Netflix bakal memperkenalkan drama baharu “The Scandal”, dibintangi Son Ye Jin, Ji Chang Wook dan NANA, yang akan mula distrim secara global pada 18 September.
Berdasarkan filem “Untold Scandal” (2003), drama ini mengisahkan permainan cinta yang berani dan berbahaya antara Lady Cho (Son Ye Jin), seorang wanita luar biasa yang kebolehannya jauh melampaui batas kehidupan wanita bangsawan, dan Cho Won (Ji Chang Wook), lelaki yang dikenali sebagai kaki perempuan paling hebat di Joseon.
Pertaruhan berbahaya antara mereka akhirnya turut melibatkan Hui Yeon (NANA), seorang wanita bangsawan yang telah kehilangan suami dan menjalani kehidupan penuh kesopanan. Tanpa disedari, Hui Yeon terheret semakin jauh ke dalam permainan tipu daya mereka.
Berlatarbelakangkan zaman ketika cinta terlarang dan keinginan seperti ini tidak boleh diluahkan secara bebas, “The Scandal” mengetengahkan kisah godaan, cinta terlarang dan keinginan yang mencabar batas masyarakat pada zaman tersebut.
Drama ini diarahkan oleh Jung Ji Woo, yang sebelum ini menerajui karya dalam pelbagai genre termasuk Tune in for Love dan Somebody. Kisahnya turut memberikan sentuhan baharu terhadap karya klasik “Dangerous Liaisons” karya Pierre Choderlos de Laclos, yang diterbitkan pada 1782.
Dalam drama ini, Son Ye Jin membawakan watak Lady Cho, seorang wanita yang kelihatan sopan dan terhormat tetapi menyimpan sisi yang jauh lebih berani. Dia menjadi individu yang mencetuskan pertaruhan yang bakal mengubah kehidupan ketiga-tiga watak utama.
Ji Chang Wook pula melakonkan Cho Won, lelaki yang gemar mengejar keseronokan dan dikenali sebagai kaki perempuan paling terkenal di Joseon. Dia menerima pertaruhan Lady Cho dan mula mendekati Hui Yeon demi memenangi permainan tersebut.
Sementara itu, NANA memainkan watak Hui Yeon, seorang wanita bangsawan yang kematian suami dan menjalani kehidupan yang penuh kesopanan. Tanpa menyedari dirinya menjadi sebahagian daripada pertaruhan, Hui Yeon akhirnya terperangkap dalam permainan yang semakin sukar dikawal.
Teaser pertama beri bayangan tentang permainan berbahaya
Teaser yang baru diperkenalkan memberikan gambaran tentang pertaruhan yang bakal menggemparkan Bukchon, kawasan yang menjadi pusat kehidupan golongan bangsawan Joseon.
Lady Cho dilihat mengemukakan pertaruhannya dengan pandangan penuh keyakinan, sebelum Cho Won menerimanya dengan penuh keinginan. Dalam masa yang sama, Hui Yeon kelihatan serba salah namun seolah-olah turut tertarik dengan situasi yang sedang berlaku.
Ketegangan semakin meningkat apabila Cho Won mendekati Hui Yeon demi mencapai kemenangan, sementara Lady Cho memerhatikan segala-galanya dari jauh. Persoalannya, sejauh mana permainan penuh godaan ini akan membawa mereka dan apakah akibat yang bakal menanti?
Poster teaser turut memperlihatkan ketiga-tiga watak utama dalam suasana yang seakan-akan sebuah lukisan.
Lady Cho duduk di ruang kediamannya yang dikelilingi bunga merah, menimbulkan persoalan tentang motif sebenar di sebalik pertaruhannya.

Cho Won pula tampil yakin di tengah-tengah wanita-wanita yang mengelilinginya, selari dengan reputasinya sebagai kaki perempuan Joseon. Poster tersebut turut memberi bayangan tentang usahanya untuk memenangi pertaruhan dan mendapatkan apa yang diinginkannya.

Sementara itu, Hui Yeon kelihatan murung di tengah-tengah bunga plum yang sedang berkembang, seolah-olah membayangkan nasib yang bakal menantinya selepas tanpa sengaja terjerumus ke dalam permainan tersebut.

Dengan gabungan kisah klasik, sentuhan moden, visual Korea yang memukau serta permainan cinta yang penuh godaan, “The Scandal” dijangka membawa kisah yang sarat dengan rahsia, keinginan dan cinta terlarang.
“The Scandal” akan mula distrim secara global pada 18 September, hanya di Netflix.


