Selepas lima tahun melayari bahtera perkahwinan, Yulhee (bekas kumpulan LABOUM) dan Choi Minhwan FT Island bersetuju untuk menamatkan hubungan rumah tangga mereka. Proses penceraian ini telah disahkan oleh Yulhee dan Minhwan serta agensi, ketika ini kedua-duanya sedang menunggu keputusan penceraian.
Pada 4 Disember lalu, Yulhee melalui Instagramnya berkongsi pengumuman perceraian mereka.
Catatan Yulhee berbunyi:
Hello, ini Yulhee.
Hari ini, saya menulis untuk berkongsi dengan anda satu topik yang agak berat. Walaupun berat hati untuk saya katakan tetapi saya tetap ingin berkongsi secara langsung dengan anda semua yang telah menyokong dan menyayangi kami.Selepas menghabiskan banyak masa berbincang dan dengan berbagai usaha, kami sebagai pasangan memutuskan untuk menyokong satu sama lain walaupun dalam cara yang berbeza. Biarpun perkahwinan kami berakhir di sini, ia bukanlah penamat untuk kami melaksanakan tugas sebagai ibu bapa. Kami berdua, dengan segala usaha kami, cuba menjaga dan berkomunikasi dengan anak-anak sebaik mungkin.
Selepas pertimbangan yang teliti, kami bersetuju anak-anak akan tinggal bersama Minhwan buat sementara waktu, sehingga kami memutuskan tempat terbaik untuk mereka pada masa hadapan. Perkara ini dilakukan untuk mengurangkan kesan trauma kepada kanak-kanak, jadi kami memutuskan untuk membiarkan anak-anak kekal di tempat mereka berada. Oleh itu, anak-anak akan tinggal bersama bapa mereka. Saya akan menghabiskan sebanyak mungkin masa dengan anak-anak supaya mereka tidak merasakan ketidakhadiran saya
Saya agak bimbang untuk menyampaikan berita ini, kerana saya takut ianya akan mengejutkan anda semua. Betul, ini adalah satu keputusan yang sukar buat kami berdua, tetapi setelah perbincangan dari hati ke hati, ini adalah persetujuan kami bersama demi kebahagiaan serta kebaikan masing-masing. Saya harap anda semua dapat memahami situasi kami. Terima kasih atas sokongan dan kasih sayang anda semua terhadap kami selama ini.
Memandangkan cuaca semakin sejuk, sila jaga diri anda. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca tulisan saya yang agak panjang ini.
Tidak lama selepas itu, Minhwan turut membuka suara berhubung pembahagian hak penjagaan anak mereka menerusi posting di Instagram. Pemain drum FT ISLAND itu meminta maaf dan berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk membesarkan anak-anaknya.
Hello, ini Minhwan. Dengan rasa penuh kesal saya terpaksa memberitahu anda berita yang agak sedih ini.
Setelah perbincangan yang cukup mendalam, kami suami isteri akhirnya mencapai kata persetujuan yang teramat sukat untuk menamatkan perkahwinan kami.
Kepada semua yang telah menyokong kami dengan penuh kasih sayang sewaktu kami memutuskan untuk mengikat tali perkahwinan, saya sekali lagi memohon maaf kerana menyampaikan berita yang agak mengejutkan ini.
Sebagai seorang bapa, saya akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan peranan saya dan memastikan anak-anak kami tidak berdepan dengan sebarang trauma. Saya akan berusaha sebaik mungkin di masa depan agar dapat berkongsi sebarang perkembangan gembira dengan anda semua. Terima kasih.
Yulhee dan Minhwan pertama kali mengesahkan hubungan mereka pada September 2017 dan mengumumkan mereka telah mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah pada Mei 2018. Selepas itu, mereka mengadakan majlis perkahwinan secara tertutup pada Oktober tahun yang sama.