Dimsum, salah satu saluran tontonan video atas talian di Malaysia, telah melangkah setapak lagi ke hadapan dalam membuka ruang kepada para peminat drama (lakorn) yang datang dari kejiranan utara kita, Thailand, bagi memenuhi kehendak mereka dalam menonton drama terbaharu kegemaran mereka beserta pelbagai pilihan bahasa sarikata. Berlangsung pada 10hb Ogos baru-baru ini yang bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), merupakan hari bersejarah buat Dimsum kerana berjaya menandatangani memorandum persefahaman di antara pihak Dimsum dengan pihak Artop Media Company. Artop Media Company merupakan sebuah kompeni yang memfokuskan kepada kandungan multimedia Asia dan merupakan perintis kepada filem serta drama dari Thailand (The Magic of Cupid, You Are My Destiny, Flower Ring) untuk dipertonton kepada Tanah Besar China dan ASEAN. Sejak dari 2013 lagi, Artop telah terlibat dalam pelaburan dan penerbitan televisyen siri. Bagi Encik Zhang Dong, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Artop Media Company, beliau berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak Dimsum kerana platfom Dimsum telah memberikan sumbangan yang cukup besar dalam mempromosi drama-drama bukan sahaja di Malaysia bahkan di Brunei juga. Beliau juga berharap agar kandungan daripada pihak Artop dapat dipaparkan secara menyeluruh di platfom Dimsum di masa akan datang supaya kedua-dua pihak berjaya memperoleh kebaikan bersama.
Selain daripada menandatangai MoU dengan pihak Artop Media Company, pihak Dimsum dalam majlis yang sama juga mengumumkan kerjasama strategik dengan pihak GMM Grammy. GMM Grammy merupakan pemimpin dalam platfom industri hiburan di Thailand dalam menghasil dan menyampai hiburan tempatan yang berkualiti tinggi dari Thailand seterusnya dikembangkan ke rantau ini dengan penuh komitmen terhadap pembangunan sosial. Menurut Encik Jamorn Jirapaet, Ketua Penajaan Jualan, pihak GMM Grammy begitu gembira kerana Dimsum telah memilih mereka untuk menjadi rakan kongsi kerjasama stratagik. Sebagai penyedia terbesar di Thailand, mereka sangat berbangga bahawa hiburan yang mereka sediakan diterima baik oleh rakyat Malaysia. Mereka tidak sabar untuk melihat hasil usaha atas kerjasama yang mantap dengan pihak Dimsum di masa akan datang.
Bagi pihak Dimsum sendiri, Puan Lam Swee Kim selaku Ketua Pegawai Pemasaran, beliau menegaskan bahawa Artop Media Company dan GMM Grammy merupakan rakan kongsi yang hebat. Mereka begitu teruja dengan kerjasama ini dalam memastikan hiburan terbaik dari Thailand dapat dipertonton kepada para peminat di rantau ini. Beberapa kandungan terbesar di platfom Dimsum termasuklah drama You Are My Destiny, Flower Ring, Fabulous 30, Princess Hours, U-Prince Series, Mia 2018 aka The Fierce Wife dan banyak lagi. Drama romantik dan remaja juga boleh didapati di platfom Dimsum di bawah kategori GMM Grammy seperti Club Friday Celeb’s Stories, Love Book Love Series, Love Song Love Series, Love Under the Shadow dan banyak lagi.
Sewaktu perjanjian MoU ditandatangan di antara Puan Lam Swee Kim dan Encik Zhang Dong, mereka berdua disaksikan bersama oleh Puan Chantira Jimreivat Vivatrat selaku Ketua Pengarah Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa serta diiringi oleh pelakon utama yang didatangkan khas dari Thailand oleh pihak Dimsum dari drama rantaian My Dear Loser: Monster Romance; Thanat Lowkhunsombat (Lee Thanat) dan Worranit Thavornvongs (Mook Worranit).
Semasa sesi soal jawab bersama kedua-dua artis tersebut, mereka menunjukkan perasaan teruja kerana buat pertama kalinya dapat menjejakkan kaki di Malaysia dalam mempromosikan drama lakonan mereka bersama, My Dear Loser: Monster Romance. Mereka berdua bersetuju bahawa walaupun drama rantaian tersebut kelihatan seperti drama-drama yang lain, tetapi mereka menegaskan bahawa terdapat mesej dan intipati unik yang diketengahkan di dalam drama tersebut. Mereka berdua yakin dengan jalan cerita yang unik berunsurkan komedi-romantik-drama menerusi gandingan sulung selaku pelakon utama dalam sebuah drama, dapat menarik para peminat lakorn dalam menghayati kisah cinta di antara Pong dan Namking. Lee Thanat yang segak berbusana formal suit kelabu dan Mook Worranit yang anggun dalam busana berwarna kirm dengan corak bunga biru juga sempat mengunjungi reruai Dimsum bersama-sama delegasi yang terlibat dengan memorandum ini, di samping beramah mesra dengan pengunjung yang mengunjungi reruai tersebut.
Pihak Dimsum menyertai dalam program/pameran Top Thai Brand 2018 yang berlangsung selama empat hari bermula dari 9hb Ogos sehingga 12hb Ogos 2018 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan dibuka jam 10 pagi hingga 6 petang. Para pengunjung dijemput hadir berkunjung di reruai Dimsum bagi mengtahui dengan lebih lanjut berkenaan hiburan terkini dari Thailand, menyertai aktiviti permainan yang disediakan di reruai Dimsum bagi memenangi hadiah di samping berpeluang melanggani di aplikasi Dimsum dengan bayaran hanya RM4.70 sebulan untuk tempoh waktu terhad.