Yoo Ji Tae & Lee Young Ae disatukan untuk SBS Different Dream

Pemilihan pelakon untuk drama SBS Different Dream kali ini beralih pada Yoo Ji Tae, seorang pelakon lelaki yang versatil dan dikenali dengan drama hitnya sebelum ini seperti KBS Healer, SBS Star’s Lover dan tvN Good Wife dan KBS Mad Dog. Yoo Ji Tae akan membawakan watak sebagai Kim Won Bong, ketua kumpulan rahsia yang menggerakkan pertubuhan untuk menggulingkan kerajaan proksi Jepun yang memerintah Korea pada masa itu.

Kim Won Bong merupakan seorang pelajar di Universiti Nanjing Jinling pada 1919, di mana beliau dipengaruhi dengan gerakan anti-penjajahan Jepun. Beliau melibatkan dirinya di dalam aktiviti pembuatan bom dan senjata api untuk melawan tentera Jepun secara terang-terangan sehingga menyebabkan beliau menjadi pelarian apabila diburu oleh pihak tentera Jepun. Watak Kim Won Bong ini juga telah mengingatkan kita pada watak lakonan Yoo Ah In di dalam tvN Chicago Typewriter, juga sebuah drama bertemakan perisikan.

Yoo Ji Tae akan bergandingan dengan Lee Young Ae yang telah pun mengesahkan pembabitannya di dalam drama ini sejak tahun lepas lagi. Lee Young Ae akan membawakan watak sebagai pakar bedah Lee Young Jin, yang dibesarkan oleh keluarga dari Jepun, akhirnya menjadi ‘perisik’ yang ditugaskan oleh Kerajaan Jepun-Shanghai untuk menggolakkan lagi peperangan Pasifik berlaku pada 1941 sehingga 1945. Drama ini akan mempersoalkan bagaimana dilema seorang yang berketurunan Korea tapi mempunyai identiti Jepun dalam membantu pihak yang sepatutnya menang dalam peperangan tersebut. Peperangan ini berakhir selepas Jepun mengaku kalah akibat kedua-dua bandar Nagasaki dan Hiroshima dimusnahkan dengan bom atom.

Drama ini akan memulakan penggambaran di Mongolia dan Shanghai untuk mewujudkan suasana Kyungsung. SBS Different Dream akan diarahkan oleh Yoon Sang Ho, iaitu pengarah SBS Saimdang dan dijangka disiarkan pada tahun 2019.

Sumber: joins

 

loading...