Han Hyo Joo, Gong Myoung dan Sung Joon Terjerat Dalam Cinta, Persahabatan dan Persaingan Menerusi ‘On Your Ground’

Drama terbaharu MBC, On Your Ground, bakal membawa penonton menyelami dunia besbol menerusi kisah seorang pemain berbakat yang berusaha membina semula kerjayanya selepas mengalami kemerosotan prestasi. Dibintangi Han Hyo Joo, Gong Myoung dan Sung Joon, drama romantik ini turut menggabungkan kisah cinta pertama, persahabatan serta persaingan dalam dunia sukan profesional.

Kisahnya berpusat pada Kang Hae Hwan (Gong Myoung), bekas pemain besbol berbakat yang pernah menjadi kebanggaan pasukan Miracles. Sebagai pitcher tangan kanan, dia pernah mendapat peluang untuk beraksi dalam Major League Baseball (MLB). Namun, satu insiden tidak dijangka menyebabkan kerjayanya terhenti, malah dia terpaksa menjalani pemulihan selama dua tahun.

Ketika masih bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik, Hae Hwan bertemu semula dengan cinta pertamanya, Seo Hee Seung (Han Hyo Joo), yang kini bekerja sebagai ejen sukan. Pertemuan itu menjadi permulaan kepada usaha mereka untuk mengembalikan kerjaya Hae Hwan ke landasan yang sepatutnya.

Han Hyo Joo Sebagai Bekas Peguam Yang Beralih Kerjaya Menjadi Ejen Sukan

Han Hyo Joo membawakan watak Seo Hee Seung, seorang peguam cemerlang di firma guaman Joy yang tidak pernah tewas dalam kes yang dikendalikannya. Dikenali sebagai individu yang sentiasa mencapai keputusan terbaik sejak zaman persekolahan, Hee Seung turut mempunyai kemahiran rundingan yang mantap.

Namun, dia membuat keputusan mengejutkan apabila menolak peluang kenaikan pangkat untuk memulakan kerjaya baharu sebagai ejen sukan. Selepas menjalani latihan di Amerika Syarikat dan memperoleh lesen ejen sukan, Hee Seung ditugaskan ke agensi Donghaeng atas permintaan wakil firma guaman Joy, Jo Gu Yeon (Cho Han Cheul).

Walaupun masih baharu dalam dunia besbol, Hee Seung tidak gentar menghadapi cabaran. Dia menggunakan pengalaman sebagai peguam serta semangat daya saingnya untuk membantu pemain membina kerjaya masing-masing.

Pertemuan semula dengan Hae Hwan turut membawa makna tersendiri buat Hee Seung. Sebelas tahun lalu, mereka pernah menjalin cinta pertama ketika belajar di Sekolah Menengah Ilsung. Kini, mereka kembali bertemu dalam kedudukan berbeza sebagai ejen dan pemain yang diwakilinya.

Hee Seung melihat potensi Hae Hwan di sebalik prestasinya yang merosot dan memilih untuk membantunya kembali ke padang. Persoalannya, mampukah mereka mengembalikan hubungan yang pernah terjalin selepas sekian lama terpisah?

Gong Myoung Sebagai Bekas Bintang Besbol Yang Berusaha Bangkit Semula

Gong Myoung memegang watak Kang Hae Hwan, pitcher tangan kanan pasukan profesional Miracles yang pernah mencipta nama sebagai pemain berbakat sejak usia muda.

Bagaimanapun, kehidupannya berubah selepas satu insiden menjejaskan masa depannya sebagai pemain besbol. Selepas dua tahun menjalani pemulihan, Hae Hwan masih belum berjaya kembali ke prestasi asal dan terpaksa berdepan cabaran untuk mendapatkan semula tempatnya dalam pasukan.

Menerusi still yang didedahkan, Gong Myoung tampil dengan jersi pasukan Miracles ketika berada di atas mound. Penampilan fizikalnya yang atletik, gaya persediaan untuk melakukan balingan serta ekspresi wajah yang fokus menyerlahkan imej seorang pemain profesional.

Bagi menghidupkan watak tersebut, Gong Myoung menjalani latihan kecergasan secara konsisten untuk membentuk tubuh seperti pemain besbol profesional. Dia turut mempelajari posisi dan pergerakan seorang pitcher sebelum penggambaran bermula.

Pihak produksi memuji komitmennya dan menyatakan bahawa setiap kali Gong Myoung berada di atas mound, seluruh kru produksi berasa kagum dengan penampilannya yang menyerupai pemain besbol sebenar.

Sung Joon Sebagai Sahabat Merangkap Pesaing Gong Myoung

Sung Joon pula membawakan watak Yoon Yi Seok, pitcher pasukan Miracles yang juga merupakan sahabat lama Hae Hwan. Mereka berkongsi impian untuk menjadi pemain besbol sejak zaman sekolah menengah.

Berbeza dengan Hae Hwan yang mendapat perhatian kerana bakat luar biasanya sejak usia muda, Yi Seok mengambil masa yang lama untuk membina kerjaya dalam liga minor. Namun, dia tidak pernah berputus asa dan terus memperbaiki kemahirannya sehingga berjaya menjadi pemain utama pasukan.

Hubungan Yi Seok dengan Hae Hwan bagaimanapun tidak hanya berlandaskan persahabatan. Di sebalik rasa sayangnya terhadap sahabat tersebut, dia turut menyimpan keinginan untuk mengatasinya sebagai pemain.

Ketika Hae Hwan terpaksa berehat daripada dunia besbol, Yi Seok berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam pasukan. Kepulangan Hae Hwan dijangka mengubah hubungan mereka, lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya kini berdepan persaingan untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Menerusi still yang didedahkan, Sung Joon kelihatan menghayati watak seorang pitcher berpengalaman dengan gaya balingan yang bertenaga serta ekspresi penuh tumpuan ketika berhadapan dengan pemukul lawan.

Pihak produksi turut memuji kebolehannya menampilkan ketenangan seorang pitcher berpengalaman dan semangat untuk meraih kemenangan.

Kim Shin Rock Sebagai Ketua Agensi Sukan Donghaeng

Selain tiga pelakon utama, Kim Shin Rock turut membintangi drama ini sebagai Dong Chi Young, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi sukan Donghaeng.

Chi Young dikenali sebagai antara ejen terbaik dalam industri besbol kerana kebolehannya menilai potensi serta nilai seseorang pemain. Dengan strategi yang teliti dan kemahiran rundingan yang mantap, dia berjaya mendapatkan kontrak untuk beberapa pemain ternama sehingga mengukuhkan kedudukannya dalam industri tersebut.

Dia memainkan peranan penting dalam membantu Hae Hwan membina semula kerjayanya, selain menjadi mentor kepada Hee Seung yang masih baharu dalam bidang ejen sukan. Berbekalkan pengalaman luas, Chi Young membimbing Hee Seung dalam menghadapi cabaran industri yang diceburinya.

Still yang didedahkan memperlihatkan dua sisi personaliti Chi Young. Dalam satu gambar, dia tampil dengan gaya tegas dan berwibawa sebagai ketua agensi, manakala gambar lain menunjukkan dirinya yang lebih mesra dengan senyuman ceria ketika berada di pejabat.

Pihak produksi menyatakan bahawa Kim Shin Rock bakal memperlihatkan sisi lakonan yang berbeza menerusi watak ini. Mereka turut meminta penonton menantikan bagaimana pelakon itu menampilkan kehangatan dan sisi kemanusiaan Chi Young di sebalik penampilannya yang tegas.

Kisah Cinta, Persahabatan dan Peluang Kedua Dalam ‘On Your Ground’

Selain mengetengahkan perjalanan seorang pemain besbol untuk kembali ke puncak kerjaya, On Your Ground turut meneroka hubungan antara individu yang mempunyai impian dan cabaran masing-masing.

Pertemuan semula Hae Hwan dan Hee Seung selepas 11 tahun membuka peluang untuk mereka mengenali semula perasaan yang pernah terjalin. Pada masa sama, kepulangan Hae Hwan ke pasukan Miracles turut menguji persahabatannya dengan Yi Seok yang kini menjadi pesaingnya.

Dengan Dong Chi Young yang membimbing mereka dalam dunia agensi sukan serta Jo Gu Yeon yang turut memainkan peranan dalam perjalanan kerjaya Hee Seung, drama ini bakal memperlihatkan cabaran di sebalik industri besbol profesional.

On Your Ground dijadualkan menemui penonton pada Disember 2026 menerusi MBC.

Sumber :  1 | 2 | 3 | 4