Kenapa drama tvN Because This Is My First Life mesti ditonton?

Tahun 2017 bakal melabuhkan tirainya tak lama lagi dan kita telah dihidangkan dengan berbagai drama daripada pelbagai genre. Tapi, untuk menyaksikan drama yang begitu memuaskan hati, tidaklah semudah itu. Setiap orang mempunyai citarasanya tersendiri.

Bagi yang dahagakan naskah romantik yang menyegarkan, ingin penulis mencadangkan drama terbaru yang menghiasi cenel tvN, iaitu berjudul Because This Is My First Life ditulis sepenuhnya Yoon Nan Joong (“Flower Boy Ramyun Shop”, “Queen of The Office”). tvN Because This Is My First Life tidak memperdayakan anda dengan promosi berlebih-lebihan semasa  hari pertama tayangannya, malah gandingan pelakonnya mungkin tak popular dan tak berapa dikenali di kalangan peminat kdrama.  Namun, sekian lama menonton, ia membuatkan penonton menghayati bagaimana seseorang begitu teguh berpendirian bahawa dia tak mungkin jatuh cinta pada awalnya mula terbuka hati menerima wanita yang tak disangka-sangka menjadi pasangan hidupnya buat selama-lamanya.

Ji Ho dan Se Hee menonton perlawanan bola sepak bersama-sama.

tvN Because This Is My Life berkisarkan tentang Nam Se Hee (Lee Min Ki) yang tinggal keseorangan, kepelikan, anti-sosial dan suka membela kucing bertemu dengan Yoon Ji Ho (Jung So Min) yang peramah mengimpikan untuk menjadi penulis skrip drama tetapi sekarang tak berduit dan tak mampu menyewa rumah.  Pertemuan mereka pada awalnya tak terjangka kerana Se Hee mengingatkan teman sebiliknya seorang lelaki, begitu juga  Ji Ho sebaliknya. Jadi, apabila hari pertama sepatutnya mereka tinggal bersama di dalam rumah tersebut, Ji Ho tak sempat pun mengamati “wanita” yang disangka sebagai tuan rumah.   Se Hee pertama kali mengenali Ji Ho sewaktu Se Hee sedang asyik menonton perlawanan bola sepak. Ji Ho menyampuk seolah-olah tak bersetuju pasukan lawan berjaya menjaringkan gol. Se Hee tersentak dan menanya jika dia seorang peminat bola sepak. Akhirnya mereka menonton perlawanan itu bersama-sama.

Se Hee menemani Ji Ho yang mengalami kemurungan akibat putus cinta.

Ketika itu juga, mereka didatangi lelaki yang disukai oleh Ji Ho. Se Hee secara berseloroh menyuruh Ji Ho mengaku lelaki itu kekasihnya. Se Hee menyatakan kalau dari segi ketampanan, dia menilai 7 daripada 10 tetapi disangkal oleh Ji Ho yang meletakkannya 9. Ji Ho memuji lelaki tersebut di hadapan Se Hee yang kelihatan ingin tahu.   Secara tiba-tiba, muncul seorang perempuan memeluk lelaki tersebut. Ji Ho betul-betul rasa kecewa dan beranggap seolah-olah dia hanya setakat pemain pertahanan bukan penyerang. Ji Hoo berlalu meninggalkan Se Hee. Dia menunggu di sebuah perhentian bas sambil membaca teks daripada lelaki tersebut bahawa dia sedang bercinta dengan seorang gadis. Kebetulan, Se Hee ternampak Ji Ho yang kemurungan terhenti lalu duduk bersebelahan dengan Ji Ho.  Se Hee memulakan bicara falsafahnya dengan terma-terma ‘algoritma’ yang merumitkan sekaligus membuatkan Ji Ho terus terlupa hatinya telah dikecewakan sebentar tadi. Se Hee mengatakan kucingnya tiada masa depan dan hanya manusia yang memerangkapkan diri mereka. Se Hee turut menguatkan lagi hujahnya bahawa dunia ini hanya sementara yang pertama sebelum melalui fasa lebih mencabar. Pengakuan Se Hee seakan-akan meminta Ji Ho supaya memulakan hidup baru. Mereka akhirnya berpisah dan bertemu semula di dalam rumah yang diduduki mereka.

Episod seterusnya membawa penonton mula mengenai perwatakan sebenar Se Hee dan sifat membatunya. Ditambah lagi dengan perangai acuh tak acuh si hero kerana selesa hidup dalam dunia rekaannya sendiri, kehadiran wanita dalam hidupnya sedikit banyak telah mengubah dirinya untuk lebih menghargai kewujudan manusia di sekeliling. Dia sekarang sudah menjadi lelaki yang disayangi ribuan penonton kerana di sebalik wajah cengkung yang tampan itu, terserlah bibit-bibit romantis yang tak pernah orang sedari. Se Hee akhirnya menunjukkan rasa cemburunya terhadap wanita yang sudah menjadi isterinya, Ji Ho apabila Ji Ho cuba diganggu lelaki lain. Naratif drama dibuat dengan berkesan sambil penonton dapat bergelak tawa menyaksikan aksi membatu daripada Se Hee yang tak peduli akan mereka di sekelilingnya tetapi dari sisi yang lain, juga seorang yang seksi dan romantik. Begitu juga Ji Ho yang bersusah payah cuba mengambil perhatian lakinya saban hari.

Se Hee dan Ji Ho melangsungkan perkahwinan dalam episod 5. Dapatkah Ji Ho membuka hati Se Hee menerimanya dengan sepenuh hati?

Perkahwinan mereka yang bukan terbina atas dasar cinta antara satu sama lain pada asalnya berterusan sehingga kini! Jadi apa lagi cabaran yang bakal menggugat ikatan perkahwinan mereka? Mari kita tonton drama ini setiap Isnin dan Selasa menerusi cenel tvN . Penangan hebat daripada Jung So Min dan Lee Min Ki pastinya memukau gambaran anda tentang sesuatu apa yang dikatakan sebagai “cinta”. Rating yang kian meningkat saban hari menunjukkan drama ini mesti ditonton peminat kdrama bagi melengkapkan tirai tahun 2017 ini.

 

loading...