Kim Soo Hyun sedang memilih beberapa projek terbarunya dan diantaranya ialah drama terbaru terbitan tvN, ‘Psycho But It’s Okay’.
Memetik laporan daripada IS Plus, tvN Psycho But It’s Okay berkisarkan tentang seorang pekerja kesihatan yang ditugaskan menjaga wad pesakit jiwa dengan tawaran gaji lumayan sebanyak 1.8 juta won (~RM 6,354.00) menjalinkan hubungan cinta dengan salah seorang pesakit di bawah jagaannya yang merupakan seorang penulis novel fiksyen yang menghidapi penyakit kecelaruan personaliti pinggiran (“Antisocial Personality Disorder”). Premis drama ini akan membayangkan seorang lelaki yang tak percaya akan cinta tapi akhirnya terjatuh hati kepada wanita yang tak sedar pun dirinya sedang dilamun cinta.
Kim Soo Hyun akan memegang watak Moon Kang Tae, seorang pekerja wad pesakit jiwa yang dikurniakan dengan kelebihan menakjubkan seperti memiliki tubuh yang sasa, otak yang pintar, mudah bersimpati dengan orang lain, kesabaran yang tiada had, dan kemahiran untuk bertindak dengan pantas apabila berlakunya kejadian tak diingini. Keputusan Moon Kang Tae untuk bekerja di tempat tersebut barangkali kerana mahu menjaga abangnya yang lebih tujuh tahun tua daripadanya dan seringkali menunjukkan tanda-tanda autism. Sekiranya Kim Soo Hyun menerimanya, pelakon yang tercalon sebanyak dua kali Best Actor di dalam CARI Kdrama Awards ini, akan kembali semula menerajui drama sejak lebih lima tahun yang lalu selepas kali terakhir muncul menerusi KBS The Producers. Kim Soo Hyun pernah melakukan ‘cameo’ sekejap di akhir episod drama tvN Hotel del Luna yang disiarkan baru-baru ini.
tvN Psycho But It’s Okay akan mendapatkan khidmat pengarah yang tercalon Best Director CARI Kdrama Awards, Park Shin Woo menerusi SBS Jealousy Incarnate sebelum ini dan juga penulis skrip, Jo Yong (“KBS Jugglers”). Ia akan disiarkan pada pertengahan tahun 2020.
Sumber: IS Plus , Busan Ilbo