SM Entertainment hari ini mengambil tindakan untuk menyaman sesiapa saja yang telah membuat keterangan palsu dan memfitnah Taeyong NCT127 sekeluarga bagi melindungi imej anak buahnya itu.
Tindakan itu diambil rentetan daripada ugutan yang dibuat oleh seorang tukang adu (“whistleblower”) yang mahu mendedahkan audio sebenar perjumpaan antara Taeyong dengan mangsa terbabit pada sekitar Oktober 2019 lalu dan dikatakan pernah menghadirinya bagi menemani mangsa. Ia dibuat kerana tidak tahan dengan gangguan yang diterima, rata-rata daripada peminat Taeyong sehingga identitinya termasuklah tempat kerja, alamat rumah dan nama sebenar terdedah di khalayak ramai. Perjumpaan pada masa itu pula bagi merungkai salah faham antara mereka kerana keterlanjuran Taeyong menuduh kawannya itu melakukan aktiviti ‘mengunyit’.
“SM, jangan salahkan aku. Salahkan peminat yang tak henti-henti mengganggu aku dengan komentar berniat jahat, menceroboh privasi tempat kerja, rumah dan identitiku,” katanya sambil menyertakan gambar dengan seolah-olah ada audio yang mahu ditunjukkan. Bagaimanapun, kandungan audio itu belum terdedah lagi buat masa ini. Berikutan ugutan dibuat oleh tukang adu itu, SM didesak oleh sebilangan peminat NCT127 untuk menggugurkan keahlian penyanyi itu serta-merta dalam beberapa petisyen dibuat oleh mereka.
Dalam artikel berasingan daripada Dispatch pula, beberapa testimoni daripada bekas cikgu dan rakan sekolah Taeyong serta bukti keratan mesej antara mangsa, tukang adu dan Taeyong NCT mengusulkan fakta tentang cerita buli di sekolah mereka, permohonan maaf oleh Taeyong yang dikatakan dibuat tidak ikhlas, serta keraguan terhadap sumbangan Taeyong selama ini telah ditokok tambah, seterusnya membuktikan tuduhan oleh tukang adu tersebut baru-baru ini memang sengaja dibuat tanpa makluman daripada mangsa.
“Apa yang pasti, aku tak ‘gay’ dan aku tak kisah pun. Tetapi, tukang adu tak habis-habis membuatkan aku tak selesa. Dia mendedahkan gambar album graduasiku tanpa kebenaranku. Jika kau baca artikel ini, cari aku dan minta maaf cepat,” katanya.
Memandang isu tersebut terlalu serius untuk diperkatakan lagi, SM bertindak mengeluarkan kenyataan hari ini sebagi respon terhadapnya.
“Individu tersebut yang membuat hantaran tentang perbuatan Taeyong ketika dia di sekolah menengah dahulu, kerap membuat kenyataan menyebelahi satu pihak dan akhirnya memutarbelit fakta terselindung. Taeyong telah pun memohon maaf kepada mangsa dan telah pun membayar pampasan kerana perbuatan silapnya ketika itu. Tetapi, tukang adu itu tetap juga buat kenyataan sebelah pihak dan menggembar-gemburkan cerita bagi merosakkan imej Taeyong,” kata jurucakap SM.
“Memandangkan tukang adu itu juga ialah rakan sekolah Taeyong, kami bimbang tuduhan itu juga bakal terpalit terhadap perhubungannya dengan rakan-rakan sekolah lain dan akhirnya mereka juga terdedah kepada fitnah ini…. Kami tidak boleh lagi bertolak ansur, dan kami akan mengambil tindakan saman bagi melindungi artis kami,” tambahnya lagi.
Sumber: xsportnews, Dispatch