Ogos 2019 tampilkan 9 pilihan drama Korea terbaru untuk korang tonton!

Annyeong Yorobun, Chinguyaa,

Senarai drama Korea terbaru untuk bulan Ogos kembali mengisi senarai drama tahun 2019. Maaf, kali ini agak terlambat senarai ini dikongsikan. Tapi, jangan risau, masih sempat untuk korang buat pilihan.

Hanya 9 drama Korea terbaru yang akan bersiaran sepanjang Ogos ini. Penulis berharap ada diantara drama-drama ini akan menjadi pilihan korang. Jom tengok, drama apa yang akan bersiaran Ogos ini dan drama mana yang akan menjengah kaca tv korang.

1. Welcome 2 Life (MBC) 

“Welcome 2 Life” adalah drama terbaru MBC yang bertemakan fantasi dan perundangan. Drama ini mengisahkan tentang seorang peguam yang mementingkan diri sendiri di mana beliau hanya membantu mereka untuk kepentingan diri sendiri. Disebabkan satu kemalangan yang misteri membuatkan beliau berada di demensi lain dan mula menjalani kehidupan yang berbeza.

Rain (Sketch, Come Back Mister) akan membawakan watak Lee Jae Sang, seorang peguam yang penuh egois. Merupakan seorang peguam yang hebat disebuah firma guaman terkemuka JK, Jae Sang akan melakukan apa sahaja untuk menang. Pada suatu hari, Lee Jang Sang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan tidak semena-mena beliau berada dalam dimensi yang lain. Kali ini, beliau dapat melihat dirinya menjadi seorang pendawaraya yang tegas dan seringkali menegakkan keadilan.

Lim Ji Yeon (Blow Breeze, High Society) pula memainkan peranan sebagai bekas teman wanita Lee Jae Sang,  Ra Si On, seorang detektif yang gemar bertindak secara melulu. Biarpun Ra Si On mempunyai keperibadian yang kasar, beliau sebenarnya peramah. Selepas berpisah dengan Lee Jae Sang 10 tahun yang lalu, keduanya tidak pernah berada dalan keadaan yang baik. Dalam dunia dimensi yang lain, Ra Si On seorang isteri dan ibu yang ceria, penyayang, bersemangat dan selalu memberikan sokongan kepada suaminya, Lee Jae Sang selain bekerja sebagai detektif.

Di sini, penonton akan dihamparkan perbezaan perhubungan antara Kim Jae Sang dan Ra Si On dalam dua dunia yang berbeza, yakni dua nyata dan dunia dimensi. Drama “Welcome 2 Life” juga akan bersiaran di OhK TV Asia Ch 394 pada 6 Ogos, jam 7.50 malam setiap Selasa dan Rabu.

2. Let Me Hear Your Song / I Wanna Hear Your Song (KBS) 

“Let Me Hear Your Song”  atau “I Wanna Hear Your Song” adalah sebuah drama berentakkan muzikal dengan disadurkan eleman kemisterian dan rom-com. Drama ini mengisahkan seorang timpanist yang telah hilang ingatan termasuk ingatannya berkenaan sebuah kes pembunuhan serta perjalanannya untuk merungkai kebenaran sehinggakan beliau bertemu dengan seorang lelaki yang ‘tone-deaf’.

Yeon Woo Jin akan melakonkan watak seorang pemain piano bernama Chang Yoon yang agak misteri dan selalu melatih vokal penyanyi. Pada suatu hari, dia bertemu dengan seorang gadis bernama Hong Il Young (Kim Se Jong) yang sukar untuk tidur malam dan selalu terlewat kerana penyakit insomnia-nya itu. Chang Yoon tak mengejutkannya pada waktu pagi tapi sebaliknya mengenakan ‘panggilan petang’ (“Evening Call”) setiap hari bagi mengubati penyakitnya itu.

Song Jae Rim pula akan memegang watak utama seorang professor madya kolej muzik bernama Nam Ju Wan, merangkap seorang ‘maestro’ , yakni konduktor muzik kumpulan simfoni orkestra. Nam Ju Wan kelihatan pelik tapi sebenarnya penuh dengan kemesraan dan beliau akan menyelongkar misteri di sebalik kehilangan memori dihadapi oleh Hong Il Young kerana trauma akibat menyaksikan pembunuhan kejam pada suatu masa dahulu. Park Jin Yeon pula sebagai Ha Eun Joo, seorang pemain violin di bawah arahan maestro  Nam Jun Wan.

Untuk mengetahui kisah selanjutnya, tonton “I Wanna Hear Your Song” mulai 6 Ogos ini di KBS World TV Ch 391 dan Ch 392 HD, setiap Selasa dan Rabu jam 9.00 malam.

3. The Condition of 17 years old / Everything and Nothing  (SBS)

The Condition of 17 years old” adalah sebuah drama pendek sebanyak empat episode yang dibintangi oleh Yoon Chan Young dan Park Si Eun. Park Si Eun akan membawakan peranan Ahn Seo Yeon, seorang gadis di sekolah menengah yang boleh bermain piano, manakala Yoon Chan Young akan melakonkan watak Ko Min Jae yang introvert.

Drama ini menceritakan keperitan zaman kecil dan kehidupan diusia remaja 17 tahun dua orang pelajar sekolah menengah.  Adakah mereka berkongsi kisah hidup yang sama dan bagaimanakah mereka akan mempersembahkan kisah mereka dalam “The Condition of 17 years old“? Jangan lupa saksikan drama ini mulai 8 Ogos menerusi rangkaian SBS.

Untuk makluman, kedua-dua mereka adalah rakan sekelas di dunia yang nyata dan keduanya pernah membintangi drama  “Six Flying Dragons” dan “30 But 17” bersama.

4. Melo Suits Me / Be Melodramatic (JTBC)

Drama “Melo Suits Me” bertemakan komedi, kehidupan, romantis dan persahabatan ini mengisahkan tentang tiga sekawan wanita yang tinggal dalam satu bumbung yang sama. Mereka yang terdiri daripada penulis skrip, pengarah filem dokumentari, dan pengurus pemasaran berusia dalam lingkungan 30an yang bersama-sama menempuhi liku-liku hidup.

Im Jin-Joo lakonan Chun Woo Hee adalah seorang penulis skrip drama yang baik dan berhadapan dengan isu emosi. Im Jin-joo kelihatan normal di luar, tetapi sering mempunyai perubahan emosi yang tidak tentu. Jeon Yeo-bin sebagai Lee Eun-jeong, seorang pengarah filem dokumentari yang terpaksa berhenti kerja di sebuah syarikat pengeluaran dokumenteri terkemuka dan menubuhkan syarikat sendiri walaupun tidak mempunyai dana yang mencukupi.

Han Ji-eun pula sebagai Hwang Han-joo, ketua pasukan unit pemasaran di sebuah syarikat produksi. Beliau terkenal di kolej kerana rupa dan otak geliganya, tetapi mempunyai personaliti yang dingin. Ahn Jae-hong membawakan watak sebagai Son Bum-soo, seorang pengarah drama yang berjaya setelah hilang minat dalam seni kraf. Beliau bertemu dengan penulis yang tidak berpengalaman, Im Jin-joo namun tertarik dengan hasil kerjanya. Watak Chu Jae-hoon,lakonan Gong Myung adalah rakan sekerja Hwang Han-joo. Beliau berada dalam frasa perhubungan yang buruk ketika bertemu Hwang Han-joo. Chu Jae-hoon mula membuat perbandingan antara Han-joo dan teman wanitanya.

“Melo Suits Me” akan bersiaran dirangkaian JTBC mulai 9 Ogos depan.

5. HIP HOP KING (SBS)

“Hip Hop King  merupakan sebuah drama yang mengetengahkan dunia muzik dan budaya hip hop melalui watak-watak yang dilakonkan oleh Hoya, Shin Wonho, Gene (Cross), Naeun (APRIL) dan model Han Hyun- min. Drama pre-produce sebanyak enam episode ini adalah hasil arahan pengarah drama God’s Quiz musim pertama,.

Pihak produksi telah memulakan pengambaran pada Disember 2018 dan turut bekerjasama dengan penyanyi serta produser hip hop terkenal Zico serta pengarah muzik, Neol untuk menjadikan siri drama ini lebih realistik.

“Hip Hop King” akan mula bersiaran pada 9 Ogos, jam 11.10 PM KST menerusi rangkaian SBS.

6. Graceful Family (MBN-Dramax)

 

Siri drama MBN-Dramax “Graceful Family” akan berkisarkan tentang pembongkaran misteri di sebalik pembunuhan, kemarahan terpendam selama 15 tahun, dan perjuangan untuk menuntut kebenaran. Drama bertemakan misteri dan penyiasatan ini dibintangi oleh Im Soo-hyang, Lee Jang Woo, Bae Jong Ok, Lee Gyu Han, Kim Jin Woo dan ramai lagi.

Im Soo Hyang akan membawakan watak Mo Seok Hee, anak tunggal kepada peneraju MC Group. Mo Seok Hee ditampilkan sebagai seorang sombong dan angkuh kerana berasal dari keluarga yang terkenal dan kaya. Namun, disebaliknya, dia mempunyai misi rahsia dalam mencari si pelaku yang telah membunuh ibunya 15 tahun dahulu sehingga menjadikan hidupnya merana.

Lee Jang Woo pula diberikan peranan sebagai Heo Yoon, seorang peguam. Dek kerana kekurangan ‘kabel’ orang dalam, ia menyukarkannya untuk terus meningkatkan kerjayanya sebagai peguam bahkan tidak mempunyai ruangan pejabat sendiri. Biarpun hanya menguruskan kes-kes yang ringan, Heo Yeon menerima tawaran untuk menyertai pasukan TOP di MC Group dan akhirnya menemukannya dengan Mo Seok Hee.

Watak Han Je Kook, ketua pasukan TOP MC Group dibawakan oleh Bae Jong Ok. Han Je Kook ditampilkan seorang wanita yang sangat berdedikasi kepada tugas dan majikannya, namun dilihat seorang yang berbahaya serta ancaman kepada yang berkaitan kerana mengetahui semua rahsia keluarga pemilik MC Group.

Pasukan TOP MC Group berurusan dengan risiko pemilik, yang merujuk kepada kerugian yang ditanggung oleh syarikat disebabkan oleh tindakan kasar yang dilakukan oleh ahli keluarga yang memiliki perniagaan tersebut. Mereka juga berperanan mengelolakan urusan keluarga serta untuk menutup segala perilaku yang tidak bermoral yang dilakukan oleh keluarga yang menjalankan perniagaan tersebut.

Bagaimana Mo Seok Hee akan mendedahkan tentang misteri kematian ibunya? Mampukan peguam Heo Yoon mendapatkan bukti-bukti kebenaran dan adakah Bae Jong Ok akan turut membantu atau sebaliknya? Saksikan selanjutnya “Graceful Family” mulai 21 Ogos ini. Ini juga penyatuan semula Lee Jang Woo dan Im Soo Hyang selepas drama “I Do, I Do” pada tahun 2012.

7. Love Alarm (Netflix)

Penantian peminat untuk menyaksikan drama “Love Alarm” nampaknya berakhir.

“Love Alarm” adalah adaptasi drama dari webtoon yang terkenal dengan nama yang sama oleh Chun Gye Young. Drama ini berkisarkan tentang satu aplikasi mudah alih yang mampu menyampaikan pesanan bahawa ada seseorang yang berdekatan dalam lingkungan 10 meter ingin menghulurkan salam perkenalan. Ia menceritakan kisah mengenai bagaimana kita ingin mengetahui tentang perasaan sebenar seseorang dengan hanya menerusi penggunaan aplikasi yang kini menjadi medium pengantaraan kita. “Love Alarm” akan diarahkan oleh PD Lee Na Jeong, yang sebelum ini pernah mengarahkan KBS “Fight My Way” dan KBS “Oh My Venus”.

Siri drama ini akan fokus kepada kehidupan pelajar sekolah menengah, Kim Jo Jo yang dilakonkan oleh  Kim So Hyun dan bagaimana kehidupannya dipengaruhi oleh aplikasi tersebut apabila dua orang rakannya yang dimainkan oleh Song Kang (Hwang Sung O) dan Jung Ga-ram (Lee Hye Young) menyimpan perasaan terhadapnya. Ia juga akan mencetuskan konflik cinta tiga segi antara mereka. Apakah aplikasi cinta yang diberi nama ‘Joalarm’ itu dapat memberikan jalan penyelesaian buat mereka bertiga? Saksikan drama yang bertemakan fantasi, dan rom-com ini bersiaran menerusi Netflix bermula 22 Ogos depan.

8. The Great Show (tvN)

tvN “The Great Show” merupakan sebuah drama bertemakan kekeluargaan tapi disadurkan dengan elemen satira politik. Ia bakal mendapat arahan sutradara Shin Yong Hwi dan ditulis oleh Sul Joon Suk (“KBS Ad Genius Lee Tae Bak”). Drama ini dibintangi oleh Song Seung Heon, Lee Sun Bin, Lim Ju Hwan, Park Ha Na, Hyuk ViXX dan ramai lagi.

Song Seung Hun akan memegang watak sebagai bekas wakil rakyat (ahli parlimen) bernama Wie Dae Han yang bergelut untuk menjadi ahli politik yang berkarisma dan disegani ramai meskipun seorang yang materialistik. Pada usia 32 tahun, beliau telah bertanding dalam pilihanraya ke-20 Korea Selatan atas tiket mewakili generasi muda. Keupayaan beliau memenangi hati rakyat di kawasannya dengan lidah yang pandai berkata-kata telah menyebabkan beliau menang. Hasilnya, populariti beliau mencanak naik dan disebut-sebut sebagai calon presiden korea di masa akan datang. Namun, mungkin sesuatu telah berlaku menyebabkan beliau kecundang dan gagal mengekalkan kerusi parlimen dipegangnya. Akibatnya, Wie Dae Han terpaksa menjalani hidup sebagai rakyat biasa, dikelilingi dengan empat beradik dan jiran yang bermasalah. Kehadiran wanita (dilakonkan oleh Lee Sun Bin) dalam hidupnya yang berminat dalam hal-hal politik telah membuatkan Wie Dae Han bangkit semula.

Dapatkah Wie Dae bangkit semula untuk menjadi wakil rakyat dan berhadapan dengan adik-beradiknya yang bermasalah?  Tonton ” The Great Show” selanjutnya yang akan bersiaran mulai 26 Ogos ini bagi mengisi slot drama Isnin dan Selasa dirangkaian tvN.

9. Strangers From Hell (OCN)

OCN “Strangers from Hell” yang diadaptasikan daripada sebuah webtoon popular bertemakan thriller mengisahkan tentang kejadian aneh yang dihadapi oleh seorang lelaki selepas beliau berpindah ke Seoul dari kampungnya.

Im Siwan akan membawakan watak  Yoon Jong Woo, seorang penulis berbakat  yang bercita-cita untuk menjadi seorang novelis . Dia telah berpindah dari kampungnya setelah menerima tawaran  kerja. Disebabkan sumber kewangan yang terhad, Yoon Jong Woo akhirnya menemui sebuah tempat tinggal yang dinamakan ‘Eden Dormitory’. Beliau berkongsi dapur serta bilik air yang sama dengan jiran-jirannya itu dan terpaksa menerima kelakuan pelik mereka demi sewaan bilik  yang lebih murah berbanding di tempat lain.

Lee Dong Wook pula akan membawakan watak sebagai Seo Moon Jo, seorang doktor gigi yang memiliki sebuah klinik berhampiran dengan ‘Eden Dormitory’. Doctor Seo Moon Jo bukan sahaja tampan, bahkan seorang yang ceria dan berjiwa artistik. Apa yang menarik, watak ini tidak wujud dalam webtoon asal, jadi ramai yang akan menantikan apakah istimewanya dan misteri watak baru dalam drama ini.

Turut membintangi “Strangers From Hell” adalah  Lee Hyun Wook, yang melakonkan watak Yoo Ki Hyuk atau dikenali sebagai ‘King Eyes’. Beliau merupakan penghuni yang paling menakutkan kerana tiada sesiapaun yang memahami apa yang berada dalam fikirannya dan Yoo Ki Hyuk merupakan jiran sebelah Jong Woo.

Selain itu, Lee Jung Eun akan menjadi pemilik asrama “Eden Dormitory” dan juga antara yang menakutkan selepas ‘King Eyes’. Lee Jong Ok pula seorang stalker dan Park Jung Hwan ditampilkan dengan keadaan kurang waras. Setiap penghuni ‘Eden Dormitory’ mempunyai karakter yak berbeza namum aneh dan pelik. Masakan, Jong Woo mampu bertahan dengan pelbagai karenah jiran-jirannya.

“Strangers From Hell” diarahkan oleh Lee Chang Hee (“The Vanished” , “The Hideout”) dan ditulis skripnya oleh Jung Yi Do (“Save Me”).  Drama ini akan bersiaran menerusi rangkaian OCN mulai 31 Ogos bagi mengisi slot drama hujung minggu.

So, gais, selamat menonton and have fun!