X1 masih lagi dinafikan hak pampasan bernilai jutaan won sehingga hari ini

Sejak dibubarkan 42 hari yang lalu, X1 masih lagi dinafikan hak pampasan bernilai sehingga jutaan won walaupun pernah dijanjikan CJ E&M sebelum ini. Mereka belum menerima sebarang keuntungan daripada segala aktiviti dibuat untuk promosi X1 selama hampir lima bulan.

Berdasarkan sumber terdekat, setiap ahli X1 telah merayu pada CJ E&M untuk menyelesaikan pembayaran tersebut tetapi ianya tak dapat disahkan oleh syarikat itu. Selepas saja ‘debut’, X1 telah meraih keuntungan besar sewaktu konsert perkenalan di Gocheok Sky Dome, selain mencapai jualan album melebihi 600,000 (kumpulan kpop ketiga selepas BTS dan Seventeen meraih jualan album tertinggi pada tahun 2019) dan membuat kemunculan di KCON. Menurut laporan IS Plus ini juga, CJ E&M juga telah memperoleh keuntungan ratusan juta won hasil terjana daripada siri Produce selama empat musim. Disebabkan kontrak yang kabur bagi menetapkan pembayaran secara khusus, kesemua ahli X1 telah ‘bekerja’ tanpa dibayar satu sen pun. Malah, kes mahkamah melibatkan kontroversi manipulasi undian juga dikatakan telah melambatkan proses pembayaran tersebut kerana kontrak yang rasmi sebenarnya tidak ditandatangani antara kedua-dua pihak.

Pada November tahun 2019 lalu, Mnet pernah memberi jaminan akan menyelesaikan pembayaran pada waktu yang ditetapkan. “Dana bernilai 25.3 billion won itu untuk pembangunan K-pop masih lagi dalam perbincangan. Kami akan lantik pengurusnya,” kata jurucakap Mnet pada masa itu. Namun, sehingga hari ini, pampasan terhadap X1 masih belum dilunaskan lagi.

Sumber: IS Plus

loading...