Temubual eksklusif 30 minit bersama James Lee

 

30 April 2019, James Lee meluangkan masa untuk beramah mesra pihak media Malaysia bersempena dengan pelancaran EP terbaru beliau berjudul The Light. Kmania diberi peluang bersama-sama dengan geng online supporter lain untuk bersama-sama James Lee.  Dalam suasana santai penuh dengan gelak ketawa kami mengupas isu peribadi, muzik dan tanggapan beliau terhadap  Malaysia.

Bukan sahaja berbakat, malah begitu bersemangat dalam menyanyi, menulis serta produser muzik yang hebat. Pernah suatu ketika beliau muncul dalam kumpulan Royal Pirates bersama-sama dengan ahli kumpulan yang lain iaitu Kim Moon-chul dan Kim Soo-yoon. Selama 13 tahun beliau berkecimpung dalam arena muzik dan juga selaku pemain Bass untuk kumpulan Royal Pirates ini, memainkan lagu-lagu berpelbagai genre seperti metal, rock indie dan juga Kpop. Namun, beliau mengumumkan pengunduran beliau dari kumpulan Royal Pirates pada tahun 2017 disebabkan masalah kesihatan yang berpunca dari kemalangan yang berlaku pada tahun 2015.

James dengan American accent yang pekat, menyambut kedatangan kami dengan senyuman yang lebar serta keperibadian yang ceria dan mudah didekati. Berpengalaman ke Malaysia pada tahun 2016 bersama-sama teman-teman lama, kini James kembali lagi dan kami bertanyakan mengenai perasaan beliau untuk kembali ke Malaysia dan kini sebagai artis solo. Beliau menjelaskan beliau begitu bersyukur, bertuah dan amat gembira untuk berada di Malaysia sekali lagi. Menjelaskan beliau amat merindukan Malaysia kerana pernah beberapa kali ke sini, maka membuatkan Malaysia di antara lokasi utama di dalam perancangan beliau untuk mempromosikan EP ‘The Light’.

Apabila di tanyakan mengenai sebarang harapan untuk diri sendiri sempena mempromosikan EP kali ini, beliau menegaskan bahawa keberadaan beliau di sini untuk berseronok, bergembira dan berkongsi kegembiraan beliau bersama-sama peminat beliau. Keinginan untuk berkongsi muzik-muzik bersama peminat dan mengakui ini hanya satu permulaan bagi beliau. Buat peminat beliau, James menjelaskan sebelum ini muzik-muzik beliau dikenali dengan alunan emo dan sedih. Ini adalah sesuatu yang ingin diubah oleh beliau. Kali ini, beliau ingin meraikan kehidupan beliau. Menurut James, kini beliau berada di fasa yang mana hari ini mungkin hari terakhir beliau dan sekiranya beliau berjaya ke acara showcase beliau di Times Square nanti, ia cukup bertuah untuk beliau. Sama ada baik atau buruk, James berharap peminat boleh menjangkakan beliau akan menjadi diri sendiri berbekalkan lagu-lagu membawa mood gembira yang telah ditulis beliau.

Menjelaskan bagaimana Amber dan Soo Young sentiasa meluangkan masa untuk melawat beliau di hospital dan akhirnya terlibat dalam lagu-lagu James memperlihatkan sisi berbeza dalam dunia hiburan Korea Selatan. Persahabatan mereka dan James menjelaskan bagaimana beliau begitu bertuah untuk memiliki teman-teman yang ikhlas di dalam industri. James menegaskan walaupun dengan jadual yang sibuk, rakan-rakan beliau masih meluangkan masa untuk melawat beliau dan menghasilkan muzik bersama ini membuktikan mereka berdua bukan hanya cantik di luar malah memiliki keperibadian yang baik.

                                                                                                                [youtube https://www.youtube.com/watch?v=6pSMsDVA4hM]

James menjelaskan agak sukar untuk beliau menerima diri beliau sebagai artis solo. Mungkin situasi kini, lebih mudah untuk beliau berkarya berbanding dahulu. Bagi beliau kini, sekiranya beliau gagal, beliau hanya gagal berseorangan namun sekiranya beliau berjaya maka lebih ramai yang beliau akan sama-sama berjaya. It’s a party. Beliau tidak mahu hanya kekal dan tidak melakukan apa-apa sahaja. Ia merugikan bakat beliau. Untuk EP terbaru James, The Light peminat boleh menjangkakan alunan muzik ke arah EDM, mempunyai elemen-elemen Hip hop dan juga muzik Pop. Apabila ditanya mengenai selain daripada bakat dalam bidang muzik, adakah beliau akan berkecimpung dalam bidang lain yang terdapat dalam industri hiburan sama ada untuk berlakon ataupun model. Dengan berseloroh beliau menjelaskan bahawa beliau tidak pandai berlakon seperti mana beliau tidak pandai menari. Namun, sekiranya di tawarkan, beliau akan mengambil peluang untuk mencuba.

Penulis bertanyakan sekiranya beliau ingin mempromosikan Malaysia kepada teman-teman beliau apakah yang akan beliau katakan? James berkata, pertama sekali anda perlu berada di Malaysia untuk mengetahui keistimewaan Malaysia itu sendiri. Beliau menjelaskan apa yang paling disukai oleh beliau adalah makanan tempatan dan perkara pertama yang dilakukan oleh beliau adalah makan nasi lemak. Bagi beliau, rakyat Malaysia amat bangga dengan makanan tempatan oleh itu, sekiranya anda seorang foodie, maka anda perlulah datang ke Malaysia. Selain itu, disebabkan dengan cuaca dan kelembapan yang tinggi di dalam udara Malaysia, memberikan mood seolah-olah tropika untuk James oleh itu, beliau merasakan Malaysia sebagai satu syurga dunia yang penuh nikmat.

Bagi yang berminat dengan EP James, iaitu The Light ini boleh mendapatnya di Popular Bookstore yang terpilih iaitu di Sunway Piramid, One Utama, Mid Valley dan Sunway Velocity. Peminat juga boleh mendapatkan melalui laman. Peminat juga boleh mendapatkan informasi mengenai James di laman web rasmi beliau.  Terima kasih kepada pihak Universal Music Malaysia kerana memberi peluang kepada Kmania untuk bertemu dan mengenali James Lee dengan lebih personal.

loading...