Peminat KPop Demon Hunters di Malaysia bakal dapat menyaksikan muzik daripada filem popular itu secara langsung apabila “Rolling Stone Music Live: With KPop Demon Hunters (Sub: Dreaming Day)” membuat debut dunianya di Kuala Lumpur.
Konsert ini akan berlangsung pada 7 November 2026, jam 8.00 malam di Stadium Merdeka, dengan harga tiket bermula RM288.
Sejak ditayangkan pada Jun 2025, KPop Demon Hunters terus mencipta pelbagai rekod selepas meraih lebih 600 juta tontonan, sekali gus menjadi judul original Netflix paling popular setakat ini.
Ia juga menjadi judul pertama dalam sejarah Netflix yang berada dalam Global Top 10 selama 52 minggu berturut-turut. Sementara itu, runut bunyinya telah mengumpul lebih 15 bilion penstriman di seluruh dunia.
Runut bunyi tersebut turut mencipta sejarah apabila empat lagu daripadanya berada dalam Top 10 Billboard Hot 100 pada masa yang sama.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah “Golden”, lagu yang ditulis bersama oleh EJAE dan dipersembahkan oleh HUNTR/X. EJAE juga merupakan suara nyanyian untuk watak Rumi.
“Golden” menjadi lagu paling banyak distrim di seluruh dunia pada 2025 dan menghabiskan lapan minggu di No. 1 Billboard Hot 100. Lagu tersebut turut menjadi lagu K-pop pertama yang memenangi Grammy dan Oscar.

EJAE, Andrew Choi, Kevin Woo & Arden Cho Ke Kuala Lumpur
Dianjurkan bersama oleh Galaxy World Entertainment (GWE) dan GS World Entertainment, konsert ini akan menampilkan EJAE, Andrew Choi, Kevin Woo dan Arden Cho.
Andrew Choi dan Kevin Woo merupakan antara penyanyi di sebalik lagu popular Saja Boys seperti “Soda Pop” dan “Your Idol”, manakala Arden Cho merupakan suara untuk watak Rumi.
Peminat juga berpeluang menyaksikan sendiri barisan artis yang terlibat di sebalik muzik dan suara watak dalam KPop Demon Hunters.
Tiket Bermula RM288
Peminat boleh mendapatkan tiket terlebih dahulu menerusi jualan fizikal pada 29 Ogos 2026, bermula jam 12.00 tengah hari di Aras 3, Pavilion Damansara Heights.
Tiada jualan tiket secara online pada 29 Ogos.
Jualan tiket secara dalam talian akan dibuka pada 30 Ogos 2026.
Butiran Konsert
📅 7 November 2026 (Sabtu)
⏰ 8.00 malam
📍 Stadium Merdeka, Kuala Lumpur
🎟️ Tiket bermula RM288
Jualan Tiket Fizikal
📅 29 Ogos 2026
⏰ 12.00 tengah hari
📍 Aras 3, Pavilion Damansara Heights


