Hong Seung Hee Anggap Dirinya Heroin Drama Jung Yong Hwa Dalam “Oh My Guard”

Drama romantik baharu lakonan Jung Yong Hwa dan Hong Seung Hee, “Oh My Guard”, bakal membawakan kisah cinta yang pelik dan tidak dijangka apabila seorang pelakon Hallyu popular berdepan dengan seorang wanita yang percaya dirinya ialah heroin sebenar dalam drama televisyen lakonan pelakon tersebut selepas mengalami kemalangan.

Drama ini diarahkan bersama oleh Yoon Jong Ho, pengarah “Lovely Runner” dan “A Bona Fide Killer”, serta Lee Seung Hoon, pengarah “Doctor Shin”.

Menjelang tayangan, “Oh My Guard” turut memperkenalkan watak-watak utamanya menerusi poster dan stills yang memberikan gambaran lebih jelas tentang personaliti serta hubungan antara mereka.

Jung Yong Hwa Sebagai Bintang Romantik Dengan Rahsia Misteri

Jung Yong Hwa memegang watak Uhm Tae Bong, seorang bintang Hallyu terkenal yang dikenali menerusi pelbagai drama romantik. Namun, di sebalik imejnya sebagai pelakon popular dengan penampilan menarik, kemahiran lakonan dan keyakinan diri yang tinggi, Tae Bong mempunyai satu peraturan pelik — dia enggan melakonkan babak ciuman.

Sebagai seorang bintang terkenal, Tae Bong turut digambarkan sebagai seorang yang yakin, gemar berbalas jenaka dan mempunyai sisi playful yang kadangkala terserlah di sebalik imej sempurnanya.

Pada masa yang sama, dia menyimpan satu rahsia besar yang tidak boleh diketahui sesiapa.

Kehidupan Tae Bong mula berubah apabila Oh Hae Ra muncul dan dengan yakin mempercayai bahawa dirinya ialah Cha Hong Doo, heroin dalam salah sebuah drama lakonannya.

Persoalannya, mengapa seorang bintang yang terkenal menerusi drama romantik begitu enggan melakonkan babak ciuman? Dan apakah rahsia yang selama ini cuba disembunyikannya?

Hong Seung Hee Bawakan Dua Sisi Berbeza Sebagai Oh Hae Ra

Hong Seung Hee pula membawakan watak Oh Hae Ra, seorang pewaris keluarga chaebol yang pemalu dan mudah berasa takut.

Selepas terlibat dalam satu kemalangan, Hae Ra mula percaya bahawa dirinya ialah Cha Hong Doo, heroin dalam drama lakonan bintang kegemarannya, Uhm Tae Bong.

Berbeza dengan Hae Ra yang pemalu, Cha Hong Doo merupakan seorang bodyguard yang berani, yakin dan mahir berlawan. Percaya bahawa Tae Bong memerlukan perlindungan, Hae Ra kemudiannya melantik dirinya sebagai bodyguard rahsia kepada pelakon tersebut.

Perubahan ini bakal memperlihatkan dua sisi berbeza Hong Seung Hee — daripada Hae Ra yang polos dan mudah takut kepada Cha Hong Doo yang lebih berani serta penuh semangat.

Park You Na Sebagai Pelakon Yang Jatuh Hati Pada Uhm Tae Bong

Park You Na turut menyertai barisan pelakon menerusi watak Song Na Ri, seorang pelakon yang juga merupakan anggota kumpulan wanita.

Berbekalkan penampilan glamor dan keyakinan diri, Na Ri berjaya mencipta nama sebagai salah seorang bintang popular. Namun, dia mahu dirinya dikenali kerana kemampuan lakonan dan bukan sekadar penampilan.

Demi membuktikan kesungguhannya sebagai seorang pelakon, Na Ri berlatih dengan begitu gigih sehingga skrip lakonannya sendiri sering digunakan berulang kali.

Selepas beberapa kali bekerjasama dengan Uhm Tae Bong, Na Ri mula menyimpan perasaan terhadap bintang tersebut. Dia tertarik kepada Tae Bong kerana menyedari lelaki itu menghargai kesungguhan dan keikhlasannya sebagai seorang pelakon.

Walaupun kelihatan yakin ketika berada di pentas dan set penggambaran, Na Ri hanya menunjukkan sisi lebih lembut apabila bersama Tae Bong.

Kisah Cinta Pelik Di Sebalik Dunia Drama Dan Realiti

Premis unik “Oh My Guard” turut diketengahkan menerusi dua poster utama yang menampilkan Uhm Tae Bong berada di dalam skrin televisyen, manakala Oh Hae Ra berdiri di luar seolah-olah mengaburkan sempadan antara dunia drama dan realiti.

Senyuman bahagia Hae Ra ketika memeluk televisyen yang menampilkan Tae Bong, bersama pelekat bertulis “Tae Bong”, simbol hati dan elemen bertemakan peminat, menggambarkan keterujaannya terhadap bintang kegemarannya.

Tagline “Her very strange(?) world has come to me” pula memberikan bayangan tentang bagaimana dunia pelik Hae Ra mula memasuki realiti Tae Bong.

Ketika berdepan dengan wanita misteri yang menjadi perubahan terbesar dalam hidupnya, Tae Bong perlahan-lahan mendapati dirinya turut terheret ke dalam dunia Hae Ra, sekali gus membuka jalan kepada kisah romantik yang penuh gelagat lucu, pertengkaran dan situasi tidak dijangka.

“Oh My Guard” akan ditayangkan pada 24 Oktober 2026, jam 10:50 malam KST menerusi Lifetime dan turut boleh distrim di Viu Malaysia.

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4