HIGHLIGHT Kembali Sebagai BEAST, ‘Endless Ending’ Jadi Tanda Permulaan Baharu

BEAST Kembali! HIGHLIGHT Rasmi Gunakan Semula Nama Asal Selepas Hampir Sedekad

Selepas hampir satu dekad dikenali sebagai HIGHLIGHT, kumpulan lelaki popular Korea ini kini melakar babak baharu yang penuh makna dalam perjalanan seni mereka. Sembilan tahun selepas berpisah daripada nama asal mereka, kumpulan ini kembali sebagai BEAST — nama yang pernah menggegarkan industri K-pop dan mencipta pelbagai kejayaan. Kepulangan semula ini bukan sekadar membawa nostalgia, tetapi juga satu penghargaan terhadap masa lalu dan azam untuk terus melangkah ke hadapan.

Nama BEAST adalah singkatan kepada Boys of East Standing Tall, yang melambangkan semangat sekumpulan anak muda yang teguh berdiri di pentas muzik. Pada peringkat awal kerjaya, mereka turut dikenali sebagai B2ST — singkatan kepada Boys 2 Search for Top, mencerminkan usaha gigih mereka mengejar puncak kejayaan.

Pengumuman penuh emosi ini dilakukan ketika konsert Light Go On Again pada Mei 2024. Ketika itu, anggota kumpulan mengejutkan peminat dengan memperkenalkan diri sebagai “BEAST”, disambut dengan sorakan dan air mata kegembiraan para peminat. Mereka juga memperkenalkan diri dua kali, sekali sebagai BEAST dan sekali lagi sebagai HIGHLIGHT — sebagai simbol penghormatan kepada dua nama yang membentuk identiti mereka selama ini.

📣 “SO BEAST!!!! ANNYEONGHASEYO, BEAST IMNIDA!”
📣 “1, 2, 3 – HIGHLIGHT IMNIDA!”


Dari BEAST ke HIGHLIGHT, Kini Kembali sebagai BEAST

BEAST debut pada 2009 dengan enam anggota dan segera mencipta kejayaan besar dalam dunia K-pop. Namun, selepas meninggalkan Cube Entertainment pada 2016, mereka kehilangan hak terhadap nama tersebut. Mereka kemudiannya menubuhkan agensi sendiri, Around Us Entertainment, dan meneruskan perjalanan sebagai HIGHLIGHT.

Pada 2 April 2025, Around Us Entertainment mengumumkan bahawa mereka telah memperoleh hak tanda dagangan BEAST, sekaligus membolehkan kumpulan ini menggunakan semula nama asal serta memiliki hak penuh terhadap karya-karya terdahulu di bawah nama BEAST.

Walaupun begitu, empat anggota — Doojoon, Yoseop, Gikwang, dan Dongwoon — memilih untuk terus menggunakan nama HIGHLIGHT dalam aktiviti rasmi mereka, sebagai simbol penghargaan terhadap kedua-dua era BEAST dan HIGHLIGHT.


“Endless Ending”: Lagu Simbolik Di Bawah Nama BEAST

Pada 16 April lalu, buat pertama kali selepas sembilan tahun, kumpulan ini kembali meriliskan lagu baharu di bawah nama BEAST berjudul Endless Ending. Lagu ini adalah pra-keluaran bagi album mini keenam mereka dan dikhususkan sebagai penghargaan buat peminat setia yang terus menyokong mereka selama ini.

Endless Ending melonjak ke tangga kedua carta Melon HOT100 dalam tempoh 30 hari dan kekal berada dalam Melon TOP100 setakat jam 8 pagi, 17 April. Lagu ini turut memasuki carta masa nyata Genie dan Bugs, manakala kata kunci seperti “BEAST”, “HIGHLIGHT”, dan “Endless Ending” tersenarai dalam carian popular Melon — bukti jelas populariti mereka yang masih utuh.

Lagu ini turut mencatat pencapaian global, menduduki carta lagu teratas di lapan negara dan wilayah termasuk Malaysia, Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Macau, Vietnam, Thailand dan Jepun.


Maksud Di Sebalik “Endless Ending”

Sebagaimana tajuknya, Endless Ending atau Pengakhiran yang Tiada Kesudahan menyampaikan rasa kesedihan dan kerinduan terhadap masa lalu yang tidak dapat dipulihkan. Lirik lagu ini menyentuh persoalan tentang hubungan yang sudah berakhir — seperti filem yang sudah dirakam dan tidak boleh diubah — namun kekal sebagai kenangan.

“Bagaimana jika pengakhiran kita bukan seperti sekarang? Adakah semuanya akan berbeza jika kita mengisinya dengan kehangatan dan bukannya kebencian?”

Gaya balada emosional ini mengingatkan peminat kepada lagu-lagu ikonik BEAST terdahulu, menjadikan Endless Ending sebagai simbol jujur terhadap perjalanan mereka selama ini.


Album “From Real to Surreal” Bakal Dilancarkan

From Real to Surreal, album mini keenam BEAST dijadualkan dilancarkan pada 28 April 2025, jam 6 petang (KST). Album ini mengandungi empat lagu — Chains (lagu utama), Endless Ending (pra-keluaran), serta Good Day to You dan Follow Me.

Endless Ending dijangka bakal menyertai senarai lagu-lagu ikonik BEAST seperti 12:30, On Rainy Days, When I Miss You, dan Ribbon — memperkukuh semula identiti muzik mereka.


Comeback Penuh dan Harapan Peminat

Around Us turut mengesahkan bahawa BEAST akan membuat kemunculan semula secara penuh dengan 4 anggota dan bakal melancarkan album baharu pada Jun 2025. Berita ini mencetuskan pelbagai reaksi teruja daripada peminat yang kini menantikan kemungkinan siri jelajah konsert dan kemunculan semula BEAST di pentas Malaysia.

Sama ada dikenali sebagai BEAST atau HIGHLIGHT, kumpulan ini tetap memiliki tempat istimewa di hati peminat. Dengan nama yang kini dikembalikan dan semangat baharu yang menyala, BEAST benar-benar kembali — lebih kuat dan bermakna dari sebelumnya!