Bangga album solo pertama terjual sehingga 400k unit, Baekhyun tujukan ‘UN Village’ untuk peminat

Setelah mengambil masa agak lama, akhirnya ahli kumpulan EXO ini, Byun Baekhyun berjaya mengeluarkan album EP solo pertamanya  pada hari ini didendangkan khas buat peminatnya.

Album EP diberikan judul ‘City Lights’ ini dihasilkan sepenuhnya dengan gabungan beberapa orang komposer dan penulis lirik termasuklah LION (penggubah utama lagu single utama ‘UN Village’) , Beenzino, Kenzie dan juga Dark Child. Antara lagu yang tersenarai ialah Diamond, Psycho, Ice Queen (lagu kegemaran Baekhyun), Betcha, Stay Up dan juga UN Village. Dihebahkan kepada umum sejak lapan hari yang lalu, album EP ini telah mencatat jualan ‘pre-order’ sehingga 401,545 unit, sesuatu yang jarang dilihat pada artis Korea yang baru berjinak-jinak dengan karier sebagai artis solo.

Mengulas tentang single pertama daripada album tersebut, ‘UN Village’ yang berentak R&B disadurkan elemen retro klasik ini merupakan cubaan terbarunya untuk menjadi penyanyi balad R&B pada suatu masa nanti. Lirik ‘UN Village’ yang berkisarkan tentang momen-momen dikecapi di bawah sinar rembulan di bukit ‘UN Village’ buat pasangan yang sedang asyik bermadu asmara, ditujukan khas untuk kebahagian peminatnya.

Sempat juga bercerita tentang kejayaan BTS, Baekhyun mengakui mereka (merujuk kepada kumpulan EXO) mempelajari sesuatu daripada BTS. “Mereka hebat dan mereka betul-betul bekerja kuat. Kita memuji apa yang mereka sepatutnya dapat,” tambahnya lagi. Mengakhiri perbualannya bersama media petang tadi yang turut dihadiri oleh rakan sekumpulan Chen, Baekhyun turut memberi jaminan EXO tetap teguh walaupun ketiadaan beberapa orang ahli seperti Do Kyung Soo dan Xiumin yang sudah menyertai latihan ketenteraan lebih awal daripadanya. Dengan pelancaran album EP ini, Baekhyun merupakan ahli ketiga kumpulan itu selepas Chen dan Lay Zhang yang berjaya mengeluarkan album penuh secara solo.

‘UN Village’ yang mula menjengah di laman ‘Youtube’ pada jam 7 petang waktu Malaysia tadi mengundang kritikan positif daripada kalangan pemuzik dan peminat Exol terutamanya. Rata-rata memuji alunan suaranya yang sesuai dalam mencorakkan lagu-lagu berentakkan R&B dengan gaya tersendiri. Sehingga kini, ‘UN Village’ telah menguasai top 5 di dalam carta muzik harian seperti Melon. Naver, Soribada, Mnet, Bugs dan Genie.

Apa pandangan anda pula tentang album terbaru Baekhyun? Sila turunkan komen anda di laman facebook/insta Kmania.

Sumber: OSEN, heraldpop , foto dikreditkan (TopStarNews, News1)

loading...