Ten Tinggalkan SM Entertainment Selepas 10 Tahun, Kekal Bersama NCT & WayV

Selepas sedekad bersama SM Entertainment, Ten akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya dengan agensi tersebut.

Pada 6 April, SM mengesahkan bahawa kontrak eksklusif Ten akan berakhir pada 8 April selepas melalui perbincangan panjang mengenai hala tuju masa depannya.

Walaupun meninggalkan syarikat, Ten tidak akan berpisah sepenuhnya daripada kumpulan. Sebaliknya, dia akan terus terlibat dalam aktiviti bersama NCT dan WayV jika berpeluang.

Menurut kenyataan SM Entertainment, mereka akan terus berhubung dengan Ten bagi membuka ruang untuk dia menyertai aktiviti kumpulan pada masa akan datang.

Sepanjang 10 tahun bersama agensi itu, Ten membina identiti tersendiri sebagai artis serba boleh—bukan saja dikenali dengan skil tarian yang kuat, tetapi juga vokal dan karisma pentasnya.

Ten mula debut sebagai anggota NCT U pada tahun 2016, sebelum menyertai WayV pada 2019 dan kemudiannya aktif dalam SuperM. Dalam masa sama, Ten turut mengembangkan kerjaya solo dengan gaya muzik yang lebih artistik dan eksperimental.

Selepas pengumuman tersebut, Ten berkongsi surat kepada peminat dalam beberapa bahasa menerusi IG storynya, meluahkan rasa terima kasih atas sokongan yang diterima selama ini. Pada masa sama, dia turut memberi bayangan tentang keinginannya untuk mencuba perkara baharu dalam kerjaya.

Walaupun kini bergerak ke arah laluan baharu, peminat masih boleh menjangkakan kehadiran Ten dalam projek NCT dan WayV pada masa akan datang.

Sebelum ini, pada Jumaat lepas Mark Lee turut diumumkan meninggalkan SM Entertainment, menjadikan Ten antara ahli seterusnya yang tidak memperbaharui kontrak.


Sumber : 1 | 2 |