“Blood Free” gandingan Ju Ji Hoon dan Han Hyo Joo akan bersiaran di Disney+ Hotstar April ini

Apabila semua orang merupakan suspek sesuatu kejadian, siapa lagi yang boleh dipercayai? “Blood Free” yang membawa tema thriller sci-fi dan penuh kontroversi yang mendebarkan akan datang secara eksklusif di Disney+ Hotstar 10 April ini.

“Blood Free” ialah sebuah drama konspirasi yang mengisahkan kehidupan seorang bekas tentera yang dilanda tragedi masa lalunya. Kisah ini berkembang apabila dia mula bekerja untuk CEO paling kontroversi di Korea dan tanpa disedari terperangkap dalam rangkaian pakatan sulit dan komplot.

Woo Chaewoon, seorang bekas tentera elit yang dibelenggu rasa bersalah atas serangan pengganas yang membawa kepada kematian rakan seperjuangannya dan menyebabkan presiden Korea menjadi cacat, dia memutuskan untuk mendedikasikan hidupnya untuk mencari pelakunya.

Dengan mengumpul maklumat tentang mangsa yang terselamat daripada kejadian tragis itu, Chaewoon menjadi semakin curiga apabila dia mendapat tahu bahawa syarikat CEO Yun Jayu telah mengalami lonjakan keuntungan sejak serangan itu.

Apabila Jayu terus berdepan dengan ancaman daripada pelbagai pihak, termasuk kartel dadah, pengganas, penggodam, dan golongan pelampau (ekstremis), Chaewoon menyusup masuk ke dalam organisasi tersebut dengan menyamar sebagai pengawal peribadi Yun Jayu.

Namun, dengan serangan yang datang dari pelbagai arah dan kebenaran yang lebih kompleks daripada yang dijangkakan, adakah Chaewoon dapat membongkar misteri pada kejadian lampau itu sebelum musuh Jayu membalas dendam?

Dibintangi oleh Ju Jihoon (Kingdom, The Spy Gone North) sebagai bekas askar dan pengawal peribadi, Woo Chaewoon, dan Han Hyojoo (Moving, Beauty Inside) sebagai Yun Jayu, Ketua Pegawai Eksekutif BF, sebuah  syarikat daging sintetik yang kontroversi, “Blood Free” ditulis oleh Lee Suyeon (Grid, Stranger 2) dan diarahkan oleh Park Chulhwan (Grid).

Bagi peminat drama Korea, anda boleh strim untuk menikmati “Blood Free” yang akan mula disiarkan pada 10 April 2024 secara eksklusif di Disney+ Hotstar.

loading...