Pesona Bintang Jang Han Byul Terus Bersinar Di Pentas Big Stage 2019

Pada minggu ke-3 berlangsungnya pertandingan Big Stage, penulis diberi peluang oleh pihak Astro untuk menonton dan bermesra dengan Hanbyul dan rakan-rakan seperjuangan dia. Minggu yang agak penuh dengan drama namun, peserta dari Korea Selatan ini kekal tenang dan memberikan penyampaian yang terbaik. Penulis berpeluang meluangkan masa bersama beliau untuk mengupas pandangan beliau terhadap pengalaman beliau di sini. Untuk tugasan minggu ke-4, Hanbyul akan berduet dengan Sarah Suhairi bagi mendendangkan lagu yang berjudul ‘Just Give Me A Reason’ nyanyian Pink dan Nate Ruess.

Apabila ditanya mengenai pendapat beliau untuk berduet bersama Sarah Suhairi, Hanbyul akui beliau amat bersyukur kerana Sarah menerima jemputan beliau. Hanbyul menjelaskan beliau telah beberapa kali bertemu dan amat menyenangi Sarah Suhairi bukan hanya kerana beliau pemenang Big Stage tahun lepas, tetapi kerana bakat beliau di samping peribadinya baik dan sikap beliau yang terbuka itu.

Secara jujurnya, Hanbyul amat gembira kerana melepasi minggu ketiga. Beliau merasakan penglibatan beliau dengan Big Stage seperti beliau mencabar diri sendiri. Bangga dan juga seronok kerana dapat menyanyi lagu yang berbeza-beza setiap minggu. Suatu platform yang unik. Turut mengakui juga, beliau sebenarnya kecewa dengan persembahan sendiri disebabkan oleh sering meletak harapan tinggi tetapi itu semuanya di luar kawalan beliau. Persembahan tidak akan sempurna seperti yang diharap tetapi pengalaman menyanyi dalam kalangan penonton yang lebih meluas, menerima komen dan belajar dari penyanyi-penyanyi yang lebih pengalaman adalah satu yang sangat hebat.

Di tanya kenapa memilih untuk menyertai Big Stage, sebuah rancangan realiti Malaysia sedangkan di Korea Selatan lebih banyak pilihan untuk beliau, Hanbyul menjelaskan Korea merupakan satu persekitaran yang selesa. Di sana juga beliau turut dikenali malah menerima pelbagai jemputan untuk menyertai rancangan-rancangan realiti show. Merasakan ketika itu, waktu tidak bersesuaian sehinggalah jemputan untuk menyertai Big Stage di terima beliau. Hanbyul mengakui bahawa Big Stage adalah satu peluang yang amat baik untuk beliau bertemu dengan peminat Malaysia dan antarabangsa. Pada masa yang sama, sebagai artis solo yang baru beliau merasakan keputusan menyertai Big Stage ini adalah satu keputusan yang tepat, sekeliling yang tepat dan persekitaran yang tepat untuk mencabar diri beliau supaya lebih serba boleh dan membawa kelainan.

Baca juga : Sahut cabaran nyanyi lagu Melayu dalam Big Stage 2019, nama Han Byul kembali meniti dibibir peminat Malaysia

Hanbyul turut berkongsi dengan pihak KMania bagaimana peminat-peminat beliau yang sedia ada di Korea malah rakan-rakan beliau juga sangat menyokong beliau di Malaysia. Mereka menghormati keputusan dan sebab penyertaan Hanbyul ke Big Stage ini. Malah, walaupun rakan-rakan Led Apple juga masih sering kali berkomunikasi antara satu sama lain. Jangan terkejut sekiranya ahli Led Apple akan mengunjungi Malaysia satu hari nanti ya.

Menyanyi dalam suatu bahasa asing pasti bukan mudah. Hanbyul juga mengakui kepayahan yang dilaluinya. Menurut beliau, sehingga sebelum waktu persembahan, beliau masih lagi menghafal lirik-lirik bait lagu. Jelas beliau lagi, lirik dan bait lagu perlu sentiasa di bibir tanpa perlu difikirkan. Semua orang boleh menghafal lirik-lirik lagu tetapi apabila berfikir mengenai menyanyi di atas pentas dan menghadapi juri-juri yang hebat, anda pasti akan gemuruh dan lupa. Memang perlu berlatih lebih dari 1000 kali.

Di tanya sama ada berminat untuk menerbitkan album ataupun menyanyikan lagu tema drama atau filem setelah selesai pertandingan ini. Tanpa mengambil masa lama, Hanbyul secara teruja memberitahu sudah tentu. Malah OST adalah kepakaran beliau.

Apabila membicarakan mengenai pesaing terapat beliau di Big Stage Hanbyul menamakan Dinda Pertama sebagai pesaing sengit beliau. Sama-sama peserta antarabangsa, Hanbyul menggambarkan kegigihan dan ketelusan Dinda dalam membuat persediaan untuk ke pentas. Hanbyul juga melihat Dinda membawa masuk pelbagai kelainan dan genre-genre yang berbeza dan Dinda begitu profesional di matanya. Sekali gus meletakkan Dinda sebagai pesaing utama beliau di dalam Big Stage.

Berikut adalah rakaman sesi temuramah ringkas bersama Hanbyul :

View this post on Instagram

#hanbyulbigstage #twinkler #kmaniamy #AstroRia

A post shared by KMania (@kmania.my) on

Penulis terasa senang berbicara bersama Hanbyul, tiada kekoknya dengan kemesraan dan sifat beliau yang begitu bersahaja itu. Tidak ada setitik keangkuhan di dalam pembawaan diri beliau malah begitu rendah diri apabila di tegur oleh orang ramai. Penulis berharap peminat-peminat Hanbyul kekal menyokong beliau pada masa akan datang. Seperti tagline Han Byul, ‘Tengok bintang, ingat Han Byul’. Nah, ini dia ucapan dari Hanbyul buat peminatnya @TwinklerFC terutamanya pengikut KMania.

loading...