KUALA LUMPUR, 4 Sept — Sepanjang bulan Ogos, demam K-pop benar-benar melanda ibu kota Malaysia dengan kehadiran artis solo dan kumpulan dari Korea, membuat ramai peminat pening kepala tak tahu mahu pilih konsert siapa yang hendak ditonton. Bagi pihak Kmania pula, walaupun penat tetapi puas untuk membuat liputan kerana setiap konsert hadir dengan keunikan tersendiri. Namun yang lebih bermakna adalah kemunculan NMIXX, kumpulan K-pop yang terkenal dengan genre MIXX POP, tepat pada tarikh keramat 31 Ogos sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68.
2025 K-Wave Super Concert pula bukanlah konsert biasa, ia menjadi malam spektakular yang menggabungkan bakat antarabangsa dan tempatan, dengan disaksikan lebih 3,700 peminat dari dalam dan luar negara.
Kedatangan NMIXX ke Kuala Lumpur di Idea Live Arena, 3 Damansara Mall merupakan penampilan sulung mereka di Malaysia, sekaligus peluang pertama bertemu peminat NSWER tempatan.
Seawal jam 4 petang, sesi ‘Sound Check’ bersama dengan NMIXX selama 20 minit diadakan, memberi peminat bertuah pengalaman istimewa. NMIXX dianggotai oleh 6 gadis cantik dan berbakat iaitu Heawoon yang merupakan ketua kumpulan, di ikuti oleh Lily, Sullyoon, Bae, Jiwoo dan Kyujin.
Seterusnya konsert bermula pada jam 5.15 petang dengan dirasmikan nyanyian berkumandangan penuh semangat lagu kebangsaan Negaraku.
Pembukaan tirai konsert dimulakan oleh penyanyi muda versatil Aisha Retno yang menghangatkan suasana dengan laungan “Selamat Merdeka”. Beliau menyampaikan medley tiga lagu Semundra, Sutera dan SHEESH (Monster) dalam bentuk remix, sebelum menutup persembahan dengan single terbarunya JEDA.
Sementara itu, Jang HanByul, bekas vokalis kumpulan Korea LEDApple, memikat hati penonton dengan interaksi dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Kefasihannya berbahasa Melayu meskipun baru empat tahun menetap di Malaysia membuatkan peminat tempatan bangga. HanByul mempersembahkan lagu popularnya Luka & Bahagia, diikuti Use To This, serta cover versi peribadi lagu viral dunia Golden.
Turut memanaskan pentas ialah kumpulan wanita Malaysia DOLLA, yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabby dan Angel . Digelar “K-pop Malaysia”, mereka tampil penuh keyakinan dan selesa menyampaikan deretan lagu popular seperti DEMELO, BAD, Best Side, Classic dan menutup dengan single terbaru MWA.
Sorakan semakin bergema apabila artis utama dan penutup malam, NMIXX, memulakan persembahan dengan tayangan video pengenalan di skrin pentas. Lagu pembukaan Run For Roses terus menaikkan adrenalin peminat dengan vokal lantang dan koreografi bertenaga.
Antara lagu lain yang dibawakan termasuk DASH, DICE, Know About Me, See That?, Moving On, Party O’Clock dan Love Me Like This. Peminat jelas terpesona dengan vokal mantap dan persembahan energik mereka.
Dalam sesi interaksi, NMIXX meluahkan penghargaan kepada peminat yang sabar menantikan kehadiran mereka ke Malaysia. Sesekali, Bae sempat menyapa dalam bahasa Melayu dengan ucapan “Aku Cinta Kamu Malaysia” dan “terima kasih” yang disambut sorakan gemuruh.
Sebelum menutup tirai, ketua kumpulan Haewon memaklumkan mereka akan segera berangkat pulang ke Korea pada malam yang sama. Lily pula sempat berjanji bahawa NMIXX pasti akan kembali ke Malaysia lagi dan meminta NSWER untuk sabar menanti kedatangan mereka kelak.
Semoga janji itu dapat mengubat rindu dan menjadi penantian manis buat NSWER Malaysia.
Akhir kata, pihak Kmania mengucapkan terima kasih kepada Think Geek Media atas jemputan media serta peluang eksklusif merasai sesi Sound Check. Semoga ada rezeki bekerjasama lagi di konsert-konsert akan datang.