Ekoran kontroversi Seunghan RIIZE, SM Entertainment umum penggantungan segala aktiviti & Seunghan kongsi surat mohon maaf

Pada 22 November KST, SM Entertainment mengumumkan berita penggantungan aktiviti Seunghan daripada aktiviti RIIZE (kepada suatu tempoh yang tidak dinyatakan) kerana kontroversi mengenai kehidupan peribadinya baru-baru ini.

RIIZE memulakan kerjaya di bawah SM Entertainment pada bulan September. Bagaimanapun, Seunghan terlibat dalam kontroversi berikutan gambar ketika zaman pelatihnya beberapa hari sebelum debut tersebar dalam talian. Antaranya gambar beliau merokok di jalanan Jepun dan video ketika beliau membuat panggilan video dengan idol lain.

Helo, ini SM Entertainment. Ini adalah pemberitahuan mengenai ahli RIIZE Seunghan.

Seunghan berasa sangat menyesal dan kini sedang bermuhasabah diri kerana menyebabkan kekecewaan dan kekecohan bukan sahaja kepada kumpulan dan ahli tetapi juga kepada peminat kerana isu mengenai kehidupan peribadinya yang dibocorkan dan disebarkan baru-baru ini melalui media sosial dan komuniti dalam talian.

Disebabkan itu, Seunghan berasa terbeban dan bertanggungjawab, dan selepas pertimbangan yang mendalam, dia menyatakan hasratnya untuk menghentikan aktiviti demi pasukan. Kami juga menganggap bahawa adalah tidak munasabah untuk meneruskan aktiviti dalam keadaan sebegini, jadi kami memutuskan untuk menggantung aktiviti Seunghan untuk suatu tempoh waktu yang masih belum ditetapkan. Kami turut menghormati pendapatnaya yang tidak mahu menyebabkan kemudaratan berlanjutan kepada pasukan dan ahli.

Oleh itu, mulai hari ini (22 November), RIIZE akan aktif dengan 6 ahli tidak termasuk Seunghan.

Sungguhpun ini adalah situasi yang mendadak, keputusan ini diambil selepas perbincangan yang teliti dengan artis sendiri. Kami meminta pemahaman daripada peminat, dan kami merasakan tanggungjawab yang besar atas kecuaian kami dalam menguruskan artis kami, walaupun sebelum mereka debut. Sekali lagi, kami memohon maaf  kepada peminat.

Walau bagaimanapun, video dan gambar yang dibocorkan serta diedarkan tanpa kebenaran telah diambil semasa beliau masih lagi bergelar pelatih, dan dimuatnaik semula beberapa kali sehingga menyebabkan salah faham. Ini berikutan ada sesetengah individu dengan sengaja telah mengedit sumber asal dan menambah maklumat yang tidak tepat serta tidak berasas. Mereka dengan niat telah menfitnah artis kami.

Setelah mengetahui fakta di atas, kami segera melakukan pemantauan, mengumpul sejumlah besar bukti, mengenal pasti pihak yang membocorkan dan menyebarkan maklumat tanpa kebenaran. Kami bercadang untuk memfailkan aduan undang-undang petang ini di balai polis tempatan.

Di samping itu, kami sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang tambahan terhadap individu yang terlibat kerana mereka bukan sahaja memfitnah kerana kebocoran dan pengedaran tanpa kebenaran, tetapi juga untuk pelbagai perbuatan haram seperti jenayah siber dan ugutan.

Demi artis dan pasukan kami, serta demi peminat yang menyayangi pasukan, kami merancang untuk mengambil tindakan tegas tanpa sebarang tolak ansur terhadap semua tindakan sampingan yang merugikan, seperti bukan sahaja memfailkan tuntutan mahkamah, tetapi juga mencipta, menyebar dan mengembangkan serta mengeluarkan semula khabar angin rawak terhadap artis melalui siaran tambahan.

Kami akan terus melakukan yang terbaik untuk melindungi artis kami.

Terima kasih.

Seunghan RIIZE Kongsi Surat Permohonan Maaf Tulisan Tangan

Dalam pada itu, susulan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh SM Entertainment berhubung status Seunghan RIIZE, beliau menulis surat permohonan maaf di tempat berasingan.

Melalui platform Weverse, Seunghan menyiarkan surat tulisan tangannya selepas diumumkan bahawa dia akan direhatkan tanpa batas waktu.

Berikut adalah kandungan surat yang ditulis oleh Seunghan RIIZE:

Hello, ini Seunghan.

Pertama sekali, saya ingin menyatakan bahawa saya sangat menyesal.

Saya tahu sangat tindakan saya yang cuai dari dulu kini merugikan ramai orang. Saya ikhlas merenung kembali diri saya.

Saya ingin memohon maaf kepada peminat yang telah menyokong saya dan ahli RIIZE.

Saya sangat-sangat menginsafi diri dan hakikat bahawa saya telah menyebabkan banyak kerosakan pada masa yang sepatutnya saya bekerja lebih keras daripada sebelumnya dan memberi tumpuan kepada apa yang perlu saya lakukan. Saya akan muhasabah diri sebaiknya dan bekerja lebih keras untuk menjadi orang yang lebih baik.

Sekali lagi, saya memohon maaf kepada ahli, peminat, dan kakitangan.

Profile Seunghan dialih keluar (removed) dari Highlight Instagram rasmi kumpulan RIIZE

​Tidak hanya itu, peminat menyedari bahawa sorotan pengenalan Seunghan telah dialih keluar daripada halaman Instagram rasmi kumpulan itu. Pada asalnya, profil dan gambar pra-debut lain telah menjadi sebahagian daripada highlights reel. Bagaimanapun, video pendek Seunghan yang telah dimuat naik di Instagram masih lagi ada setakat ini.

Sebagai tindak balas terhadap perkara ini, netizen telah menyatakan bahawa respons syarikat terhadap perkara itu adalah pantas dan berkesan. Ada yang menggalakkan syarikat mengeluarkannya daripada kumpulan dengan menggunakan peluang ini. Manakala yang lain mengkritik industri hiburan ini adalah menakutkan.

Semoga masalah ini dapat diselesaikan dengan cepat dan pelakunya dapat dibawa ke muka pengadilan dan semoga Seunghan dapat kembali beraktiviti bersama RIIZE semula.

Sumber : 1 | 2 | 3

loading...