Inilah artis Korea pilihan Malaysia paling popular bulan lalu, berjaya merangkul takhta Kmania TOP Stars April 2022

 

GDragon dan Taehyung BTS, BigBang serta Ahn Hyo Seop telah menyandang takhta Kmania TOP Stars bulan April 2022 apabila meraih undian tertinggi di Malaysia masing-masing untuk kategori “Kpop Idol Top Stars”, “Kpop Group Top Stars” serta “Kdrama Artist Top Stars”.

Ahn Hyo Seop berjaya menganjak jauh ke hadapan dengan peratusan undian yang terbanyak sekali iaitu 47.7%, disusuli oleh Kim Se Jeong (36.9%), Lee Min Ho dan Nam Joo Hyuk (27.7%), serta Lee Jun Ki (16.9%).

Untuk dua bulan berturut-turut, pelakon yang dikenali kerana memiliki pakej tinggi seperti galah tetapi romantis ini kekal menyandang gelaran Kdrama Artist Top Stars. Manis digelar ‘Usop’ oleh peminatnya di Malaysia, Ahn Hyo Seop digilai kerana watak Kang Tae Moo lakonannya di dalam SBS Business Proposal. Sebagai presiden syarikat terbesar di Korea, Kang Tae Moo perlu meyakinkan Shin Hari untuk dijadikan isterinya meskipun Hari hanyalah sekadar pekerja syarikatnya.

Baca lagi: Gelagat Ahn Hyo Seop, Kim Se Jeong, Seol In Ah & Kim Min Kyu Buat Ramai Terhibur!; Rating drama SBS Business Proposal sudah cecah 10%

Tidak kurang juga pasangan cinta Ahn Hyo Seop di dalam drama berkenaan iaitu Kim Se Jeong yang turut mempunyai peminatnya tersendiri. Atas sebab itulah, bekas penyanyi idol daripada I.O.I dan Gugudan itu berjaya memperolehi kedudukan no. 2 di hadapan pelakon ternama iaitu Lee Min Ho dan Nam Joo Hyuk.

Untuk pemegang “Kpop Group Top Stars” pula, Big Bang berjaya mengorak langkah persada dengan merampas takhta tersebut daripada tangan BTS yang merupakan penyandang untuk bulan sebelumnya dengan peratusan undian sebanyak 46.2%. Populariti Big Bang sepanjang bulan April 2022 lalu sememangnya ditunggu-tunggu peminat yang sudah sekian lama mendahagakan hasil tangan mereka setelah empat tahun menyepikan diri kerana masing-masing perlu menunaikan khidmat ketenteraan pada tempoh berbeza.

 

Di belakang BTS (40%) pula, TREASURE mengikuti rapat (24.6%) manakala 2NE1 dan Stray Kids pula menyusul di tempat keempat dan kelima dengan peratusan undian masing-masing sebanyak 23.1% dan 21.5%. Mengejutkan di top 5 ialah 2NE1 yang kembali menggegarkan industri korea dengan persembahan sulung buat pertama kalinya sejak terbubar di Coachella.  Manakala, TREASURE dan Stray Kids sememangnya telah diiktiraf sebagai kumpulan kpop berpengaruh di laman twitter dan Tiktok, menjadikan mereka agak dikenali di rantau Malaysia selain ‘comeback’ terulung dari Stray Kids baru-baru ini menjamin populariti mereka untuk terus kekal bersemadi di ingatan peminat kpop di Malaysia.

Baca lagi: Jualan album TREASURE paling laris sepanjang Feb 2022; ‘Darari’ pula tertular, jadi lagu kpop paling banyak distrim di Tiktok & Spotify Malaysia minggu ini; Stray Kids pecah rekod di Amerika Syarikat, album ‘Oddinary’ debut no.1 di dalam carta Billboard 200

 

Akhir sekali, GDragon dan Taehyung BTS pula terikat dalam kedudukan sama sekaligus kedua-duanya dinobatkan sebagai pemegang takhta “Kpop Idol Top Stars” lantas merampas takhta tersebut daripada Jungkook sebelum ini yang terpaksa akur di tempat kedua pula. Populariti Taehyung BTS memang sukar dipertikaikan tika ini, namun keberadaan GDragon di tempat pertama betul-betul mengejutkan penggemar muzik kpop di serata Malaysia. Hatta, saban menunggu kelibat penyanyi itu di laman sosial, tidak semena-mena Big Bang pula mengumumkan ‘comeback’ terbaru pada April lalu melonjakkan namanya semula. Di tempat kedua, ketiga, dan keempat pula masing-masing jatuh kepada Jungkook (36.9%), IU (27.7%), Suho EXO (15.4%) dan Jackson Wang GOT7 (12.3%).

 

Sebagai bonus, empat lagu kpop paling popular di Malaysia sepanjang April 2022 lalu adalah Still Life oleh BIGBANG (29.2%) Darari oleh TREASURE (26.2%), Maniac oleh Stray Kids dan Glitch Mode oleh NCT Dream yang terikat di kedudukan sama (12.3%). Untuk empat drama paling popular sepanjang April 2022 lalu pula masing dipegang oleh SBS Business Proposal (41%), kemudiannya diikuti oleh tvN Twenty-Five Twenty One (16.4%), tvN Shooting Stars (13.1%), dan KBS Crazy Love (8.2%) manakala untuk penyanyi kpop Siam pilihan rakyat Malaysia pula didahului oleh Lisa Blackpink (50%) dan diikuti oleh Bambam GOT7 (19.4%). Kaji selidik Kmania TOP Stars April 2022 ini dibuat pada 24 hingga 31 April 2022 dengan anggaran 130 undian secara rawak telah dicatatkan.

Segala keputusan di atas adalah berdasarkan undian secara atas talian menerusi website kami kmaniamy.com. Untuk mengetahui carta Top 10 ‘Kmania Top Stars’ bulan lalu sila klik pautan di sini.