Drama GIFT mengisahkan Jung Min Yong (Kim Woo Bin), bekas jurulatih pitching besbol profesional yang memperoleh kebolehan istimewa selepas terlibat dalam satu kemalangan. Kebolehan tersebut membolehkannya melihat bakat besbol seseorang dengan hanya sekali pandang.
Min Yong kemudian menerima cabaran baharu apabila dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan besbol Deokcheon High School yang berada di kedudukan tercorot negara. Walaupun berpengalaman melatih pemain profesional, dia kini perlu mencari pendekatan tersendiri untuk membimbing sekumpulan pemain muda yang mempunyai tahap kemahiran dan personaliti berbeza.
Berdasarkan webtoon popular, drama terbitan tvN ini turut mengetengahkan persoalan tentang kepentingan bakat semula jadi dan usaha keras dalam membentuk seorang pemain besbol.
Kim Woo Bin Sebagai Jurulatih Dengan Kebolehan Istimewa
Kim Woo Bin membawakan watak Jung Min Yong, bekas jurulatih pitching pasukan besbol profesional Manders. Namun, kehidupannya berubah selepas dia dituduh melakukan penderaan verbal terhadap pemain sebelum terlibat dalam satu kemalangan.
Selepas kejadian tersebut, Min Yong memperoleh kebolehan luar biasa untuk melihat bakat dan potensi semula jadi seseorang atlet. Dia kemudian menerima cabaran baharu sebagai ketua jurulatih pasukan besbol Deokcheon High School yang berada di kedudukan tercorot negara.

Perubahan ini turut mempengaruhi cara Min Yong mengendalikan pasukan. Jika sebelum ini dia percaya bahawa usaha, proses dan perkembangan seseorang pemain lebih penting daripada keputusan perlawanan, dia mula memberikan perhatian kepada bakat semula jadi yang dapat dilihat menerusi kebolehan istimewanya.
Walaupun mempunyai pendekatan yang tegas, Min Yong juga bakal membina hubungan unik dengan sekumpulan pemain yang mempunyai personaliti berbeza. Beberapa still terbaharu turut memperlihatkan sisi bersemangatnya ketika membimbing dan memberikan sokongan kepada pemain di padang.


Perbezaan Pendekatan Kim Woo Bin dan Seo Eun Soo
Selain berdepan cabaran mengendalikan pasukan yang berada di kedudukan tercorot, Min Yong turut mempunyai pandangan berbeza dengan Yoon Seo Jin (Seo Eun Soo), guru pendidikan jasmani yang bertanggungjawab menyelia pasukan besbol Deokcheon High School.

Seo Jin seorang guru yang mesra dengan pelajar, tetapi tegas apabila berdepan ketidakadilan. Dia juga berusaha melindungi pasukan tersebut daripada dibubarkan kerana percaya setiap pemain berhak mendapat peluang untuk berkembang.
Berbeza dengan Min Yong yang mula mengutamakan bakat semula jadi dan prestasi, Seo Jin lebih percaya kepada usaha, semangat serta potensi pemain. Baginya, kesatuan dan kepercayaan antara anggota pasukan juga memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah pasukan yang kuat.

Perbezaan falsafah ini dijangka mencetuskan beberapa pertembungan antara mereka, terutama apabila kedua-duanya mempunyai cara tersendiri untuk menentukan hala tuju pasukan.
Persaingan Dua Pitcher Muda, Bakat Semula Jadi atau Kerja Keras?
Konflik tentang bakat dan usaha turut diperlihatkan menerusi dua pemain muda yang menganggotai pasukan tersebut, iaitu Heo Seung Il (Cha Been) dan Cha Tae Hoon (Han Si Hyun).
Seung Il merupakan pitcher utama pasukan yang membina kemahirannya menerusi latihan berterusan dan kerja keras. Dia seorang pemain yang berdisiplin, mempunyai semangat tinggi serta tidak mudah berputus asa dalam usaha memperbaiki kemampuannya.


Sementara itu, Tae Hoon merupakan pemain baharu dalam sukan besbol. Walaupun kurang pengalaman, dia memiliki bakat semula jadi, naluri permainan dan koordinasi fizikal yang mengagumkan.
Kehadiran Tae Hoon dijangka membawa perubahan kepada pasukan yang sedang bergelut itu, selain mencetuskan persaingan dengan Seung Il yang selama ini berusaha keras untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pitcher utama.

Menariknya, kedua-dua pelakon turut mempunyai pengalaman sebenar dalam sukan besbol. Cha Been pernah bermain secara kompetitif sebagai pitcher sejak sekolah rendah sehingga tamat sekolah menengah, manakala Han Si Hyun mempunyai pengalaman selama 12 tahun sebagai pitcher termasuk ketika di kolej.
Latar belakang tersebut dijangka membantu mereka membawakan aksi permainan besbol yang lebih realistik dalam drama ini.
Perjalanan Pasukan Deokcheon High School
Menerusi empat watak utama ini, GIFT bukan sekadar memaparkan persaingan di atas padang, tetapi turut mengetengahkan perbezaan pandangan tentang bagaimana seseorang pemain boleh mencapai potensi terbaiknya.
Jung Min Yong, Yoon Seo Jin, Heo Seung Il dan Cha Tae Hoon masing-masing mempunyai kepercayaan serta pendekatan tersendiri. Namun, mereka perlu belajar untuk bekerjasama, berdepan perbezaan dan berkembang sebagai sebuah pasukan.
Dengan gabungan kisah sukan, persaingan dan perkembangan watak, GIFT bakal membawa penonton mengikuti perjalanan pasukan besbol Deokcheon High School dalam usaha mengubah nasib mereka.
Dibintangi Kim Woo Bin, Seo Eun Soo, Cha Been dan Han Si Hyun, GIFT dijadualkan memulakan tayangan pada 5 Disember 2026, pukul 9.10 malam (KST) menerusi tvN.


