“Knock Off”- Drama Baharu Disney+ Hotstar Lakonan Kim Soo Hyun dan Jo Bo Ah Akan Tayang 2025

Drama baharu Disney+ Hotstar “Knock Off” umumkan jadual siaran!

“Knock Off” menceritakan tentang seorang lelaki yang hidupnya mengalami perubahan drastik akibat Krisis Kewangan Asia 1997 (dikenali di Korea sebagai Krisis IMF). Peristiwa ini mengubahnya daripada seorang pekerja pejabat biasa kepada raja dalam pasaran barang tiruan global. Drama ini diarahkan oleh pengarah terkenal, Park Hyun Suk, yang sebelum ini mengarahkan drama popular seperti “Forest of Secrets 2” (Stranger 2), “Uncontrollably Fond”, dan “Song of the Bandits”.

Kim Soo Hyun memegang watak Kim Sung Joon, seorang lelaki yang berperwatakan menarik dan berwajah tampan. Pada mulanya, dia dilihat bakal menikmati kehidupan yang stabil dan berjaya selepas diterima bekerja di sebuah syarikat besar. Namun, Krisis Kewangan Asia 1997 mengubah segalanya, apabila dia kehilangan pekerjaan secara mendadak, memaksanya menceburi perniagaan barang tiruan untuk mengumpul modal bagi memulakan perniagaan baharu.

Jo Bo Ah pula memegang watak Song Hye Jung, bekas kekasih Sung Joon dan seorang pegawai kehakiman khas yang ditugaskan untuk membanteras barangan tiruan.

Mengenai wataknya, Kim Soo Hyun berkata, “Siri ini menampilkan pelbagai watak menarik, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk bertahan. Saya ingin menunjukkan bagaimana watak saya, Kim Sung Joon, melalui pelbagai krisis, mengatasinya, berkembang, dan menjadi lebih matang.”

Sementara itu, Jo Bo Ah menggambarkan wataknya dengan berkata, “Hye Jung merupakan cinta pertama Sung Joon, tetapi dia akhirnya menjadi seorang pegawai di pejabat daerah yang bertugas membanteras barangan tiruan. Walaupun dia adalah cinta pertama Sung Joon, hubungan mereka berubah daripada percintaan kepada permusuhan.”

“Knock Off” akan terdiri daripada 18 episod yang dibahagikan kepada dua bahagian: Musim 1, dengan sembilan episod, dijadualkan tayang pada separuh pertama tahun 2025, manakala baki sembilan episod akan disiarkan pada separuh kedua tahun yang sama.

Sumber : 1 | 2