Reputasi Lee Naeun APRIL kini tercalar teruk gara-gara tuduhan buli ke atas Hyunjoo

May be a closeup of 2 people

Lee Naeun yang dikenali atas imej yang comel serta keanak-anakan, kini tercalar teruk reputasinya gara-gara tuduhan buli yang dibuat oleh sekumpulan netizen yang mengaku sebagai adik lelaki dan kawan terdekat Hyunjoo.

Adik lelaki Hyunjoo mendedahkan kesemua ahli APRIL mengambil bahagian untuk membuli Hyunjoo tanpa belas kasihan sehingga Hyunjoo pernah terfikir untuk membunuh diri, manakala kawan terdekat Hyunjoo itu pula menjelaskan peranan setiap ahli APRIL ketika mereka membuli Hyunjoo dengan menafikan penglibatan Chaekyung dan Rachel. Naeun dituduh mencuri kasut sukan Hyunjoo dan mengaku sebagai hak miliknya tetapi tidak langsung memohon maaf selepas perbuatannya dikatakan kantoi diketahui oleh Hyunjoo.

Sehubungan dengan itu, DSP Media menyangkal tuduhan buli tersebut sekeras-kerasnya lantas hari ini memaksa agensi itu untuk terus bertindak menyaman netizen yang mengaku sebagai keluarga Hyunjoo tersebut selepas beberapa siri penjelasan mereka terhadap tuduhan buli tersebut tidak diterima oleh netizen. Lebih parah lagi, tangkap layar gambar perbualan yang dikatakan Naeun dengan kawan-kawan perempuannya, seperti dipetik, ‘Kau nak kena rogol dengan Go Young Wook jugak ke?’ turut bertebar di laman sosial sehingga mendesak Naeun membuat aduan kepada pihak polis.

Kesannya, reputasi Naeun pula kini sudah tercalar teruk sebaik menghabiskan kerjanya sebagai hos SBS Inkigayo tempoh hari dengan penampilan yang sangat mempesonakan di samping Minhyuk Monsta X dan Jaehyun NCT. Hampir kesemua syarikat iklan yang menggunakan dirinya sebagai model termasuklah Good Day dan Youth untuk produk minuman soju, J.ESTINA, JinnyKim, Samjin Pharmacy’s Geworin, Delicious Rendezvous serta Dong Suh Foods Corporation samada sudah pun menamatkan kontrak, menggugurkan apa-apa saja melibatkan dirinya atau mengubahsuai iklan yang menampilkan kelibat dirinya. Tidak cukup dengan itu, pihak produksi drama SBS Model Taxi juga bertindak mengubahsuai ‘teaser’ terbaru drama lakonannya dengan dua orang pelakon saja muncul, Lee Je Hoon dan Esom. Mungkinkah pihak produksi akan melakukan penggambaran kembali kali ini tanpa kelibat Naeun pula nanti?

Sekiranya dakwaan buli itu didapati tidak benar, ia mungkin mengambil masa yang agak lama untuk memulihkan kembali reputasi Naeun selaku artis Kpop baru yang berbakat dan sedang meningkat naik. Membina reputasi bukannya mudah kerana ada yang mengambil masa bertahun-haun, tapi cukup sekadar sekelumit skandal saja sudah mampu menjatuhkan periuk nasi artis berkenaan di dalam sekelip mata saja.

Sumber: OSEN

loading...