Im Soo Jung luahkan perasaannya menjelang berakhirnya drama tvN ‘WWW’

Mengimbangi kerjaya professional dengan hubungan percintaan bukanlah sesuatu yang mudah dan sentiasa menjadi dilema buat wanita yang berusia 30-an ke atas.

Dalam menyelongkar isu feminisme, tvN “Search : WWW” bertemakan fantasi romantis mengisahkan kehidupan tiga wanita kerjaya yang sentiasa bercita-cita tinggi yang dibintangi oleh Im Soo Jung, Lee Dae Hee dan Jeon Hye Jin. Kadang kala, seseorang merasakan dia tidak memerlukan cinta lagi. Namun, sedarkah bahawa cinta itu akan datang biarpun tanpa dicari?  Dalam “Searching : WWW” , seorang komposer berbakat Park Mo-geon (Jang Ki Yong), percaya cinta itu menakjubkan dan sesuatu yang hebat. Lantas hatinya terpaut kepada Bae Ta-mi(Im Soo Jung) yang sudah nekad dengan kerjanya sebagai pengarah syarikat. Mampukah cinta Park Mo Geon mengubah persepsi dan membuka hati Bae Ta Mi untuk mempercayai cinta? Begitulah apa yang cuba diketengahkan menerusi drama ini.

Menjelang episod akhir yang akan ditayangkan malam ini, Im Soo Jung berkongsi luahannya sepanjang membintangi drama ini menerusi agensinya, Starship Kingkong Entertainment.

“Sudah empat setengah bulan, saya berjumpa dengan ramai orang dan bekerja dengan mereka. Saya berasa sangat dihargai kerana dapat bekerja di dalam kumpulan yang terbaik. Terima kasih kepada semua krew terbabit,” kata Im Soo Jung.

Baca lagi : Untuk siaran tvN Asia – “Search : WWW”, pantaskah cinta mengubah wanita yang terlalu gila bekerjaya?

“Saya sangat terharu dan gembira kerana dapat melakonkan watak Bae Tae Mi. Adakah karakter sehebat begini akan muncul lagi untuk saya di masa depan?. Terima kasih penonton yang menyukai naskah ini sehingga selesai semuanya. Saya harap dapat kembali lagi dan memberikan lakonan terbaik dalam masa terdekat,” luahnya lagi.

Lakonan Im Soo Jung sebagai wanita besi berkerjaya di dalam drama ini meninggalkan kesan mendalam buat penonton tentang bagaimana Im Soo Jung menunjukkan perubahan psikologi berlaku di atas ekspresi emosi yang diterjemahkan. Masakan, beliau yang juga pernah menerima pencalonan Best Actress CARI Kdrama Awards di dalam tvN Chicago Typewriter sebelum ini, tak pernah puas lagi dalam memberikan persembahan yang mengujakan terutamanya buat peminat yang sudah lama mengidam lakonannya sejak zaman I am Sorry, I Love You (MISA) dahulu.

Siaran tertunda drama ini disiarkan pada jam 9.45 malam di saluran tvN Asia Ch 395 dan Unifi TV Ch 211 setiap Khamis dan Jumaat.

Sumber: mydaily

loading...