Festival Gaya Hidup Hallyu MOKKOJI KOREA Berjaya Menarik Lebih daripada 27,000 Pengunjung

Pada 12 dan 13 November, peminat-peminat Hallyu telah berkumpul di Kuala Lumpur untuk mempelajari lebih banyak mengenai budaya Korea. Para peminat juga telah berpeluang untuk menikmati persembahan secara langsung oleh artis-artis K-Pop terkenal seperti Moonbin & Sanha, Jeon Somi dan BLANK2Y.

Sepanjang dua hari yang lalu, MITEC telah bertukar rupa menjadi sebuah hub untuk para peminat Hallyu dengan minat yang mendalam terhadap pelbagai aspek budaya Korea; daripada drama dan komik web daripada negara tersebut, sehinggalah ke makanan, Hangeul (abjad untuk Bahasa Korea) dan gaya hidup masyarakat Korea. Pameran sepanjang dua hari tersebut diadakan sempena kerjasama antara Yayasan Pertukaran Budaya Antarabangsa Korea (KOFICE) dan Kementerian Kebudayaan, Sukan, dan Pelancongan Republik Korea. 

 

“Festival MOKKOJI Korea memaparkan pelbagai aspek gaya hidup masyarakat di Korea. Kami amat berbesar hati dengan peluang untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah MOKKOJI Korea pada tahun ini. Peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang semakin berminat dengan Korea boleh disaksikan melalui jumlah individu yang mengambil kursus belajar Bahasa Korea, menikmati muzik K-Pop, serta berhasrat untuk menyambung pengajian ke universiti-universiti di Korea. Oleh itu, pada masa akan datang, akan ada lebih banyak lagi acara-acara dan projek menarik yang akan disediakan, dan kami yakin bahawa kerjasama kami dengan Malaysia akan menjadi lebih kukuh selepas ini,” kata Yayasan Pertukaran Budaya Antarabangsa Korea (KOFICE). 

Sepanjang pameran yang berlangsung selama dua hari tersebut, para pengunjung telah berpeluang untuk mencuba beberapa jenis hidangan enak dan terkenal yang membangkitkan selera dari Korea, antaranya gimbap, japchae, tteokbokki, dan bulgogi. Pengunjung juga telah berpeluang untuk merasai pengalaman bertukar menjadi watak filem ataupun komik web kegemaran mereka dengan mengenakan kostum utama watak-watak tersebut serta mengambil gambar kenangan untuk dikongsi bersama rakan-rakan mereka. Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan sendiri pelbagai sisi daripada budaya tradisional Korea melalui pelbagai persembahan dan permainan yang tersedia. 

Di pentas mini pula, para pengunjung rancak mengambil bahagian dalam mempelajari bagaimana untuk menyediakan hidangan sampingan Korea yang terkenal iaitu Kimchi melalui Kelas Memasak K-Food, ataupun mengikuti tutorial solekan gaya Korea melalui tunjuk ajar oleh jurusolek mereka. 

Pada hari terakhir, ribuan penonton telah hadir untuk menyokong ikon K-Pop kegemaran mereka iaitu Moonbin & Sanha, Jeon Somi, dan BLANK2Y seiring dengan kehadiran mereka di Kuala Lumpur untuk konsert MOKKOJI. Ruangan yang biasanya hanya boleh memuatkan sehingga 3,000 tempat duduk telah menyaksikan seramai 15,000 penonton yang hadir untuk menunjukkan minat dan memberikan sokongan untuk konsert MOKKOJI, di samping para peminat yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan artis-artis kegemaran mereka beraksi secara langsung. 

Nota :

Terima kasih seikhlas hati kepada pihak penganjur Mokkoji Korea kerana sudi memberikan peluang kepada KMania untuk membuat liputan disepanjang acara ini. Bagi kami, acara ini berjalan dengan baik dan mendapat sambutan positif dikalangan peminat Korea dalam pelbagai aspek. Semoga kita dapat berjumpa lagi dilain acara. Nantikan temubual eksklusif media bersama Idol jemputan iaitu Jeon Somi, BLANK2Y dan Moonbin dan Sanha.

Untuk menonton lebih banyak sorotan berkaitan Mokkoji Korea 2022 di Malaysia, anda boleh capai dilaman sosial kami dengan klik saja icon di bawah:

   Twitter image of Twitter icon  google+ image of google+ icon   

loading...