyfriend material’ dan sesuai dijadikan kekasih. Hal ini berikutan Joo Seo Yeon dibesarkan dengan dengan adik-beradik lelakinya yang tampan. Kali terakhir Oh Yeon Seo berlakon drama adalah menerusi “A Korean Odyssey”.

Ahn Jae Hyun pula akan memainkan watak Lee Kang Woo, seorang lelaki yang terlalu obses dengan penampilan fizikalnya selepas disingkirkan sebelum ini dek kerana penampilannya yang ‘hodoh’ atau tidak mencapai piawaian sempurna.  Dia sentiasa bertentangan pendapat dengan Joo Seo Yeon dan kedua-duanya dikhabarkan bersedia untuk mencipta keserasian yang menyeronokkan bersama-sama. Biarpun dilihat angkuh dengan penampilan sempurnanya, sebenarnya Lee Kang Woo dihantui trauma masa lalu yang tidak diketahui sesiapun. “People with Flaws” merupakan drama terbaru Ahn Jae Hyun selepas membintangi “The Beauty Inside” tahun lepas.

“People With Flaws” akan diarahkan oleh PD Oh Jin-seok, yang pernah mengarahkan “My First First Love”, “My Sassy Girl”, dan “Yong-pal”. Drama ini akan ditayangkan menerusi rangkaian MBC pada November depan.

Sumber : sportsdonga

loading...