3 Sebab Untuk Tonton Drama Baharu “When The Phone Rings

Drama terbaru MBC, When the Phone Rings, bakal menemui penonton tidak lama lagi! Diadaptasi daripada novel web popular, drama ini mengisahkan pasangan Baek Sa Eon (Yoo Yeon Seok) dan Hong Hee Joo (Chae Soo Bin) yang berkahwin atas dasar kepentingan, tetapi hubungan mereka berubah selepas menerima panggilan telefon yang  mengubah segalanya.

Berikut adalah tiga sebab untuk tidak ketinggalan menonton drama ini:

1. Gabungan unik cinta dan thriller

When the Phone Rings menggabungkan elemen romantik dengan thriller secara sempurna. Ceritanya bermula apabila Baek Sa Eon mendapati dirinya terjebak dalam situasi tidak dijangka selepas menerima panggilan ancaman tentang penculikan isterinya, Hong Hee Joo.

Hong Hee Joo melihat penculikan ini sebagai peluang untuk mengubah hidupnya, manakala Baek Sa Eon gigih memburu si pemanggil misteri. Hubungan mereka yang penuh emosi dan perubahan yang tidak dijangka pasti akan menarik perhatian penonton.

Penulis Kim Ji Woon menjelaskan, “Walaupun genre utama adalah romantik, drama ini turut mengandungi elemen komedi, misteri, aksi, dan thriller, mencerminkan emosi watak yang berubah-ubah.” Pengarah Park Sang Woo pula menambah, “Ia bukan sekadar kisah cinta-benci dalam perkahwinan terancang, tetapi kisah cinta sejati yang bertahan selama lebih 20 tahun.

2. Lakonan hebat Yoo Yeon Seok dan Chae Soo Bin

Yoo Yeon Seok membawa watak Baek Sa Eon, jurucakap presiden termuda, yang kelihatan sempurna dengan latar belakang keluarga, kemahiran, dan penampilan luar biasa.

Chae Soo Bin pula memegang watak Hong Hee Joo, seorang jurubahasa bahasa isyarat yang berdepan masalah mutisme selektif (kesukaran bercakap dalam situasi tertentu). Walaupun pekerjaan mereka melibatkan komunikasi dengan orang lain, Sa Eon dan Hee Joo tidak mampu berkomunikasi secara sebenar antara satu sama lain.

Kedua-dua pelakon ini akan mempamerkan hubungan kompleks antara watak mereka dengan cara yang mampu menyentuh hati dan memikat penonton.

3. Bagaimana telefon mengubah hubungan mereka

Sa Eon dan Hee Joo ialah pasangan yang tidak saling berhubung dan hampir tidak bercakap di rumah. Namun, hidup mereka yang kelihatan sempurna mula kucar-kacir selepas menerima panggilan ancaman. Telefon, yang menjadi elemen utama dalam cerita ini, memainkan peranan besar dalam menggoncang hubungan mereka.

Bagaimana telefon itu mempengaruhi hidup mereka, usaha gigih Sa Eon membongkar identiti pemanggil, serta perbualan telefon misteri pasti akan menarik perhatian penonton.

When the Phone Rings akan mula ditayangkan pada 22 November dan turut tersedia untuk tontonan di platform Netflix.

Sumber : 1