Park Min Young, Yook Sungjae dan Go Soo Tonjolkan Personaliti Berbeza Dalam ‘Nine to Six’

Drama romantik terbaharu SBS, Nine to Six, terus memperkenalkan sisi menarik tiga watak utamanya menerusi poster individu dan poster berkumpulan yang baharu dilancarkan.

Dibintangi Park Min Young, Yook Sungjae dan Go Soo, drama ini mengisahkan Kang Yi Ji, seorang wanita yang terlalu mengutamakan kerjaya sehingga kehidupan cintanya sering diketepikan. Namun, pertemuannya dengan Han Seon Woo yang penyayang mula mengubah pandangannya terhadap cinta dan kehidupan.

Poster Watak Tonjolkan Personaliti Berbeza Tiga Watak Utama

SBS memperkenalkan poster individu bagi tiga watak utama Nine to Six, yang memperlihatkan personaliti serta pandangan mereka terhadap kerjaya dan hubungan cinta.

Park Min Young sebagai Kang Yi Ji digambarkan sebagai individu yang mengutamakan logik sepenuhnya. Menerusi poster wataknya, Yi Ji menegaskan bahawa kerja adalah perkara paling penting, malah mempersoalkan sama ada seseorang itu benar-benar perlu bercinta.

Berbeza dengan Yi Ji, Han Seon Woo lakonan Yook Sungjae digambarkan sebagai lelaki yang penuh kehangatan. Walaupun mempunyai personaliti lembut dan penyayang, dia tidak teragak-agak untuk menunjukkan perasaan serta mendekati individu yang diminatinya.

Sementara itu, Go Soo sebagai Park Hyun Tae membawa imej seorang ketua bahagian yang tenang, berpengalaman dan mengutamakan kemampuan seseorang. Prinsipnya jelas menerusi kenyataan bahawa dia hanya mementingkan kecekapan dalam pekerjaan.

Ketiga-tiga poster ini memperlihatkan perbezaan ketara antara Yi Ji, Seon Woo dan Hyun Tae, sekali gus memberikan gambaran tentang hubungan yang bakal terbentuk antara mereka dalam drama ini.

Poster Berkumpulan Perlihatkan Kerjasama Tiga Watak Utama

Poster berkumpulan terbaharu Nine to Six pula memperlihatkan Kang Yi Ji, Han Seon Woo dan Park Hyun Tae berkumpul untuk meneliti dokumen di tempat kerja.

Yi Ji yang berada di tengah kelihatan tersenyum yakin sambil memegang dokumen, manakala Seon Woo dan Hyun Tae memberikan perhatian terhadap bahan yang ditunjukkannya. Ketiga-tiga watak ini mempunyai personaliti dan pendekatan kerja yang berbeza, sekali gus memberikan gambaran tentang kerjasama mereka dalam persekitaran pejabat.

Pertemuan Pertama Kang Yi Ji dan Han Seon Woo Tidak Berjalan Lancar

Pertemuan pertama Kang Yi Ji dan Han Seon Woo nampaknya tidak bermula dengan baik. Menerusi still terbaharu, Yi Ji dilihat menahan Seon Woo selepas mengambil telefon bimbit lelaki itu yang terjatuh di tengah jalan.

Dengan pandangan tajam, Yi Ji meminta penjelasan daripada Seon Woo yang kelihatan kebingungan. Malah, dia turut memetik beberapa peruntukan undang-undang ketika berhadapan dengan lelaki tersebut, memperlihatkan sikapnya yang sentiasa berpegang pada logik dan peraturan.

 

Seon Woo pula cuba menjelaskan bahawa perkara tersebut hanyalah satu salah faham. Namun, penjelasannya tidak mudah diterima oleh Yi Ji yang tegas dengan pendiriannya.

Perbezaan personaliti antara kedua-duanya jelas terserlah dalam pertemuan ini. Bagaimana hubungan mereka akan berkembang selepas permulaan yang kurang menyenangkan itu pastinya menjadi antara perkara menarik untuk diikuti dalam Nine to Six.

Park Min Young, Yook Sungjae dan Go Soo Kongsi Pengalaman Penggambaran

Selain berkongsi tentang watak masing-masing, ketiga-tiga pelakon utama turut bercerita mengenai keserasian mereka sepanjang menjayakan drama ini.

Park Min Young menyifatkan Yook Sungjae sebagai seorang yang ceria dan mempunyai personaliti bebas. Mereka juga sering bergurau ketika di set penggambaran. Yook Sungjae banyak memberikan idea spontan menerusi dialog tambahan, manakala Park Min Young pula memberikan reaksi yang sesuai sehingga menghasilkan beberapa babak yang menghiburkan.

Dia turut menyifatkan keserasian antara mereka bertiga berjalan dengan baik. Setiap kali dia dan Yook Sungjae mula bergurau, Go Soo sering muncul pada waktu yang tepat untuk menenangkan suasana dengan sikapnya yang mesra.

Dalam pada itu, Park Min Young berkongsi bahawa watak Yi Ji memberinya peluang untuk menampilkan sisi dirinya yang lebih ceria. Bagi menghayati watak seorang timbalan pengurus yang cekap dan tegas, dia turut menonton dokumentari mengenai kehidupan pekerja pejabat serta mendapatkan pandangan daripada kenalan yang bekerja dalam persekitaran korporat.

Yook Sungjae pula berkata gandingannya dengan Park Min Young semakin serasi sepanjang penggambaran. Malah, ketika sesi latihan dialog, mereka sudah dapat membayangkan cara masing-masing membawakan watak. Dia juga mengakui pengalaman bekerja dengan Park Min Young sebagai rakan sekerja senior menjadikan proses penggambaran lebih menyeronokkan.

Sementara itu, Nine to Six menandakan kemunculan Go Soo semula dalam genre romantik selepas kira-kira 15 tahun. Dia tertarik untuk menyertai drama ini kerana berpeluang bekerjasama dengan Park Min Young dan Yook Sungjae, selain ingin melihat bagaimana ketiga-tiga mereka membentuk keserasian di layar.

Mengenai wataknya, Go Soo menjelaskan bahawa Park Hyun Tae lebih mengutamakan pertimbangan rasional berbanding emosi selepas sekian lama bekerja dalam dunia korporat. Dia turut memberikan perhatian kepada cara Hyun Tae mengenali kemampuan profesional Yi Ji dan mula memberikan kepercayaan kepadanya.

Go Soo turut memuji kerjasama bersama Park Min Young dan Yook Sungjae, malah menyifatkan keserasian antara mereka sebagai 100 mata.

Park Min Young pula menggambarkan Nine to Six sebagai kisah tentang orang biasa yang berusaha menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian, dengan elemen romantik ringan yang boleh dinikmati penonton.

‘Nine to Six’ Mula Ditayangkan 25 November

Nine to Six akan mula bersiaran pada 25 November 2026, pukul 9 malam (KST) menerusi SBS di Korea Selatan. Drama ini turut ditayangkan menerusi Prime Video, termasuk di Malaysia, dengan liputan lebih 240 negara dan wilayah.

Untuk maklumat lanjut mengenai sinopsis dan pengenalan watak drama ini, pembaca boleh membaca laporan KMania sebelum ini menerusi pautan berikut:

BACA: Kerjaya No. 1, Cinta Tolak Tepi? Park Min Young Terjerat Antara Yook Sungjae & Go Soo Dalam ‘Nine to Six’ di Prime Video

Sumber : 1 | 2 | 3 | 4 |