Drama Encounter menjadi pujaan penulis buat masa ini dan ia adalah sebab penulis begitu obses dengan watak Cha Soo Hyun. Perwatakan beliau, pembawaan diri dan pemakaian beliau semuanya sempurna di mata penulis. Paling tidak boleh penulis “move on” adalah kecantikan polos beliau.
Dalam drama Encounter, Song Hye Kyo membawa watak wanita yang lebih berusia dan seorang yang serius. Solekan minimal, lirikan liquid eye liner halus dan olesan gincu merah muda hampir di setiap babak. Namun, kecantikan Hye Kyo memukau pandangan penonton.
Obsesi penulis mendorong penulis menggeledah setiap pelosok internet dan Google untuk mencari perkongsian tip-tip kecantikan dari Song Hye Kyo. Apakah rahsia beliau kecantikan beliau? Hari ini penulis akan berkongsi apa yang penulis tahu dengan pembaca. Jom cantik sama-sama ya!
-
Produk Kecantikan
Song Hye Kyo sangat menjaga kulit wajah beliau. Beliau mementingkan penjagaan kulit wajah dan bukan sahaja mengguna sebarang produk kecantikan malah turut dipilih untuk menjadi duta. Setelah 10 tahun menjadi duta Laneige, pada tahun ini Hye Kyo memulakan fasa baru sebagai duta Sulwhasoo. Sulwhasoo satu produk kecantikan yang dikategorikan sebagai produk High End. Pada tahun ini, Sulwhasoo memperkenalkan Song Hye Kyo sebagai sumber ilham mereka. Sulwhasoo adalah satu jenama di bawah kumpulan Amorepacific, iaitu satu konglomerat kecantikan tersohor di Korea Selatan.
Dalam wawancara mempromosikan drama DOTS dulu, Song Hye Kyo juga mengakui beliau sering bertemu pakar kulit untuk membuat rawatan kulit dan menggunakan mask muka untuk mengekalkan kulit yang cantik. Selain dari menyukai sheet mask Sulwhasoo, Hye-kyo juga menggunakan produk Sulwhasoo First Care Activating Serum Ex.
-
Senaman
Song Hye Kyo mengatakan beliau mempercayai bersenam mampu memberikan kulit wajah yang sihat. Malah beliau seorang yang begitu aktif bersenam. Senaman kesukaan beliau adalah yoga, pilates dan juga Kick Boxing. Beliau telah mengamalkan yoga selama tiga tahun. Beliau beranggapan melakukan senaman yoga, beliau mampu memberi fokus kepada tubuh badan dan diri beliau. Song Hye Kyo berkata, beliau akan berusaha untuk mencari keseimbangan di dalam hidup beliau dan kecantikan asli itu hadir dari keharmonian dan keseimbangan antara dalaman dan luaran.
-
Diet dan Air
Song Hye Kyo seorang yang amat menjaga pemakanan beliau. Beliau mengelak dari makan makanan yang tidak elok untuk kulit wajah beliau seperti coklat, Coca-Cola, Black Tea dan makanan ringan seperti junk food. Ada juga laporan-laporan mengatakan beliau sering memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan sekali sekala memakan telur. Hye Kyo mengatakan beliau menyukai labu kerana labu berfungsi mengurangkan sembap pada wajah.
Selain daripada makanan yang sihat, beliau juga mengambil vitamin tambahan untuk mengekalkan kelembapan kulit. Beliau sering mengingatkan peminat untuk sentiasa minum air terutamanya dua gelas apabila bangun tidur untuk mengekalkan kelembapan dan kesegaran.
-
Ais
Seterusnya adalah ais. Bukan untuk minum atau membuat bingsu, tetapi si cantik ini menggunakan ais untuk mengurut wajah beliau. Urutan ais ini membuatkan kulit menjadi lebih pejal dan anjal. Teknik urutan ais ini adalah untuk mengecilkan wajah yang sembap terutamanya pada waktu pagi. Namun, perlu diingatkan sekiranya pembaca ingin mengamalkan teknik ini, jangan melakukannya terlalu kerap. Melakukan urutan ais pada wajah terlalu kerap boleh merosakkan kapilari kita.
-
Putih Telur, Susu dan Madu
Pernah sebelum ini penulis kongsikan bahawa Song Hye Kyo sangat suka membuat rawatan wajah menggunakan bahan-bahan asli. Bahan utama kesukaan beliau adalah putih telur dan madu untuk dijadikan sebagai masker.
Tiga resipi masker yang dikongsikan oleh Song Hye Kyo. Pertama, satu putih telur (kuning telur diasingkan) dan satu sudu madu. Campur dan kacaukan sebati sebelum disapukan pada wajah. Tunggu sehingga kering dan basuh dengan air. Lakukan dalam dua minggu sekali sebelum tidur.
Resipi kedua pula, campurkan satu sudu madu, satu sudu susu tepung dan satu putih telur. Kacau sehingga sebati. Dengan menggunakan kapas, ratakan secara nipis pada wajah. Cuci selepas dua puluh minit. Resipi ini menurut Hye Kyo sangat untuk mereka yang memiliki kulit yang kering. Masker ini juga sesuai dilakukan dalam dua minggu sekali.
Resipi ketiga cukup senang. Cairkan madu dengan air. Sukatan untuk air adalah dua kali ganda jumlah madu. Urutkan campuran air dengan madu ini pada wajah dan basuh. Resipi ini bagus untuk mencerahkan kulit dan mengurangkan garis-garis halus pada wajah.
-
Lobak Merah
Lobak merah adalah satu bahan yang amat penting dalam resipi masker kesukaan Song Hye Kyo ini. Bahan-bahan juga cukup ringkas, tiga bahagian lobak merah yang diparut terlebih dahulu, dua bahagian tepung dan satu bahagian air yang ditapis. Selain dari tepung gandum, boleh juga menggunakan tepung oat ataupun serbuk beras. Gaulkan ketiga-tiga bahan ini sehingga sebati sebelum disapukan pada wajah. Masker ini berfungsi sebagai masker anti penuaan.
P/S. Hmmm bertambah garis halus stress di dahi penulis apabila melihat harga-harga produk Sulwhasoo ini. Mungkin penulis perlu menabung terlebih dahulu demi memiliki kulit wajah secantik Song Hye Kyo. Sementara menunggu tabung penuh, penulis akan mencuba resipi-resipi masker ini terlebih dahulu 😀
Sumber : Viva Woman; Star2