BTS pecah rekod dunia tontonan tertinggi dalam sehari di Youtube dengan Dynamite

Image may contain: 4 people, text that says 'BTS (방탄소년단) 'Dynamite' Official MV 98,291,053 views 1 day ago 8.8M 260K'

BTS bakal melakar sejarah sekali lagi apabila meraih tontonan tertinggi di Youtube dalam sehari, sekaligus memecahkan rekod dunia yang pernah disandang oleh Blackpink menerusi How You Like That sebelum ini.

Dynamite secara tidak rasmi telah mencapai bilangan tontonan sebanyak 98.3 juta di dalam sehari mengatasi rekod How You Like That dengan 86.3 juta orang sebelum ini. Walaupun begitu, rekod dunia ini belum lagi diperakui oleh Youtube secara rasmi kerana data yang sebetulnya mungkin menunjukkan pengurangan. Walaupun bilangan tontonan tidak mencecah 100 juta dalam sehari seperti diidam-idamkan, tetapi Dynamite telah tercatat sebagai video Youtube paling pantas mencecah angka berkenaan dalam beberapa minit kemudian.

Selain mendapat tontonan tertinggi di Youtube, Dynamite juga hampir menyapu bersih kejuaraan di dalam carta Itunes di serata dunia dengan lebih 104 negara dicatatkan setakat ini termasuklah Malaysia. Dynamite juga diperakui di atas kejayaan meraih jumlah tontonan Youtube sebanyak 4 juta orang sebelum video muzik dibuka secara rasmi, mengatasi rekod Blackpink dengan 1.66 juta orang pada masa itu.

Kali terakhir BTS berjaya melakar sejarah tontonan video tertinggi di Youtube adalah menerusi single ‘Boy With Luv’ dengan 74.6 juta tontonan pada masa itu. Bagaimanapun, single ‘ON’ pada awal tahun 2020 yang serentak pelancarannya dengan album ‘Map of The Soul 7’ pula gagal untuk mencipta kegemilangan sekali lagi di Youtube barangkali disebabkan strategi Big Hit untuk mengeluarkan video tarian  terlebih dahulu sebelum video rasmi beberapa hari kemudian telah mengakibatkan gembar-gembur kurang lagi berhasil.

Dynamite’ ialah sebuah lagu dengan gubahan sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris dan merupakan lagu single ‘English’ kedua keluaran mereka tanpa bahasa rojak selepas ‘Waste It On Me’. Ia dicanang-canangkan sebagai lagu musim panas paling gemilang untuk tahun 2020 berentakkan ‘upbeat’ disco pop sebagai sokongan buat mereka yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Sumber: Youtube