Jimin BTS jadi mangsa penipuan dalam skandal judi Lee Jin Ho, BIGHIT MUSIC tampil beri penjelasan

BIGHIT MUSIC telah mengeluarkan kenyataan mengenai kerugian kewangan yang dialami oleh Jimin BTS selepas beliau meminjamkan wang kepada pelawak Lee Jin Ho.

Pada 14 Oktober, Lee Jin Ho mendedahkan bahawa dia telah mengumpul hutang yang besar akibat perjudian haram dan telah “memohon bantuan kewangan daripada ramai orang.”

Walaupun dia mendakwa sedang melunaskan hutang secara beransur-ansur setiap bulan dan berhasrat untuk menyelesaikannya sepenuhnya, TenAsia melaporkan bahawa jumlah keseluruhan hutang tersebut mencecah ratusan juta won. Antara yang terlibat termasuk Jimin BTS, Lee Soo Geun, Young Tak, Ha Sung Woon, serta eksekutif penyiaran, penerbit, dan penulis yang meminjamkan wang kepada Lee Jin Ho.

Laporan tersebut menyatakan bahawa beberapa selebriti yang mempercayai Lee Jin Ho dan memberinya pinjaman tanpa nota janji kini berisiko menghadapi bil cukai yang besar kerana transaksi ini diklasifikasikan sebagai “hadiah” dan bukannya “pinjaman.” Selain itu, ada yang dilaporkan telah memfailkan tuduhan penipuan terhadap Lee Jin Ho dan memohon penyitaan bayaran kemunculannya.

TenAsia turut mendedahkan bahawa ketika mereka bertanya terus kepada HYBE mengenai situasi ini, disahkan bahawa Lee Jin Ho mendekati Jimin BTS pada 2022 dan meminta untuk meminjam 100 juta won (kira-kira $73,600) atas alasan memerlukan dana segera selama seminggu. Walaupun nota janji telah ditandatangani, Lee Jin Ho gagal mematuhi perjanjian tersebut. Jimin dikatakan menyimpulkan bahawa Lee Jin Ho tiada niat untuk membayar balik wang tersebut dan memutuskan untuk memberi kemaafan dengan mengatakan, “Bayar saya balik dalam masa 10 tahun sahaja.”

Sebagai respon kepada situasi yang semakin hangat ini, BIGHIT MUSIC mengesahkan, “Seperti yang dilaporkan, memang benar bahawa kerugian kewangan telah berlaku kepada Jimin. Dia meminjamkan wang dengan nota janji yang ditandatangani.”

Selepas kontroversi ini, Lee Jin Ho telah disahkan untuk berundur daripada rancangan “Knowing Bros” (“Ask Us Anything”). Pihak JTBC juga berjanji untuk menyunting sebanyak mungkin penampilan Lee Jin-ho dalam episod terakhirnya. “Lee Jin Ho akan meninggalkan program bermula dari sesi rakaman minggu ini. Kami akan mengedit sebanyak mungkin kandungan yang telah dirakam sebelumnya,” ujar pihak JTBC

Dalam pada itu, dia juga tidak hadir ke sidang media untuk rancangan Netflix, “Comedy Revenge”, yang berlangsung pada pagi 14 Oktober. Menjawab kontroversi yang melibatkan pelawak tersebut, Netflix menyatakan, “Kami sangat kecewa mengetahui tentang ini hanya sehari sebelum tayangan perdana rancangan. ‘Comedy Revenge,’ seperti semua kandungan kami, merupakan hasil dedikasi dan usaha bukan sahaja daripada pelawak tetapi juga ratusan kakitangan dan kru yang bekerja di belakang tabir.”

Mereka menambah, “Oleh kerana program ini disusun berdasarkan pertandingan pasukan, mengedit keluar pasukan tertentu secara keseluruhan memberikan cabaran besar kepada naratif. Kami memohon pemahaman anda.”

Pelawak Lee Jin Ho Mengaku Terlibat dalam Perjudian Haram dan Hutang Besar yang Menghimpitnya

Terdahulu, pada 14 Oktober, pelawak Lee Jin Ho telah mengeluarkan kenyataan melalui Instagram mengenai keterlibatannya dalam perjudian haram dan hutang besar yang menghimpitnya. Kenyataannya adalah seperti berikut:

Hi, saya Lee Jin Ho.

Saya ingin mengakui masa lalu saya yang penuh penyesalan akibat keputusan yang buruk. Pada tahun 2020, saya terjerumus dalam perjudian haram di laman web dalam talian, yang menyebabkan saya terperangkap dalam hutang yang menggunung. Setelah menerima nasihat tegas dari rakan-rakan dan menyedari risiko kehilangan pekerjaan yang sangat saya cintai, saya akhirnya sedar akan seriusnya situasi ini dan berjaya berhenti berjudi. Namun, pada waktu itu, saya telah pun meminta bantuan kewangan daripada ramai orang.

Kini, saya berusaha dengan gigih untuk membayar kembali hutang ini secara beransur-ansur setiap bulan dengan niat untuk melunaskan semuanya. Walaupun kerugian kewangan ini sangat besar, penyesalan saya yang paling mendalam adalah terhadap mereka yang telah mempercayai saya dan meminjamkan wang. Setiap kali menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali, jantung saya berdebar-debar, bimbang ia ada kaitan dengan hutang saya.

Saya percaya bahawa mengakui kesalahan saya mungkin dapat meredakan kebimbangan ini. Namun, kadang-kadang saya bimbang, adakah niat untuk mengaku ini semata-mata untuk kepentingan diri saya?

Saya merasa sangat malu dan ingin memohon maaf. Saya menyesal kerana mengabaikan tanggungjawab saya sebagai figura awam dan telah merosakkan reputasi saya hanya dalam sekelip mata. Walaupun saya tidak mampu menjadi contoh yang baik, saya bertekad untuk tidak menjadi individu yang terus dikritik.

Akhir kata, saya berjanji akan melunaskan hutang yang masih tinggal tanpa mengira apa jua yang terjadi. Saya memohon maaf kepada semua yang saya kecewakan dengan kontroversi ini serta usaha saya untuk menyembunyikannya. Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan polis dan bersedia untuk menerima akibat daripada tindakan saya.

Saya benar-benar minta maaf.

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7

loading...