SBS telah memutuskan untuk memecat pihak produksi yang terbabit dalam pembikinan episod “Law of the Jungle in Lost Jungle & Island” sehingga membawa kepada penangkapan kerang gergasi, spesies terancam yang dilindungi oleh kerajaan Thailand dan menyiarkannya untuk tontonan tv. Video tangkapan mereka itu tertular di media sosial menyebabkan kerajaan Thailand bertindak untuk memanggil pelakon Lee Yeol Eum untuk didakwa di mahkamah sana dan sekiranya didapati bersalah, beliau mungkin dikenakan hukuman penjara.
Walaubagaimanapun, kendatipun didesak oleh sekumpulan netizen yang berang dengan sikap lalai krew tersebut, SBS tidak merancang untuk menutup program realiti tersebut daripada senarai tontonan untuk masa hadapan , sebaliknya program tersebut mungkin akan diarahkan oleh PD produser yang berbeza.
“Kami memandang berat tentang disiplin anggota produksi kami dan sudah pun pertimbangkan permohonan maaf daripada pihak produksi. Kami telah pun gugurkan mereka daripada mengarahkan ‘Law of the Jungle’ lagi. Untuk tidak mengusutkan penonton lagi, kami tidak akan menyiarkan baki episod “Law of the Jungle in Lost Jungle & Island” dan akan meletakkan notis permohonan maaf pada 20 Julai ini. Kami akan memastikan tiada lagi kejadian serupa berlaku dan cuba sedaya upaya menangani sebarang risiko tuntutan undang-undang sewaktu krew menjalani penggambaran di luar negara,” kata jurucakap SBS dalam satu sidang media diadakan sebentar tadi setelah berbincang dengan kesemua krew terbabit.
Sumber: news1