WINNER, Got7, NUEST & Monsta X bersilih ganti merebut gelaran raja kpop untuk dua bulan mendatang

Di sebalik kekangan pandemik Covid-19 yang membataskan pergaulan sesama insan, industri muzik Korea tetap tidak suram dengan kehadiran kumpulan kpop baru, My.st dan TOP selain beberapa kumpulan kpop ternama yang akan membuat ‘comeback’ dalam masa terdekat ini dan juga untuk dua bulan mendatang. Berikut adalah kumpulan-kumpulan kpop lelaki ternama yang telah mengesahkan akan membuat kemunculan semula dengan album terbaru mereka masing-masing dalam dua bulan akan datang:

1. WINNER

Dalam meraikan pemergian Jinu kerana khidmat ketenteraan, WINNER mengeluarkan album ketiga mereka pada 9 April 2020 lalu dengan harapan kerinduan peminat terhadap Jinu dapat diubati dengan ‘mengingati’ album ini seadanya. Beberapa lagunya mendapat sentuhan sendiri daripada Kang Seung Yoon dan Song Mino, dibuat sebagai dedikasi kepada Jinu dan InnerCircle terutamanya. Lagu ‘Hold’ dijadikan single utama, disusuli dengan ‘Remember’.

2. Got7

Bagi peminat yang sudah tidak tahan lagi menanti kemunculan semula Got7, kumpulan ini akan mengeluarkan album terbaru mereka berjudul ‘DYE’ menjelang 20 April 2020 ini. Tetap dibarisi dengan anggota sedia, Youngjae, Jinyoung, Mark Tuan, Jackson Wang, BamBam, Im Jae Bom (JB) dan Yugyeom bersedia untuk memanah hati peminat sekalian dengan lagu-lagu berentakkan pop terkini. Lagu ‘Not By The Moon’ dijadikan sebagai single utama dengan mesej tertulis, “Jangan bersumpah di bawah sinaran rembulan”.

Got7 sepatutnya dijadualkan akan mengadakan konsert di Malaysia pada Mac lepas tetapi terpaksa membatalkannya pada saat-saat akhir disebabkan pandemik Covid-19.

3. NUEST

Kembalinya Hwang Minhyun ke pangkuan NUEST setelah dipinjamkan sekejap untuk bersama-sama dengan Wanna One selama hampir dua tahun, sememangnya membawa tuah kepada kumpulan ini. Sejak kembalinya Minhyun, NUEST sudah mengeluarkan dua album iaitu ‘BET BET’ pada April dan ‘Love Me’ pada Oktober tahun 2019. Penantian peminat selama tujuh bulan agak berbaloi kerana mereka dijadualkan akan melancarkan album terbaru pada Mei 2020 ini dengan tarikh yang masih dirahsiakan. Selain Minhyun, NUEST dianggotai oleh Jonghyun (JR), Baekho, Aron dan Ren.

4. Monsta X

Akhir sekali, masa yang dihabiskan untuk promosi berterusan di Jepun pada bulan April 2020 ini tidak mematahkan semangat Monsta X untuk kembali semula pada bulan Mei 2020 dengan album terbaru mereka pula yang masih dirahsiakan judul dan tarikh pelancarannya. Walaupun tanpa kehadiran Wonho lagi yang memilih untuk menjadi artis solo, Monsta X bersedia memecahkan dominasi kumpulan kpop lain pada waktu yang sama, sekaligus membuktikan pengaruh mereka yang sudah termaktub di luar negara tidak sia-siakan.

Sedikit kegusaran berlaku apabila konsert besar-besaran yang bertempat di Seoul yang telah dicanang-canangkan sejak sekian lama pada bulan Mei 2020 ini terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir. Namun setakat ini, Monsta X tidak menangguhkan rancangan mereka untuk melancarkan album tersebut.

Sumber: mksports, xsportnews , joins

loading...