F-FOREVER Bakal Tawan Kuala Lumpur Menerusi Jelajah Dunia “City of Stars”Ogos Ini

Supergroup Asia F✦FOREVER bakal mengadakan konsert sulung jelajah dunia mereka di Kuala Lumpur menerusi F✦FOREVER 1st World Tour “City of Stars”, yang akan berlangsung selama dua malam pada 7 dan 8 Ogos 2026, jam 8 malam di Unifi Arena.

Konsert ini menghimpunkan empat nama besar industri hiburan Asia iaitu Jerry Yan, Van Ness Wu, Vic Chou dan Ashin daripada Mayday, dalam sebuah persembahan yang menjanjikan gabungan nostalgia, emosi, persahabatan serta produksi bertaraf dunia.

Sejak memulakan jelajah di Shanghai, “City of Stars” terus mencatat kejayaan menerusi siri persembahan di Chengdu, Shenzhen, Wuhan dan Chongqing. Jelajah itu turut meraih perhatian di peringkat antarabangsa dengan sambutan hangat daripada peminat di setiap lokasi.

Terbaru, konsert di Indonesia mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila tiket bagi ketiga-tiga persembahan habis dijual dalam tempoh beberapa saat sahaja selepas jualan dibuka. Lebih 45,000 peminat hadir menyaksikan persembahan tersebut, sekali gus membuktikan populariti F✦FOREVER di rantau Asia.

Konsert di Kuala Lumpur dibawakan bersama oleh Maybank dan Prudential Malaysia. Dengan kos produksi mencecah RM33 juta serta hampir 300 kru produksi, persembahan ini dijangka menjadi antara konsert Mandopop terbesar tahun ini.

Enam tarikan utama konsert

Antara keistimewaan yang bakal disajikan ialah pentas eksklusif Four-Point Star Stage, yang direka bagi membolehkan semua ahli berada lebih dekat dengan peminat sepanjang persembahan.

Konsert ini turut menampilkan pengalaman visual mengagumkan menerusi tiang bintang kristal, sistem pencahayaan moden, kesan bintang jatuh serta garisan cahaya yang mengubah arena menjadi alam semesta penuh bintang.

Selain itu, keempat-empat artis akan mempersembahkan 20 persalinan eksklusif yang menyerlahkan gaya dan identiti masing-masing.

Dari segi muzik, peminat bakal dihiburkan dengan lagu baharu termasuk “Forever Forever” hasil kolaborasi Jay Chou dan Ashin, serta “Always Be My Bro”, selain beberapa lagu baharu lain yang dipersembahkan secara langsung.

Konsert ini juga memberi nafas baharu kepada lagu ikonik seperti “Jue Bu Neng Shi Qu Ni”, “Yan Huo De Ji Jie”, “Di Yi Shi Jian” dan “Meteor Rain”, yang dijangka mencetuskan momen nostalgia bersama penonton.

Persembahan solo setiap ahli

Setiap ahli turut mempunyai segmen solo yang mengetengahkan identiti muzik masing-masing.

Van Ness Wu akan membawakan lagu daripada album terbaharunya Dance Until We Die, termasuk persembahan bertenaga dengan gerakan popular “Triple Shake”.

Vic Chou pula bakal menyampaikan lagu klasik seperti “Zui Te Bie De Cun Zai” dan “Ai Ni Ai Ni”, selain lagu baharu termasuk “Who Gave Me the Courage” dan “Tell Me Why”.

Jerry Yan akan mempersembahkan dua lagu baharu, “Luxury” dan “Insomnia Letter”, di samping “I Really Love You” sebagai penghargaan buat peminat.

Sementara itu, Ashin akan membawakan lagu popular Mayday seperti “World Crazy”, “Stubborn” dan “Fool”.

Daripada persembahan solo hingga kolaborasi berkumpulan, konsert ini mengangkat tema “Faith + Friends + Fans + Family + Fixed Stars”, menjanjikan malam penuh emosi, nostalgia dan kenangan.

Harga tiket

Harga tiket bagi F✦FOREVER 1st World Tour “City of Stars” in Kuala Lumpur ditawarkan bermula dari RM388 hingga RM1,288.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan pengalaman paling dekat dengan pentas utama, kategori P1 ditawarkan pada harga RM1,288, diikuti oleh kategori P2 pada harga RM1,088.

Sementara itu, harga bagi kategori tiket standard adalah seperti berikut:
P3 (RV): RM788
P4: RM688
P5: RM588
P6 (RV): RM388

Kesemua tiket adalah berdasarkan susunan tempat duduk bernombor (numbered seating). Untuk makluman, kategori bertanda (RV) merujuk kepada restricted view atau pandangan terhad. Harga yang dinyatakan tidak termasuk caj tambahan lain.

Pelan tempat duduk dan harga tiket

Maklumat jualan tiket

Pra-jualan pelanggan Maybank & Prudential Malaysia
23 Jun 2026 | 12.00 tengah hari – 6.00 petang


Pra-jualan Live Nation
24 Jun 2026 | 12.00 tengah hari – 11.59 malam
Peminat boleh mendaftar keahlian percuma di Live Nation Malaysia (www.livenation.my/) untuk akses awal.


Jualan umum
25 Jun 2026 | 12.00 tengah hari
Menerusi BookMyShow Malaysia (my.bookmyshow.com/en/events/fforever-2026/BMSFFMYS)


Untuk maklumat lanjut
Layari media sosial Live Nation Malaysia dan Star Planet Malaysia.