Choi Si Won, si bekas penipu diapit oleh Lee Yoo Young & Kim Min Jung di dalam KBS Fellow Citizens

Dari kiri: Kim Min Jung, Choi Si Won dan Lee Yoo Young.

Pihak produksi KBS Fellow Citizens sudah pun menyimpulkan senarai pelakon yang akan menyertai drama terbitan mereka termasuklah Choi Si Won yang sudah pun menyetujuinya pada minggu lepas, diikuti dengan Kim Min Jung dan Lee Yoo Young pada hari kelmarin. KBS Fellow Citizens akan dijadualkan tayangannya selepas KBS Neighborhood Lawyer Jo Deul Ho 2.

Choi Si Won dikatakan akan membawa watak penipu teragung, Yang Jung Gook yang dipelajari daripada bapanya sendiri. Pada suatu hari, dia telah ditipu hidup-hidup oleh bekas teman wanitanya yang membawa lari duit digunakan untuk majlis perkahwinan mereka. Disebabkan tak boleh terima dirinya ditipu sebegitu, Yang Jung Gook minum sehingga mabuk bagi menghilangkan rasa kecewanya, sehinggalah dia menemui seorang gadis bernama Lee Mi Young. Kedua-duanya pun jatuh cinta  tapi mereka sebenarnya tak jujur antara satu sama lain disebabkan pengalaman cinta buruk dialami sebelum ini. Yang Jung Gook berbohong bahawa dia ialah seorang graduan tersohor Seoul National University dan merupakan seorang usahawan muda.

Manakala, Lee Mi Young yang bakal dilakonkan oleh Lee Yoo Young, merupakan seorang polis tapi menyembunyikan identitinya di hadapan Yang Jung Gook sehinggalah saat-saat hari perkahwinan mereka. Lee Mi Young terpaksa berbuat demikian kerana kecewa dengan bekas teman lelakinya yang meninggalkannya atas sebab dirinya bekerja sebagai polis. Sebaik saja Lee Mi Young memberitahu identitinya sebenar kepada Yang Jung Gook, YangJung Gook seolah-olah seperti tak boleh menerima hakikat tersebut dan mahu meninggalkannya. Dapatkah cinta mereka bertaut semula?

Watak misteri seterusnya ialah Park Hoo Ja, bakal dilakonkan oleh Kim Min Jung, yakni anak kepada along terkemuka, Park Sang Pil. Park Hoo Ja mencari orang yang berjaya menipu ayahnya sehingga membuatkan ayahnya tersungkur. Dia berjaya menemui Yang Jung Gook tapi tidak membalas dendam terhadapnya dengan harapan dia dapat berubah. Tak dipastikan samada watak bekas teman wanita Yang Jung Gook ialah Park Hoo Ja yang mungkin diselitkan sebagai ‘twist’ dalam drama ini.

Penulis skrip drama ini ialah Han Jung-hoon (“OCN Vampire Prosecutor”,”OCN Bad Guys”, dan OCN Police Unit 38″) yang terkenal dengan genre berbentuk ‘thriller’ atau misteri, dan sutradara yang bertanggungjawab ialah PD Kim Jung Hyun (“KBS Jugglers”,”KBS Full Sun”). Choi Si Won dan Lee Yoo Young masing-masing pernah mendapat pencalonan Best Supporting Actor dan Best Supporting Actress dalam 3rd CARI Kdrama Awards dan 6th CARI Kdrama Awards. Pastinya gandingan mereka dengan Kim Min Jung dari drama tvN Mr. Sunshine sangat dinanti-nantikan penonton drama korea.

Sumber: newsen

loading...