2AM Gamit Memori, Malam Nostalgia Terindah di Kuala Lumpur

Kuala Lumpur, 16 Februari 2025 – Selepas lebih sedekad, kumpulan balad popular Korea Selatan, 2AM, akhirnya kembali ke Malaysia untuk bertemu peminat setia mereka, IAM. Konsert jelajah terbaru mereka, “2AM IS COMING TO TOWN”, menjadi momen penuh nostalgia bagi peminat yang telah lama menantikan kepulangan mereka. Dengan vokal mantap dan susunan muzik yang menyentuh jiwa, 2AM sekali lagi membuktikan kehebatan mereka dalam menyampaikan emosi menerusi setiap lagu.

Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi pertama jelajah ini, dan konsert di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, bukan sahaja mengimbau kenangan manis, malah mengukuhkan hubungan erat antara 2AM dan peminat Malaysia.

Konsert dimulakan dengan persembahan akustik “TO. AM (For You)”, diikuti versi remix lagu “Santa Claus Is Coming To Town” yang diberi nafas baharu sebagai “2AM IS COMING TO TOWN”. Sepanjang malam, peminat dihiburkan dengan deretan lagu hit seperti “You Wouldn’t Answer My Calls”, “Like Crazy”, “Like a Fool”, “Moment”, “Never Let You Go”, “Proposed”, “This Song”, dan banyak lagi. Kehebatan vokal mereka tetap memukau, membuktikan keunikan 2AM sebagai kumpulan balad unggul.

Pada sesi interaksi bersama peminat, Jo Kwon, Changmin, Seulong, dan Jinwoon menzahirkan rasa terharu mengenang kunjungan pertama mereka ke Kuala Lumpur pada tahun 2012 menerusi ‘mini fan meeting’ dan showcase. Mereka turut menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi dari IAM Malaysia sepanjang karier mereka, menyatakan bahawa tanpa IAM, 2AM tidak akan berada di tahap ini.

Konsert menjadi lebih istimewa apabila Seulong muncul di atas pentas mengenakan Baju Melayu tradisional, memberikan kejutan manis kepada peminat. Suasana semakin meriah apabila 2AM turun ke bawah pentas untuk berinteraksi lebih dekat sambil menyanyikan “Flower Road”. Mereka juga mempersembahkan medley lagu popular masa kini seperti “Supernatural” (NewJeans), “Supernova” (aespa), “HAPPY” (DAY6), dan “APT” (Rosé). Persembahan ini menyerlahkan versatiliti mereka, dengan Jo Kwon turut mencuri perhatian dengan tarian ‘diva’nya yang mencetuskan sorakan peminat.

Namun, setiap permulaan pasti ada pengakhirannya. Konsert ditutup dengan penuh emosi menerusi lagu “Always Me”, diiringi cahaya ‘flashlight’ peminat dan taburan konfeti yang memenuhi ruang arena. 2AM mengucapkan selamat tinggal dengan janji bahawa mereka akan kembali lagi bertemu IAM Malaysia di masa akan datang.

Konsert jelajah Asia “2AM IS COMING TO TOWN” ini dibawakan khas oleh GME International dengan kerjasama Sunny Side Up & LoFi Entertainment.

Senarai penuh Lagu Konsert 2AM “IS COMING TO TOWN” di Kuala Lumpur 2025 

  1. TO. AM (For You)
  2. 2AM IS COMING TO TOWN
  3. What Should I Do (어띠하져)
  4. You Wouldn’t Answer My Calls (전화를 받지 않는 너에게)
  5. Like Crazy (미치는 뒤에)
  6. Like a Fool (반대로)
  7. Moment
  8. I’m Sorry I Can’t Smile For You (웃어 줄 수 없어서 미안하다)
  9. One Spring Day (어느 봄날)
  10. Flower Road (꽃길만 경해 줄게)
  11. A Popular Medley (대세 메들리) – Supernatural (NewJeans), Supernova (aespa), HAPPY (DAY6), APT (Rosé)
  12. Propose (찬혼)
  13. Over the Destiny (나타나 주라)
  14. If You Change Your Mind (혹시 네 생각이 바\afe0c면)
  15. I Wonder If You Hurt Like Me (너도 나처럼)
  16. Never Let You Go (죽어도 못 보내)
  17. Confession of a Friend (친구의 고려)
  18. This Song (이 노래)
  19. I’m Da One
  20. I Did Wrong (재벌했어)
  21. Always Me

Konsert ini bukan sahaja menjadi malam penuh kenangan buat IAM Malaysia, malah membuktikan bahawa 2AM masih kekal relevan dan dihormati dalam industri muzik. Peminat pastinya berharap agar kumpulan ini akan terus berkarya dan kembali lagi ke Malaysia di masa akan datang.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Jangan lupa untuk mengikuti dan menyukai KMania di FacebookTwitterInstagramTikTok dan Youtube untuk melihat kenangan istimewa yang kami kongsikan serta mendapatkan lebih banyak perkembangan terkini.