‘Diusir’ keluar daripada School 2020, pihak produksi salahkan ayah Ahn Seo Hyun kerana buat tuntutan mengarut

Pihak produksi drama menyalahkan ayah Ahn Seo Hyun kerana membuat tuntutan mengarut lalu menyebabkan mereka tidak memanjangkan kontrak kepada pelakon berkenaan untuk berlakon di samping Kim Yo Han di dalam KBS School 2020.

“Seketika dulu, kami menerima berbagai-bagai tuntutan daripada ayah Ahn Seo Hyun menyebabkan proses rundingan untuk membawa pelakon itu terbantut. Walaupun begitu, kami cuba berunding pula dengan Ahn Seo Hyun, namun masih tak berhasil disebabkan campur tangan daripada ayahnya. Akhirnya, memikirkan begitu sukar untuk bekerja dengannya lagi-lagi mahu memenuhi tuntutan ayahnya, kami putuskan cukup di sini saja,” kata jurucakap KBS mewakili pihak produksi drama School 2020.

Sebagai respon terhadap dakwaan ayah Ahn Seo Hyun yang mengatakan pelakon itu diusir keluar tanpa notis, beliau berkata, “Kami cuba menyelesaikannya secara senyap-senyap tanpa mahu melukakan hati Ahn Seo Hyun. Ia proses yang sangat sukar untuk mengumumkan status Ahn Seo Hyun di dalam drama ini (untuk menggugurkannya) disebabkan  perangai ayahnya. Jika situasi yang sama berlaku lagi di masa depan, kami akan menerangkan proses rundingan dan kandungan kontrak dengan Ahn Seo Hyun secara terbuka, serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.”

Baca lagi : Impian Ahn Seo Hyun bersama Kim Yo Han hancur berkecai gara-gara Kim Sae Ron bakal jadi penggantinya di dalam School 2020

Semalam, Ahn Seo Hyun melahirkan rasa tak berpuas hatinya terhadap keputusan diambil oleh pihak produksi untuk menggugurkannya dan menggantikan dengan pelakon Kim Sae Ron. Ayahnya juga turut membuat kenyataan balas berasingan mendakwa pihak produksi drama sengaja melambat-lambatkan pengesahan kontrak yang sepatutnya ditandatangi sejak sekian lama dengan gambaran seolah-olah Ahn Seo Hyun sendiri mahu mengundurkan dirinya daripada projek itu.

Bagaimanapun hari ini, Ahn Seo Hyun akhirnya redha dan menerima hakikat penggugurannya daripada drama tersebut. Katanya seperti dipetik, “Saya sudah melakukan persediaan mencukupi sejak sekian lama dengan pengarah dan produser, dan agak menyedihkan bila berita itu (pengguguran) datang akhirnya disebabkan situasi tak disangka-sangka. Disebabkan siri ‘School’ disukai ramai, saya telah cuba buat yang terbaik kerana ramai menunggu untuk menyaksikan musim terbaru. Sukar untuk mempercayai situasi ini, namun saya memutuskan untuk menyokong pengarah, produser, dan kesemua krew supaya ‘School 2020’ menjadi drama yang menarik dan disukai ramai.”

Sumber: enews24, kyeonggi, ytn

loading...