Apa yang akan berlaku apabila seorang pekerja pejabat memenangi 1.3 bilion won tetapi masih memilih untuk pergi bekerja seperti biasa?
Itulah premis menarik drama baharu “The Ordinary Jackpot” yang dibintangi Lee Jun Hyuk.
Diadaptasi daripada webtoon, drama ini mengisahkan Gong Eun Tae (Lee Jun Hyuk), seorang pekerja bahagian jualan yang menjalani kehidupan biasa dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan kehidupannya tanpa sebarang masalah.

Namun, semuanya berubah selepas dia memenangi hadiah utama loteri sebanyak 1.3 bilion won (kira-kira AS$950,000).
Walaupun jumlah tersebut tidak cukup untuk mengubah kehidupannya secara drastik dalam sekelip mata, kemenangan itu memberi Eun Tae perspektif baharu terhadap kehidupan.
Menariknya, dia tidak berhenti kerja. Sebaliknya, Eun Tae kembali ke pejabat pada keesokan harinya dengan pandangan yang sama sekali berbeza.

Sebelum kemenangan tersebut, Eun Tae digambarkan sebagai seorang pekerja yang sangat tekun dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam tugasnya. Walaupun berjaya menjadi ketua pasukan lebih awal berbanding sesetengah rakan sekerjanya, dia sering tersepit antara pihak atasan dan orang bawahannya.
Kini, dengan wang kemenangan sebagai semacam “jaminan ketenangan fikiran”, Eun Tae mula melihat kehidupan dan pekerjaannya dari sudut yang berbeza.
Rakan Sekerja Turut Berdepan Perubahan
Perubahan Eun Tae turut memberi kesan kepada rakan-rakan sekerjanya.
Seo Hyun Woo membawakan watak Yang Joon Ho, penolong pengurus kanan Pasukan Jualan 5 yang dikenali sebagai seorang “troublemaker”.

Walaupun mempunyai kebolehan, Joon Ho sering tidak bernasib baik dalam soal kenaikan pangkat. Keadaan menjadi lebih rumit apabila dia terpaksa bekerja di bawah Eun Tae yang lebih muda daripadanya tetapi kini sudah menjadi ketua pasukan.
Joon Ho mempunyai rasa rendah diri terhadap Eun Tae, namun di sebalik sikapnya itu, dia sebenarnya mengambil berat tentang kejayaan pasukannya. Dia juga seorang yang mudah mesra dengan senior dan mengambil berat terhadap juniornya.
Sementara itu, Oh Dae Hwan melakonkan Jung Sun Hyuk, ketua Pasukan Jualan 4.

Sun Hyuk merupakan seorang pekerja yang rajin, bercita-cita tinggi dan mempunyai rasa tanggungjawab yang kuat. Namun, dia turut berdepan dengan realiti bahawa kerja keras tidak semestinya membawa hasil yang diharapkan.
Perubahan yang berlaku kepada Eun Tae selepas memenangi loteri turut membuatkan Sun Hyuk mula berdepan dengan perubahan dalam dirinya sendiri.
Eun Tae Cetus Kekecohan Di Pejabat
Menjelang tayangan perdananya, The Ordinary Jackpot turut memperkenalkan still baharu yang menunjukkan Eun Tae dalam satu situasi yang cukup mengejutkan.
Dalam salah satu still, Eun Tae tiba di pejabat sambil membawa tong minyak, sehingga mencetuskan kekecohan di tempat kerja.

Yang Joon Ho (Seo Hyun Woo), Jung Sun Hyuk (Oh Dae Hwan), Park Ki Tae (Hong Jin Ki) dan Lee Ji Hye (Ha Yul Ri) semuanya kelihatan terkejut dengan tindakan mengejut Eun Tae.



Bagaimana kemenangan loteri akan mengubah kehidupan Eun Tae di tempat kerja menjadi antara perkara utama yang bakal menarik perhatian penonton dalam episod pertama.
Menjelang tayangan, Lee Jun Hyuk turut meminta penonton memberi perhatian kepada perubahan emosi halus yang dialami Eun Tae sepanjang cerita.
Seo Hyun Woo pula menekankan bagaimana kehidupan bekerja tanpa henti masih diteruskan walaupun selepas memenangi loteri, selain chemistry antara watak-watak.
Oh Dae Hwan mencadangkan penonton melihat setiap watak sambil membayangkan, “Apa yang akan saya lakukan kalau berada di tempat mereka?”
Dengan premis yang menggabungkan kehidupan pejabat, komedi dan fantasi memenangi loteri, drama ini bakal meneroka bagaimana satu kemenangan besar boleh mengubah cara seseorang melihat kehidupan tanpa semestinya mengubah rutin hariannya sepenuhnya.
“The Ordinary Jackpot” mula ditayangkan menerusi TVING pada 10 September 2026, manakala siaran televisyennya akan bermula menerusi tvN pada 14 September. Drama ini turut tersedia untuk penonton antarabangsa menerusi HBO Max menyenaraikannya untuk tayangan di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia.
Kalau menang loteri, anda masih sanggup pergi kerja keesokan harinya? 👀


