Putera Mahkota dari Joseon, Park Bogum Jejaki Peminatnya Di Malaysia

Park Bogum, nama yang tidak asing lagi bagi penggemar-penggemar drama dari Korea Selatan, merupakan seorang pelakon muda yang berbakat besar yang baru-baru ini dikenali menerusi lakonan mantap beliau drama Moonlight Drawn By Clouds atau dikenali juga dengan tajuk Love in the Moonlight yang masih lagi ditayangkan di saluran 8tv pada setiap hari Khamis dan Jumaat pada jam 9.30 malam. Maka, tidak hairanlah apabila hampir 500 peminat menyambut kedatangan beliau buat julung kalinya ke Kuala Lumpur pada malam Khamis yang lalu demi melihat beliau dengan lebih dekat lagi.

Setelah dinobatkan sebagai ‘Best Supporting Actor’ pada 2015 29th KBS Drama Awards yang lalu, kerjaya beliau sebagai seorang pelakon semakin diiktiraf apabila beliau berjaya menggondol anugerah ‘tvN Asia Award’ semasa ‘tvN10 Awards’ menerusi drama Reply 1988 di mana drama tersebut diangkat sebagai ‘daesang’ bagi kategori drama. Pada 2015 4th CARI K-Drama Awards, nama Park Bogum juga dijulang dalam keberkesanan lakonan beliau sebagai seorang peguam yang psiko dalam ‘Hello Monster’ di mana beliau tercalon bagi anugerah yang sama ‘Best Supporting Actor’.

CARI Kdrama Awards merupakan anugerah tahunan yang dikelolakan oleh Kelab Pengkritik Dan Peminat Korea Semalaysia (Kmania) hasil kerjasama dengan CARI Internet.

Satu sidang media bersama Park Bogum telah berlangsung pagi tadi di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur dan pihak kami berkesempatan menyertai temubual eksklusif bersamanya. Beliau kelihatan begitu selesa dalam busana yang ringkas; kemeja berwarna putih dan seluar  berwarna biru gelap.

1. Tempat-tempat menarik yang ingin dilawati di Malaysia?

Disebabkan saya tiba agak lewat malam semalam, saya cuma sempat dibawa untuk melihat sekali imbas Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka dan menara berkembar KLCC. Jika diberi kesempatan, saya juga ingin membuat lawatan ke sekitar Melaka serta Jalan Alor untuk mencuba makanan tempatan.

2. Selain daripada makanan yang telah disediakan oleh pihak Mandarin Oriental Hotel, makanan tempatan apakah yang ingin sekali dicuba?

(Dengan suara yang teragak-agak) Satay.

3. Di dalam drama Moonlight Drawn By Clouds, babak manakah yang sukar untuk dilupakan?

(Beliau teragak-agak untuk menjawab kerana tidak mahu memberikan ‘spoiler’ kepada penonton yang masih lagi menonton drama tersebut menerusi saluran 8tv) Mungkin saya boleh katakan babak di dalam episod terakhir di mana kostum di raja berwarna biru yang disarungkan pada Putera Lee Young kemudian bertukar ke warna merah setelah beliau diangkat menjadi Raja.

Park Bogum berterima kasih dan berasa amat gembira apabila melihat sambutan yang begitu meriah daripa para peminat sejurus sahaja beliau menjejakkan kaki di KLIA pada malam sebelumnya. Beliau tidak sabar untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan peminat-peminat semasa sesi bertemu peminat (fanmeeting) yang akan berlangsung pada esok hari.

4. Jadi, untuk sesi bertemu peminat malam esok, apakah kejutan yang bakal anda berikan?

(Ketawa) Rahsia.

5. Anda sudah pun dikenali ramai sebagai seorang pelakon, penyanyi, pengacara dan model. Selain keempat-empat kerjaya tersebut,  apakah cabang seni lain yang anda ingin cuba?

Saya sebenarnya ingin sangat mencuba dalam menjadi seorang DJ radio, bukan sahaja DJ radio di Korea bahkan ingin mencuba ke seluruh rantau Asia.

6. Sebagai seorang Park Bogum, cuba jelaskan dalam situasi manakah yang boleh membuatkan anda berasa terharu?

Memang tidak dinafikan saya adalah seorang yang sangat mudah berasa terharu walaupun dengan benda-benda yang remeh seperti ketika membaca, menonton drama dan sebagainya. Jadi, dengan sedaya upaya akan menahan diri daripada menangis semasa ‘fanmeeting’ esok (ketawa).

7. Tidak dapat dinafikan anda dikategorikan seorang yang kacak dan menawan, cuba terangkan bagaimana kehidupan seharian anda.

(Beliau serta seluruh warga sidang media ketawa apabila mendengar soalan tersebut) Saya hanya menjalani kehidupan yang biasa seperti orang lain, seperti seorang pelajar terutamanya. Saya juga akan memastikan saya sentiasa bersikap optimistik.

8. Apakah rancangan anda untuk tahun 2017 yang bakal tiba sedikit masa lagi?

Buat masa ini saya akan berikan lebih tumpuan untuk menamatkan jadual Asia Tour ini yang bakal berlangsung sehingga bulan Mac 2017.

9. Dengan beberapa minggu lagi sebelum menjelangnya tahun baru, adakah anda mempunyai sebarang rancangan untuk bercuti atau sebagainya?

Saya akan memenuhinya dengan berinteraksi bersama peminat semasa Asia Tour ini.

[fbvideo link=”https://www.facebook.com/kmaniamy/videos/405988819792114/” width=”500″ height=”400″ onlyvideo=”0″]

Sebelum sesi sidang media berakhir, beliau sempat mengucapkan sepotong ayat di dalam bahasa melayu (walaupun tergagap-gagap dan pengacara majlis perlu membantu beliau dalam menyebut ayat tersebut dengan lebih jelas) iaitu ‘Salam bertemu dengan anda‘ selain mengucapkan ‘Terima kasih‘. Beliau juga menjelaskan bahawa betapa beliau sungguh gembira dapat bertemu semua pihak media yang hadir dan tidak dilupakan peminat-peminat semua. Beliau akan berusaha sebaiknya dalam mempertonton kepada semua akan hasil lakonan beliau di dalam filem mahupun drama yang akan datang.

Beliau akan memulakan siri jelajah Asia bagi sesi bertemu peminat di Kuala Lumpur sebagai ‘pit stop’ pertama sebelum meneruskannya ke Hong Kong pada 17hb Disember. Siri jelajah ini dijangka akan diteruskan pada tahun 2017 ke bandar-bandar utama Asia yang lain seperti Jakarta, Taipei, Tokyo, Bangkok dan Singapura sebelum sesi penutup di tanah kelahiran beliau, Seoul.

2016-2017 Park Bogum Asia Tour in Kuala Lumpur
Tarikh: 10th Disember 2016
Masa: 7.30 ptg
Tempat: KLCC Plenary Hall

loading...