Kami amat bersimpati dengan nasib Jung Yong Hwa CNBLUE ini.
Pada awal hari ini, pelbagai media melaporkan bahawa Polis Metropolitan Seoul telah mengemukakan kes yang melibatkan Profesor Lee dari Universiti Kyunghee, Yonghwa CNBLUE, penyanyi Jo Gyu Man, usahawan Kim, bersama dua yang lain, ke Pejabat Pendakwa di Seoul (Supreme Prosecutor’s Office) untuk tindakan selanjutnya.
Polis telah membuat kesimpulan berkaitan tuduhan bahawa Yonghwa, Jo Gyu Man, dan Kim telah diterima masuk ke Universiti Kyunghee walaupun mereka gagal menghadiri temuduga yang dijalankan. Menurut laporan, Profesor Lee adalah orang yang bertanggungjawab memberikan markah temuduga kepada tertuduh dan kemudian beliau meyakinkan para pembantunya untuk menutup mata sehingga melangkaui peraturan yang ditetapkan. Akhirnya ketiga-tiga tertuduh diberikan markah palsu.
Yonghwa, bagaimanapun akan melaporkan diri menjalani khidmat ketenteraan pada 5 Mac ini. Dia juga sempat berkongsi perasaannya berkaitan perkara ini menerusi instagramnya.
Baca kenyataan Yonghwa di bawah:
Hello, ini Jung Yonghwa.
Segala-galanya yang telah pun terjadi dan kini, setiap hari, setiap masa saya berada dalam ketakutan. Saya memilih untuk berdiam diri kerana siasatan masih lagi dijalankan dan saya tidak ada hak untuk terus memperkatakan perkara ini sehingga semuanya berakhir. Sebagaimana permohon maaf saya yang lalu, saya memang benar-benar maksudkannya. Jika memang saya telah melanggar peraturan yang telah ditetapkan, ia memang salah saya, dan saya akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam perkara ini.Bagaimanapun, saya ingin bercakap mengenai beberapa salah faham yang terjadi. Kes ini adalah berkaitan proses penerimaan masuk saya untuk mengikuti program kedoktoran dalam bidang seni muzik gunaan [applied arts (practical music)].Apa yang saya faham, untuk memasuki bidang ini, seorang professor itu akan melihat kebolehan dan kemampuan calon dalam bidang seni menerusi portfolio yang dihantar. Oleh itu, untuk proses temuduga, ianya bergantung pada budi bicara professor tersebut.
Sebelum diterima masuk, saya ada bertemu dengan profesor saya di bilik latihan bagi membolehkan beliau untuk mendengar lagu-lagu ciptaan saya samada yang telah dikeluarkan mahupun dalam proses penghasilan. Saya akui tidak mendapatkan penerangan penuh mengenai proses kemasukan yang sebetulnya dan saya mengandaikan proses temuduga itu boleh dilakukan tetapi atas budi bicara professor. Adalah tidak benar sama sekali bahawa saya memilih untuk melanjutkan pengajian kerana saya ingin menangguhkan latihan ketenteraan saya. Saya seorang lelaki warganegara Korea dan saya percaya bahawa saya mesti memenuhi kewajipan saya terhadap negara saya. Saya juga seringkali memperkatakan mengenai kemasukan menjalani khidmat ketenteraan semasa ditemubual.
Sejujurnya, saya tidak fikir ianya penting untuk mencari siapa yang patut dipersalahkan dalam perkara ini. Sebaliknya, saya akan menumpukan perhatian kepada permohonan maaf dengan seikhlasnya atas tindakan saya dan saya akan cuba lakukan yang terbaik agar kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi. Saya ingin meminta maaf kepada rakan-rakan selebriti yang sedikit sebanyak telah terjejas oleh tindakan saya. Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses siasatan ini dan selebihnya saya akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan apa yang telah berlaku. Sekali lagi, dengan tulus dan ikhlas saya ingin memohon maaf atas apa yang telah terjadi.
Akhir kata, saya merayu kepada para wartawan agar tidak mengada-adakan cerita, menokoh tambah,memperbesarkan lagi perkara ini atau melaporkan berita tanpa fakta yang betul. Biarlah pihak polis menyelesaikan siasatan mereka dengan sebaiknya.