Industri hiburan China semakin huru-hara dengan campurtangan dari Presiden China yang megeluarkan perintah rasmi mengarahkan pembersihan industri hiburan China secara besar-besaran pada 3 September 2021.
Arahannya adalah seperti membersihkan artis yang mempunyai “pandangan politik yang salah”, diskriminasi gaji rendah dan tidak setimpal yang diterima pekerja di dalam industri hiburan dan budaya peminat mengidolakan artis secara fanatik.
Semua peminat hiburan China amnya tahu tindakan sebegini diambil secara serius bermula dari skandal terbesar dari Kris Wu yang didapati bersalah merogol gadis dibawah umur.
Menyusul skandal yang menimpa pelakon yang bersinar dipersada lakonan iaitu Zhang Zhehan yang didapati bergambar di hadapan Kuil Nogi, Jepun pada tahun 2018, di mana ianya adalah isu yang paling senstif bagi rakyat China dan pelakon antarabangsa Vicky Zhou yang dikatakan suaminya terlibat dengan politik kotor.
Kesemua mereka ini adalah artis yang berpengaruh dan telah berhadapan dengan isu pengharaman di dalam sebarang aktiviti hiburan di China, malahan nama mereka telah dipadamkan dari filem yang dilakonkan.
Larangan juga telah diutarakan kepada Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional China untuk menguatkuasakan larangan artis berpenampilan dengan nilai estetika yang salah. Oleh itu, mereka akan menapis penampilan artis lelaki yang feminin dan solekan persis seperti wanita. Ini juga bermakna kesemua drama dan filem yang bertemakan LGBT telah diharamkan dari tontonan. Arahan ini telah menerima pelbagai reaksi terutama penduduk China yang terlibat di dalam LGBT.
Tidak habis dengan ini, beberapa artis China seperti Jet Li, Wang Lee-Hom, Liu YiFei, Jackson Wang dan Mark Tuan yang memegang dua kerakyatan dan aktif di negara lain kini berdepan dengan pembuangan dan diharamkan di China.
Buat masa ini, Tzuyu dari TWICE kini terkena tempias dari larangan tersebut. Pada 30 Ogos 2021, kelab peminat Tzuyu diplatform Weibo, telah menerima notis untuk mengubah nama kelab peminatnya. Ini disebabkan oleh Tzuyu yang telah mengibarkan bendera Taiwan semasa muncul di rancangan MBC Korea “MY LITTLE TELEVISION” pada tahun 2016 dan telah mendapat kritikan netizen China dan mengelarnya sebagai aktivis kemerdekaan Taiwan. Hal ini berikutan China tidak pernah mengiktiraf Taiwan sebagai sebuah negara dan masih menganggap Taiwan dalam jajahan China.
Akhir-akhir ini juga, pihak berkuasa dan platform media sosial juga banyak memberi perhatian kepada peminat yang terlalu fanatik, yang dikatakan mewujudkan budaya dalam talian yang “huru-hara”. Untuk mengelakkan perang antara peminat, platform microblogging Weibo membuang ciri ranking/kedudukan selebriti, sementara streaming terbesar iQiyi membatalkan pertandingan idola yang sangat popular yang menggunakan pengundian dalam talian semasa persembahan.
Selain itu, artis kelahiran China yang kini aktif di Korea berkemungkinan berdepan dengan dilema dengan karier mereka dan artis luar terutama dari Korea juga akan berdepan dengan kesukaran untuk memasuki China.