Diheret berbagai masalah dalaman, Yang Hyun Suk akhirnya meletak jawatan sebagai CEO YG Entertainment berkuatkuasa hari ini

Selepas diheret berbagai masalah melibatkan dirinya dan juga artis-artis Kpop di bawah jagaannya, Yang Hyun Suk hari ini mengumumkan bahawa beliau telah pun meletakkan kesemua jawatan yang dipegangnya di dalam syarikat YG Entertainment yang telah diusahakannya selama 23 tahun.

“Saya meletakkan kesemua jawatan saya di YG berkuatkuasa pada hari ini, dan berharap tiada lagi kerosakan berlaku disebabkan saya, ” katanya. Tambahnya lagi, “Saya tak dapat menahan sabar terhadap situasi sekarang di mana kata-kata nista dilemparkan secara terbuka. Saya berharap perkara sebenar didedahkan setelah fakta masa lalu dan laporan media berkait antara satu sama lain.”

Yang Hyun Suk turut menzahirkan kegembiraannya dalam menghasilkan muzik yang terbaik daripada kalangan penggiat seni yang terbaik selama hampir 23 tahun mencurahkan bakti kepada YG sejak ianya mula tertubuh. Di bawah pimpinan Yang Hyung Suk sejak tahun 1996 lagi, YG telah melahirkan puluhan artis-artis kpop yang hebat-hebat belaka seperti Big Bang, Blackpink, Sechs Kies, iKON, 2NE1, Akdong Musician, Epik High, Winner, Psy, Lee Hi, Dara dan CL. Yang Hyun Suk sendiri merupakan bekas ahli kumpulan Seo Taiji and The Boys yang merupakan pencetus revolusi kpop pertama di rantau Korea tersebut.

Sumber: korea herald, hankookilbo

loading...