Army Malaysia terkesan dengan karikatur satira ini & sepakat mahu tindakan saman dari BigHit terhadapnya

Baru-baru ini tular di media sosial lukisan karikatur aktivis terkemuka, Fahmi Reza berkenaan satiranya terhadap kedatangan BTS ke Malaysia telah dikecam oleh peminat Armys Malaysia kerana bagi mereka karikatur itu memberikan gambaran yang menghina buat kumpulan yang diidolakan oleh mereka itu.

Fahmi Reza memuatnaik kapsyen bergambar satira itu sebagai kritikan kepada kerajaan Malaysia yang merelakan penajaan ke atas BTS di bawah pengurusan Kementerian Belia dan Sukan, tetapi pada masa yang sama dikatakan telah membatalkan kemasukan kumpulan indie Black Metal dari Singapura kerana desakan daripada sekelompok agamawan tertentu.

Sebahagian besar Army Malaysia yang baru menyedari kewujudan karikatur itu semalam walaupun ianya sudah diposkan sejak tiga hari lalu, mendesak pihak pengurusan BTS, Big Hit membuat tindakan saman kepada aktivis itu.  Sebahagian kecil Army pula berpendapat ianya hanyalah sindiran yang tak perlu diambil serius kerana lukisan karikatur itu tak menggambarkan situasi sebenar dan boleh membawa pelbagai maksud tertentu secara artistik.

Fahmi Reza sebelum ini popular dengan gubahan seni badutnya terhadap bekas perdana menteri Malaysia dan lukisannya sering digunakan untuk menyindir ahli politik tersebut. Malah, poster badut itu juga tak asing dalam kalangan pemuzik Kpop apabila ia pernah terpampang di dalam video klip nyanyian Woo Jin Young dan Kim Hyun Soo berjudul Falling In Love tak lama dulu.

loading...