Han Ji Sung Stray Kids membuat permohonan maaf secara rasmi berhubung kontroversi penulisan lirik yang mula tertular sejak tengah hari tadi, 2 Februari 2021.
“Hi, ini HAN daripada Stray Kids. Pertama kali, lirik yang saya tulis sekitar tahun 2013 sewaktu berusia 13 tahun didapati telah membimbangkan peminat dan lain-lain. Tanpa sebarang alasan, saya akui kesilapan ini. Ikhlas, saya memohon maaf,” kata Han Ji Sung.
Menceritakan bagaimana dia menulis lirik lagu sebegitu, Han Jisung menyambung, “Saya menulis lirik kerana teringin sangat nak jadi penyanyi rap ketika itu. Maaf kerana tidak berfikir panjang sehingga melukakan hati dengan nukilan lirik sebegitu. Disebabkan insiden ini, saya akhirnya bermuhasabah diri setelah membaca komen-komen netizen dan lirik yang saya pernah tulis dahulu.”
“Sebab kenapa saya jadi penyanyi adalah supaya saya dapat mengekspresikan diri saya dalam muzik dan berhubung dengan orang lain. Oleh yang demikian, saya berasa malu akan perbuatan silam itu. Saya akan sentiasa menghargai sokongan dan kasih sayang daripada peminat seluruh dunia agar dapat menjadi seseorang yang dapat berdiri di atas pentas dengan penuh kemuliaan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Han Jisung dikecam setelah lirik lagu berbaur penghinaan kepada orang kulit hitam, orang kurang upaya, orang yang berbadan gempal serta orang Asia Tenggara yang ditulisnya pada usia 13 tahun itu telah tertular di media sosial. Sejurus dengan itu, beliau dituntut untuk membuat permohonan maaf oleh peminat-peminatnya daripada kalangan orang kulit hitam.
Sumber: mk star