Lee Min Ho dan Lee Hong Ki, yang pernah menjadi hero buat Park Shin Hye masing-masing di dalam drama romantik lakonannya, SBS Heirs dan SBS You’re Beautiful turut bertandang ke majlis kahwinnya bersama Choi Tae Joon yang berlangsung pada 22 Jan 2022 hari ini.
Lee Min Ho yang hadir sebagai tetamu undangan dengan mengenakan tuxedo berwarna kelabu, sempat mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut menerusi Instagram-nya serta meletakkan nama ‘Kim Tan’ sebagai catatan kehadiran manakala, Lee Hong Ki pula mempersembahkan lagu OST SBS Heirs , ‘I’m Saying’ sewaktu pasangan tersebut diraikan di atas pentas.
Selain Lee Hong Ki, Do Kyung Soo (D.O) EXO, Lee Juck dan Crush juga menyumbangkan suara mereka dengan menyanyikan lagu ‘tahniah’ buat pasangan tersebut. Penyanyi Zico, rakan baik Choi Tae Joon sejak 11 tahun lalu, yang kini sedang menjalani khidmat ketenteraan, telah mengirimkan surat buat mereka dan dibacakan di depan hadirin walaupun beliau tidak dapat hadir ke majlis berkenaan. Turut hadir sebagai tetamu undangan ialah Nam Goong Min, Lee Seo Jin, IU, Seolhyun, Yoo Yeon Suk, Choi Si Won Super Junior dan Ryu Jun Yeol.
Park Shin Hye mula aktif berlakon menerusi drama SBS Stairway To Heaven (bersama Baek Sung Hyun) sebelum dikenali menerusi drama-drama romantik seperti SBS Tree of Heaven (bersama Lee Wan), MBC Heartstrings (bersama Jung Yong Hwa), SBS You’re Beautiful (bersama Jang Geun Suk dan Lee Hong Ki), SBS Heirs (bersama Lee Min Ho dan Kim Woo Bin), SBS Pinocchio (bersama Lee Jong Suk), tvN Flower Next Boys (bersama Yoon Shi Yoon), SBS Doctors (bersama Kim Rae Won) dan tvN Memories of Alhambra (bersama Hyun Bin).
Park Shin Hye dan Choi Tae Joon berkenalan sejak mempelajari kursus teater bersama-sama di Chung-Ang University. Pada Mei 2017, mereka mula digosipkan bercinta walaupun masing-masing hanya mengaku sekadar kawan biasa. Pada Mac 2018 kemudian, barulah mereka mengaku sudah jatuh cinta antara satu sama lain. Sebaik saja Park Shin Hye mengaku sudah hamil pada November 2021 lalu, kedua-duanya memutuskan untuk berkahwin setelah empat tahun menyulam kasih. Dengan keadaan sarat mengandung, Park Shin Hye akan menyarungkan gaun pengantin di dalam majlis yang bertempat di gereja nanti.
Sumber: xsportnews, mydaily