Penantian peminat berakhir – N.Flying bakal gegarkan Kuala Lumpur buat pertama kali pada1 Disember ini

Penantian N. Fia Malaysia untuk melihat kumpulan kesayangan mereka, N.Flying beraksi di depan mata akan menjadi kenyataan kerana anggota kumpulan tersebut akan mengadakan konsert sulung mereka di sini. N.Flying akan mengikuti jejak langkah senior mereka iaitu FTISLAND dan CNBLUE yang akan mencipta fenomena mereka sendiri di Kuala Lumpur. Nampaknya, FNC Entertainment tidak pernah salah alamat apabila meletakkan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi untuk siri jelajah artis-artis di bawah naungan mereka.

N.Flying akan mengikuti jejak langkah senior mereka iaitu FTISLAND dan CNBLUE yang akan mencipta fenomena di Kuala Lumpur.

Kehadiran N.Flying yang dibawa khas oleh More Entertainment dengan anjuran bersama 163 adalah bagi menjayakan 2024 N.Flying LIVE ‘HIDE-OUT’ di Kuala Lumpur yang bakal menggegarkan ZEPP Kuala Lumpur pada 1 Disember (Ahad), 6 petang.

Tiket mula dijual pada 27 September (Jumaat), 11 pagi melalui my.bookmyshow.com/e/NFKL2024.

N.Flying dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lee Seung Hyub selaku ketua, vokalis dan penyanyi rap, Yoo Hwe Seung (vokalis), Cha Hun (pemain gitar), Seo Dong Sung (pemain bass) dan Kim Jae Hyun (pemain dram). Namun Kim Jae Hyun tidak dapat hadir kerana masih dalam perkhidmatan tentera. Walaupun hanya empat ahli yang hadir, N.Flying tetap akan menghiburkan peminat mereka dengan penuh semangat.

Setiap ahli N.Flying mempunyai bakat dan daya tarikan tersendiri dan kelebihan itu menjadikan kumpulan yang ditubuhkan secara rasmi pada 2015 dan tampil dengan album mini pertama berjudul “Awesome”. Sejak itu nama N.Flying terus melonjak dengan lagu-lagu hits seperti “Rooftop”, “GOOD BAM” dan “Oh really.” yang berjaya menawan hati peminat di seluruh dunia dengan persembahan mereka yang luar biasa.

Selain kehebatan muzik yang dipersembahkan N.Flying, Lee Seung Hyub juga dikenali sebagai pelakon yang cemerlang dan pernah muncul dalam K-drama seperti “Nevertheless”, “Shooting Stars” dan “Lovely Runner” sebagai Baek Inhyuk dan impak daripada watak itu dijangka mampu menarik ramai peminat drama hadir ke konsert.

Malah Lee Seung Hyub juga membintangi drama hit baharu Netflix berjudul “Love Next Door”, di mana persembahan komedinya sebagai Bae Dongjin telah mendapat pujian daripada penonton.

Dengan tema ‘HIDE-OUT’ yang mewakili persembunyian rahsia N.Flying, kumpulan itu berharap peminat akan menyertai mereka di tempat istimewa yang dipenuhi dengan alunan muzik N.Flying. Apa yang pasti acara tersebut bakal mencatat memori indah kepada yang hadir kerana ada beberapa kejutan akan ditampilkan dan ini adalah acara yang tidak boleh dilepaskan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by KMania (@kmania.my)

Tiket-tiket dijual pada harga seperti berikut –  RM799 (Zon Premium), RM688 (VIP), RM558 (CAT 1), RM468 (CAT 2), RM368 (CAT 3) dan RM6,288 (KOTAK VIP – 8 Tempat Duduk), tertakluk kepada yuran pengendalian dan had 4 tiket setiap orang. Bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini, peminat dinasihatkan agar mendapatkan tiket daripada pihak yang telah dipertanggungjawab sahaja.

ERA, MY FM dan GOXUAN ialah Rakan Media Rasmi untuk 2024 N.Flying LIVE ‘HIDE-OUT’ di Kuala Lumpur.

Untuk butiran lanjut, ikuti berita berkaitan hiburan More Entertainment di

Facebook – moreentertainmentmalaysia

Instagram – moreentertainmentmy

loading...