Industri hiburan Korea Selatan tidak pernah sunyi dengan kehadiran pendatang baru yang bagaikan seperti cendawan tumbuh, tidak kira secara solo ataupun berkumpulan. Kehadiran pendatang baru khususnya kumpulan idol K-Pop pastinya memberi saingan kepada kumpulan sedia ada. Salah satunya kumpulan baru ini lebih segar, punya pakej yang lengkap dan kehadirannya sangat bersesuaian dengan permintaan penggemar muzik K-Pop. Bahkan ramai peminat kumpulan idol K-Pop yang telah lama bertapak turut berubah selera kepada pendatang baru ini.
Namun begitu, kadang-kala setiap tahun juga pasti ada sahaja kumpulan idol K-Pop yang mengumumkan pembubaran mereka. Sudah pasti disebabkan persaingan yang cukup sengit dalam industri muzik di Korea dan ada juga menamatkan penglibatan mereka di arena seni hiburan apabila kontrak bersama agensi tamat. Tahun 2019, sehingga Jun ini telah menyaksikan beberapa kumpulan idol K-Pop yang telahpun bubar biarpun mereka boleh dikatakan agak kukuh dalam industri. Jom, kita lihat senarainya :
1. Wanna One
Kumpulan Wanna One terdiri daripada 11 ahli dari pelbagai agensi hiburan iaitu Kang Daniel, Ong Seung Wu, Lee Dae Hwi, Hwang Min Hyun, Kang Ji Hwan, Park Ji Hoon, Park Woo Jin, Lai Kuan Lin, Ha Sung Woon, Bae Jin Young dan Yoon Ji Sung. Mereka dipilih menyertai kumpulan tersebut apabila bergelar finalis bagi rancangan ‘survival’ realiti hiburan Produce 101 Musim 2 dan mula debut sebagai Wanna One pada Ogos 2017 dengan 1X 1=1 (To Be One). Kumpulan ini boleh dikatakan telah mencetuskan fenomena dikalangan peminat K-Pop kerana mereka tampil dengan pakej yang lengkap, muzik dan tarian yang segar dan bertenaga serta kehadiran mereka memang tepat pada waktunya. Sambutan yang diberikan kepada kumpulan ini memang luar biasa dan kehadiran mereka seringkali dinantikan ramai sehingga jualan tiket habis dalam masa yang singkat. Mereka juga sempat memenangi pelbagai anugerah di bawah payung Wanna One. Bahkan penjualan album serta barangan rasmi Wanna One juga ibarat pisang goreng. Kontrak mereka bersama agensi Swing Entertainment tamat pada 31 Disember 2018 dan kumpulan ini terbubar rasminya pada penghujung Januari 2019 setelah menamatkan konsert terakhir mereka. Kini kesemua mereka kembali kepada agensi masing-masing dan meneruskan karier solo mereka dalam bidang nyanyian serta lakonan.
Antara lagu popular Wanna One adalah ‘Energetic’, ‘Burn It Up’, ‘Beautiful’, ‘I Promise You’, ‘Boomerang’, ‘Spring Breeze’, ‘We Are’ dan ‘Gold’. Pembubaran kumpulan ini diratapi oleh peminat diseluruh dunia kerana mereka masih lagi memerlukan Wanna One untuk terus menghiburkan mereka.
2. UNB
UNB juga adalah sebuah kumpulan idol K-Pop yang lahir daripada program ‘survival’ realiti hiburan KBS “The Unit” dan telah debut pada April 2019 menerusi album sulung mereka “Boyhood”.Kumpulan ini dianggotai oleh Jun, Euijin, Go Ho-jung, Feeldog, Marco, Ji Han-sol, Daewon, Kijung, dan Chan. Seperti juga Wanna One, UNB juga bernaung di bawah agensi yang berbeza dan kesemua mereka telah aktif dalam industri sebelum memasuki program realiti tersebut namun populariti mereka tidak bersinar dengan baik.
UNB akhirnya menamatkan aktiviti promosi mereka pada 27 Januari 2019 dan kesemua ahli kembali meneruskan aktiviti seni mereka bersama agensi masing-masing. Antara lagu yang pernah didendangkan UNB adalah ‘Feeling’, ‘Only One’ dan ‘Black Heart’.
3. 9Muses / Nine Muses
Kumpulan penyanyi wanita 9Muses ini telah debut pada tahun 2010 di bawah naungan Star Empire Entertainment. Keanggotaan kumpulan 9Muses ini adalah berdasarkan konsep kelulusan. Bagaimanapun seperti kumpulan K-Pop yang lain, 9Muses juga tidak terkecuali daripada situasi pertambahan dan pengurangan ahli kumpulan. Antara ahli kumpulan yang kekal dengan 9Muses adalah Gyeongree, Hyemi, Sojin dan Keumjo.
Pada 10 Februari lepas, agensi mereka Star Empire telah mengeluarkan kenyataan bahawa 9Muses tidak akan memanjangkan kontrak mereka biarpun berbaki dua tahun lagi dan setelah berbincang kedua-dua pihak bersetuju untuk membubarkan 9Muses ini setelah 9 tahun berada dalam industri musik. 9Muses popular dengan lagu ‘Dolls’, ‘Hurt Locker’, ‘Glue’, ‘Sleepless Night’ dan banyak lagi.
9Muses sempat menyepi selama dua tahun sebelum dibubarkan dan pada Februari 2019, mereka mengeluarkan sebuah single berjudul ‘Remember’ sebagai hadiah perpisahan buat para peminat. Kumpulan ini juga mengakhirkan aktiviti seni sebagai 9Muses dengan program fan-meeting bersama peminat pada penghujung Februari 2019.
4. Wassup
Kumpulan penyanyi wanita Wassup ini dianggotai oleh Nari, Jiae, Woojoo, Sujin, Nada, Jinju dan Dain. Wassup ditubuhkan oleh Mafia Records dan Sony Music.
Pada 3 Ogos 2013, Sony Music mengumumkan sekumpulan wanita yang sudah dilatih selama tiga tahun dengan genre musik dancehall dan tarian twerking. Sony Music mengatakan, “Wassup akan menjadi girlband yang berbeza dan mereka dikatakan akan mengembangkan muzik hip-hop melalui pelbagai aktiviti.
Wassup telah debut pada 7 Ogos 2013 dengan single berjudul ‘Wassup’. Namun, pada 2017, Nada, Jinju, dan Dain memutuskan untuk keluar dari kumpulan tersebut. Kali terakhir Wassup buat kemunculan semula adalah pada tahun 2017 menerusi mini album COLOR TV.
Pada Februari 2019, Wassup telah menamatkan kontrak ekslusif bersama Mafia Records biarpun pada dasarnya kontrak mereka belum lagi berakhir. Keputusan ini dibuat demi kelangsungan karier ahli-ahli kumpulan Wassup di masa yang mendatang.
5. CocoSori
CocoSori merupakan grup duo yang dianggotai oleh Coco dan Sori di bawah agensi M.O.L.Entertainment. Duo ini debut pada tahun 2016 dengan single album pertama yang berjudul ‘Dark Circle’.
Keputusan untuk membubarkan duo ini bermula dari kenyataan Coco yang menuding jari ke agensinya kerana isu pilih kasih terhadap dirinya dan Sori. Berdasarkan pernyataan dari Coco, beliau merasakan tidak diperlakukan dengan adil kerana agensi tersebut lebih utamakan karier debut solo untuk Sori daripada kemunculan mereka berdua mahupun debut solo untuk dirinya sendiri.
Untuk tidak memanjangkan isu ini, pihak agensi bersetuju untuk membubarkan CocoSori dan telah mengeluarkan kenyataan pembubaran sekitar awal Mac lalu. Setelah tiga tahun bertapak di industri muzik Korea, akhirnya CocoSori telah rasmi dibubar.
6. Hello Venus
Hello Venus mula debut pada tahun 2012 dengan keanggotaannya terdiri daripada enam orang ahli iaitu Alice, Nara, Lime, Yooyoung, Seoyoung, dan Yeoreum. Kali terakhir mereka aktif adalah pada Januari 2017 menerusi mini album ‘Mystery of Venus’.
Kontrak mereka bersama Fantiago Entertainment tamat pada 8 Mei 2019. Namun, pada April lepas, portal hiburan Korea melaporkan bahawa kumpulan tersebut tidak berhasrat untuk menyambung kontrak mereka bersama agensi. Perkara ini telah disahkan oleh Fantiago Entertainment dan atas kesepakatan kedua pihak setelah 7 tahun, akhirnya Hello Venus terbubar secara rasminya setelah kontrak mereka tamat.
7. Pristin
Pada 24 Mei lepas, kumpulan Pristin secara rasminya dibubarkan. Menurut agensi mereka, Pledis Entertainment, setelah berbincang dengan kesemua ahli kumpulan, Nayoung, Roa, Yuha, Eunwoo, Rena, Xiyeon, dan Kyla bersetuju untuk menamatkan kontrak eksklusif mereka. Namun, Hanya Kyulkyung, Yehana, dan Sungyeon masih lagi kekal sebagai artis di bawah naungan agensi tersebut.
Nayoung, Roa, Yuha, Eunwoo, Rena, Kyulkyung dan Xiyeon merupakan peserta bagi rancangan survival hiburan ‘Produce 101’ musim pertama. Bagaimanapun, hanya Nayoung dan Kyulkyung berjaya bertahan hingga ke peringkat akhir, di mana keduanya layak menganggotai kumpulan I.O.I yang debut pada Mei 2016. Setelah I.O.I, direhatkan sepenuhnya, kesemua peserta ‘Produce 101’ ini kembali bersatu dengan penambahan beberapa ahli baru untuk membentuk kumpulan Pristin.
Pristin mula debut pada tahun 2017 pada bulan Mac 2017 dengan album EP ‘Hi, Pristin’. Antara lagu mereka popular termasuklah Wee Woo dan Black Widow. Hasilnya, mereka dinobatkan sebagai pemenang Best Rookie Artist di dalam anugerah Asian Artist Awards pertama. Pristin juga dikenali di atas bakat ciptaan lagu sendiri yang kebanyakannya dimuatkan sebagai runut lagu di dalam album mereka.
8. Honeyst
Bernaung di bawah agensi FNC Entertainment, Honeyst gabungan perkataan Honey dan Artist) adalah sebuah pop rock band yang dianggotai oleh Oh Seung-seok (drummer), Kim Chul-min (main vocalist, guitarist, keyboardist), Seo Dong-sung (leader, vocalist, bassist), dan Kim Hwan (guitarist, vocalist). Honeyst mula debut pada tahun 2017 dengan single berjudul “Like You”.
Namun pada 26 April lepas, FNC Entertainment mengumumkan bahawa kumpulan ini secara rasminya telah terbubar. Antara punca kumpulan ini dibubarkan kerana perbezaan pendapat di antara setiap ahli dan pihak pengurusan sehingga agensi terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Kumpulan ini hanya bertahan untuk dua tahun dan setiap ahli kini fokus kepada aktiviti solo masing-masing.
9. Boyfriend
Setelah lapan tahun perjalanan mereka dalam industri muzik K-Pop, kumpulan popular Boyfriend memutuskan untuk bubar. Agensi mereka, Starship Entertainment, telah mengumumkan berita dukacita ini pada 17 Mei 2019 lalu. Menerusi perbincangan yang diadakan bersama agensi mereka, kumpulan ini mengambil keputusan untuk bubar apabila kontrak mereka bersama Starship Entertainment berakhir pada Mei 2019.
Boyfriend dianggotai oleh enam jejaka iaitu Kim Donghyun, Shim Hyunseong, Lee Jeongmin, Jo Youngmin, Jo Kwangmin, dan No Minwoo. Kumpulan ini mula debut pada 2011 dengan single “Boyfriend”. Antara lagu hit kumpulan ini seperti ‘Janus’, ‘On & On’ dan ‘I’ll Be There’.
Pada 2018, Jeongmin, Donghyun, Kwangmin dan Minwoo telah menyertai ujibakat program realiti survival ‘idol-rebooting’ KBS “The Unit”. Bagaimanapun, hanya Donghyun yang melepasi ujibakat tersebut dan berakhir dikedudukan ke-12. Tahun yang sama juga, sempena menyambut ulang tahun ke-8, kumpulan Boyfriend telah mengeluarkan sebuah lagu berjudul “Sunshower” sebagai hadiah kepada para peminat.
10. YJIG
Kumpulan wanita yang masih baru ini, YJIG mengejutkan para peminat dengan pembubaran mereka setelah berkongsi jadual baru aktiviti mereka. YJIG yang dianggotai oleh Joha, Chaeni, Mwah, dan Yejoo baru saja memulakan karier mereka September lepas dengan lagu ‘Solo’.
27 April lepas, agensi mereka GR Entertainment telah mengumumkan pengunduran dua ahli JYIG iaitu Mwah and Yejoo, atas alasan peribadi. Agensi kemudian telah mengendalikan ujibakat untuk mengisi kekosongan dan seterusnya bersedia untuk ‘comeback’. Dalam proses ‘comeback’ mereka, Joha dan Chaeni pula berhadapan dengan masalah stress dan kemurungan. Setelah sesi berbincang antara agensi dan ahli kumpulan, mereka merasakan amat sukar untuk meneruskan perancangan asal dan dengan itu mereka akhirnya setuju dibubarkan.
11. 14U
14U terpaksa dibubarkan menjelang 10 Mei 2019 lepas gara-gara agensi mereka BGent mengamalkan dasar pilih kasih yang membawa kepada hancurnya kesepakatan antara mereka. Kumpulan ini dianggotai oleh 14 anak muda dan 13 daripadanya mengambil keputusan untuk membatalkan kontrak ditandatangi mereka dengan pihak BGent.
Antara punca lain yang menjadi kepada pembuburan ini adalah, salah seorang ahli kumpulan 14U menjalinkan hubungan seksual dengan beberapa orang gadis termasuklah pengarah eksekutif BGent yang berusia 10 tahun tua daripadanya dan juga peminat dari Jepun tanpa pengetahuan para peminat. Akibatnya, kesemua ahli kecuali A berasa diri mereka tertipu dan merasakan mereka tidak boleh lagi mengekalkan 14U di bawah agensi yang sama.
Desas-desus bertebaran mengatakan A telah membuat sesuatu perkara yang diluar pengetahuan peminat mereka selama ini iaitu menjalinkan hubungan seksual dengan beberapa orang gadis termasuklah pengarah eksekutif BGent yang berusia 10 tahun tua daripadanya dan juga peminat dari Jepun. Akibatnya, kesemua ahli kecuali A berasa diri mereka tertipu dan merasakan mereka tidak boleh lagi mengekalkan 14U di bawah agensi yang sama.
14U disebut-sebut sebagai kumpulan kpop generasi baru yang bakal mengubah landskap hiburan negara itu apabila kali pertama debut pada tahun 2017 dengan salah seorang ahlinya mempunyai wajah campuran Pan-Asia iaitu Loudi yang berasal dari Indonesia. Namun apakan daya, perjalanan mereka sebagai 14U terhenti buat selamanya.
12. LipBubble
LipBubble yang debut pada Mac 2017, akhirnya bubar dalam jangka masa dua tahun sahaja. Kumpulan yang dianggotai oleh 7 remaja ini mula dikenali dengan single mereka berjudul ‘Popcorn’ dan ‘Yellow Pink’ bernaung di bawah pengurusan Zenith Media Contents.
Kerjasama LipBubble semakin menguat dan ini meyakinkan kumpulan ini akan terus mekar dengan agensi mereka. Namun, setalah berbincang secara telus antara kedua belah pihak, kata putus tercapai dengan membubarkan kumpulan ini demi kebaikan bersama.
13. A-Jax
Setelah 7 tahun berada dalam industri muzik, akhirnya kumpulan A-Jax yang bernaung di bawah DSP Media dibubarkan. A-Jax dianggotai oleh Hyeongkon, Yunyoung, Seungjin, Seungyeop, dan Junghee telah debut pada 2012 dengan lagu “ONE 4 U”. Mereka aktif dalam menyertai aktiviti hiburan di dalam dan luar Korea. Lagu “Snake” merupakan projek terakhir di mana mereka mempromosikan secara bersama yang dilancarkan pada Oktober 2013. Seungjin dan Junghee pula pernah menyertai rancangan ‘survivor’ KBS iaitu “The Unit”.
Menurut agensi mereka, DSP Media, kontrak A-Jax tamat pada 31 Mac lepas dan mereka akan membawa haluan masing-masing dalam industri ini pada masa hadapan. Agensi tersebut juga menyeru kepada para peminat agar terus menyokong karier ahli kumpulan A-Jax selepas ini.
14. Bigstar
Bigstar yang bernaung di bawah agensi Brave Entertainment juga mengambil keputusan untuk membubarkan kumpulan tersebut pada 1 Julai.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Brave Entertainment menyatakan kontrak eksklusif mereka bersama Feeldog, Sunghak dan Jude akan berakhir pada bulan Julai. Sejajar dengan penamatan kontrak 3 ahli Bigstar bersama agensi, perbincangan khusus telah diadakan bagi menyusun perjalanan karier mereka di masa hadapan. Kata putus dicapai bersama dalam keadaan yang baik di mana, Bigstar memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dan mengakhirkan perjalanan seni mereka selama tujuh tahun. Bigstar sepakat untuk bubar.
Umum ketahui, Bigstar yang dianggotai oleh Feeldog, Baram, Raehwan, Sunghak dan Jude telah membuat ‘comeback’ terakhir mereka pada tahun 2015 menerusi album ‘SHINE A MOON LIGHT’. Feeldog yang menyertai program survival ‘idol-rebooting’ KBS ‘The Unit’ berjaya membawanya ke peringkat akhir dan terpilih sertai kumpulan UNB untuk langkah promosi program tersebut. Bigstar merupakan kumpulan K-pop pertama yang berjaya membuat 100 konsert di Jepun pada 2014.
Nampaknya, ada pasang surutnya bergelar idol K-Pop. Bukan mudah nak terus kekal tambahan pula mereka yang berkumpulan. Kalau tak bermasalah dengan ahli kumpulan, pasti masalah berpunca daripada agensi. Apapun, selamat maju jaya buat semua.